Oleh Intan Rahmah Ali
Ketua Wiranita PUTRA
Ketua WIRANITA PUTRA Intan Rahmah Ali melahirkan rasa bimbang dengan isu lambakan pekerja asing yang makin serius dan kritikal.
1. Sebagai rakyat Malaysia, saya melihat bahawa isu lambakan pekerja asing di Malaysia semakin hari semakin kritikal. Banyak serbuan telah dijalankan oleh Jabatan Imigresen mendedahkan akan jumlah yang tinggi pekerja asing tanpa izin dan pada masa yang sama penempatan haram warga asing yang dipercayai akan mendatangkan masalah sosial terhadap rakyat Malaysia.
2. Penting untuk saya nyatakan disini bahawa isu ini bukan kerana dasar xenophobia tetapi atas dasar keselamatan rakyat di negara ini. Kebanyakan PATI tidak melalui saringan kesihatan oleh kerajaan dan ini akan mengakibatkan penyakit berjangkit mudah merebak kepada rakyat tempatan.
3. Realiti hari ini menunjukkan trend peningkatan warga asing sangat membimbangkan. Mereka sudah mula menjalankan perniagaan tanpa lesen yang akan menjejaskan kegiatan ekonomi warga tempatan serta menggugat keselamatan rakyat melalui pelbagai aktiviti jenayah serta penyakit berjangkit yang tidak terkawal hasil daripada lambakan PATI.
4. Sudah terang lagi bersuluh, kemasukan pekerja asing tanpa kawalan menyebabkan peningkatan kadar jenayah di negara ini. Pelbagai jenayah akan dilakukan oleh pekerja tempatan berikutan tidak mempunyai gaji yang mencukupi dan tidak mempunyai pekerjaan. Peningkatan jenayah ini juga melibatkan pekerja asing yang masuk ke Malaysia tetapi tidak mendapat pekerjaan yang dijanjikan sedangkan mereka memerlukan wang untuk meneruskan hidup.
5. Seterusnya penguatkuasaan undang-undang haruslah dilakukan dengan lebih tegas. Seperti melepaskan batuk di tangga tidak seharusnya diamalkan oleh pihak bertanggungjawab. Hal ini kerana banyak pekerjaa asing yang terdiri dari pendatang haram menyusup masuk melalui jalan laut.
Jika semua pihak berkenaan memainkan tanggungjawab secara berkesan, tidak mustahil masalah kemasukan pendatang asing dapat diatasi dari akar umbinya. Tindakan yang lebih cekap perlu dilakukan bagi memastikan penempatan pekerja asing berada pada lokasi dan kondisi yang baik dan tidak menganggu kesejahteraan rakyat tempatan.
Dalam pada itu, usaha membanteras PATI perlu terus digiatkan secara besar-besaran agar kedaulatan negara terus terpelihara dan hak-hak ekonomi serta keselamatan rakyat terus terbela. Hal ini sangat penting bagi memastikan implikasi negatif akibat kemasukan pendatang asing secara berleluasa ke negara kita dapat diatasi melalui pelbagai langkah yang dirancang dan diimplementasikan secara bijak dan berkesan, sekali gus dapat mencapai matlamatnya.