Sudah terdedah secara tidak langsung mengenai hampir keseluruhan komplot 1MDB, SRC dan lain-lain penipuan berskala mega oleh dua individu bernama Low Taek Jho atau Jho Low dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd iaitu Nik Faisal Ariff Kamil, walaupun perbicaraan melibatkan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak masih belum berakhir.
Antara yang terdedah adalah mengenai money trail dan bukti dokumentasi wang 2.6 bilion yang jelas adalah pemberian dari kerabat DiRaja Saudi dan Kementerian Kewangan Arab Saudi, yang selama ini dijadikan bahan kempen Pilihan Raya Umum ke-14 sehingga berjaya menjatuhkan kerajaan lama melalui fitnah ini.
Jika fitnah sebesar ini berani dilakukan oleh Pakatan Harapan, bayangkan apa lagi apa yang telah dan akan mereka fitnah demi untuk berkuasa?
Jika perkara ini bukan fitnah yang telahpun dinyatakan di mahkamah oleh saksi pendakwaan sendiri, tentunya bukti dan saksi berkredibiliti tinggi yang mampu menyumbatkan Najib ke penjara sudah dihadirkan oleh mereka.
Sehingga kini jelas kerajaan Pakatan Harapan dan Peguam Negara Tommy Thomas terkial-kial, hilang punca dan tidak mampu menghadirkan saksi ataupun menyediakan bukti yang selama ini dicanang kononnya banyak berada dalam simpanan mereka.
Sepatutnya Tony Pua, Rafizi Ramli, Lim Guan Eng malah Tun Mahathir Mohamad sendiri wajar dipanggil sebagai saksi oleh Peguam Negara untuk membantunya.
Maka jelas konspirasi menjatuhkan Najib dan kerajaan Barisan Nasional selama ini hanya berasaskan andaian, persepsi dan fitnah melampau sehinggakan dipercayai oleh pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO sendiri.
Malah melalui fitnah ini juga telah mengorbankan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull yang telah mengakui mempunyai bukti kukuh sejak tahun 2015 namun gagal dan akhirnya terpaksa berundur malu meninggalkan jawatan tersebut.
Walaupun sebelum ini beliau mengakui telah berjumpa Majlis Raja-Raja dan ramai Menteri Kabinet ketika itu untuk menerangkan mengenai 1MDB dan kononnya mereka tidak mempercayai beliau kecuali Datuk Seri Panglima Mohd. Shapie Apdal dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Persoalannya, bukti dan keterangan apa yang beliau persembahkan kepada menteri kabinet dan Majlis Raja-Raja ketika itu, jika sehingga kini Pakatan Harapan dan beliau sendiri masih gagal membuktikan Najib bersalah malah jelas berlakunya penipuan ketara?
Bukti apa yang dipercayai oleh Shafie dan Muhyiddin ketika itu jika kini terbukti ia satu penipuan Jho Low dan beberapa rakan subahatnya?
Bukankah perkara ini yang sepatutnya Shukri dan SPRM siasat sebelum mencanangkan Najib sebagai bersalah dalam drama tangisannya sebelum ini?
Bukankah lebih mudah mereka menemui terus penderma 2.6 bilion tersebut dan juga para pegawai bank yang terlibat jika kebenaran yang dicari?
Melainkan sememangnya niat awal mereka adalah berkonspirasi untuk menjatuhkan Najib dan kerajaannya melalui fitnah sebesar ini.
Tambah memalukan ketika ini seluruh jentera kerajaan di bawah kawalan Pakatan Harapan bagi membantu siasatan kes 1MDB namun hasilnya masih menghampakan.
Mereka tidak berjaya membuktikan apa-apa sehingga kini namun fitnah ini telah dicanang bertahun lamanya ke seluruh dunia.
Selain itu, melalui perbicaraan SRC juga terdedah pemberian 2.6 bilion tersebut di bawah pengetahuan dan kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz selaku Governor BNM ketika itu.
Implikasinya membuatkan Tommy Thomas selaku Peguam Negara meminta untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB apabila terdedah perkara ini ketika peguambela menyoal balas saksi pendakwaraya dalam kes SRC.
Lebih mengejutkan apabila saksi seterusnya iaitu Joanna Yu Ging Ping mengaku menerima dan mengikut arahan Jho Low untuk menyorokkan pelbagai transaksi daripada diketahui oleh pegawai Pejabat Perdana Menteri dan Najib sendiri.
Pihak pembelaan bertindak cekap dan bijak sehingga mengejutkan pihak pendakwaan apabila menyerahkan bukti transkrip perbualan antara Jho Low dan Joanna yang dijumpai dalam telefon Blackberry Joanna.
Transkrip ini langsung tidak dijangka oleh mereka dan ada juga pandangan yang mengatakan pihak pendakwaan sengaja menyembunyikan fakta ini demi untuk membuktikan Najib bersalah.
Jika melalui keterangan saksi pendakwaraya iaitu Joanna ini sahaja sudah mampu membongkarkan pelbagai penipuan yang mengejutkan, bayangkan apa yang akan terbongkar jika Jho Low dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd iaitu Nik Faisal Ariff Kamil berjaya dibawa ke mahkamah kelak?
Berkemungkinan akan ada usaha untuk memastikan Jho Low dan Nik Faisal tidak akan dihadirkan sebagai saksi, agar tidak terbongkar segala macam penipuan yang dengan mudah akan membersihkan nama Najib yang difitnah oleh mereka selama ini.
Bukan hanya penipuan yang ditakutkan terbongkar, tetapi mungkin yang paling dikhuatiri adalah terdedahnya komplot dan konspirasi tertinggi bagi menjatuhkan Perdana Menteri dan sebuah kerajaan yang sah sebelum ini.
Sekiranya Jho Low diasak oleh pihak pembelaan, tentunya semua nama yang merancang, membantu komplot dan ramai yang terlibat akan didedahkan kepada umum.
Tidak mungkin ini kerja tiga empat orang sahaja antara Jho Low, Nik Faisal dan Joanna, tentu jumlah rakan subahat dan konspirator mereka jauh lebih besar.
Mungkin kerana itulah dari awal kerajaan Pakatan Harapan tidak bersetuju cadangan perbicaraan kes SRC dan 1MDB disiarkan secara langsung di kaca televisyen kerana khuatir rakyat boleh melihat bagaimana sebuah fitnah direkacipta dan siapakah ‘pemain-pemain’ di belakangnya.
Jho Low dan Nik Faisal, di manakah mereka dan kenapa amat sukar kerajaan Pakatan Harapan menemuinya di sebalik kecanggihan teknologi pada hari ini serta kepakaran pihak berkuasa Malaysia menjejak, apatah lagi mereka boleh dibantu oleh pihak Interpol.
Justeru, selepas pelbagai pendedahan yang mengejutkan di mahkamah dan masih ada pihak yang berpendapat 2.6 bilion tersebut adalah wang 1MDB atau Najib menyeleweng wang SRC, mereka dialu-alukan untuk hadir menjadi saksi bagi membantu Peguam Negara dan kerajaan Pakatan Harapan yang sehingga kini masih gagal membuktikannya walaupun setelah lebih setahun memerintah.
Tidak peliklah Najib pernah berkata di awal perbicaran dahulu bahawa beliau yakin boleh membersihkan namanya jika mendapat perbicaraan yang adil di mahkamah kelak.
Namun timbul persoalan yang lebih besar, jika fitnah terhadap Najib ini terbukti bukan sekadar jenayah penipuan, maka siapakah dalang utama yang merancang di sebalik konspirasi ini?