KELIBAT TAN SRI MUHYIDDIN TIDAK KELIHATAN DI KMM SEMALAM

349
SHARES
1.1k
VIEWS

WUJUD MASALAHKAH PENENTUAN CALON PPBM DI PRK TANJUNG PIAI? 

Oleh Anuar Shaari

1. Antara persoalan paling besar semasa Kongres Maruah Melayu semalam, di mana Tan Sri Muhyiddin Yasin, Presiden PPBM?  Sebagai Presiden sebuah parti yang dilihat penting di sebalik penganjuran kongres tersebut, kelibat Tan Sri Muhyiddin memang dinanti-nanti. Namun ia tidak kelihatan sehingga kongres berakhir.

2. Tan Sri Muhyiddin sangat perlu hadir ke kongres tersebut atas dua faktor. Pertama, yang memberi ucaptama di kongres tersebut adalah pemimpin Melayu dari parti yang dianggotai oleh Tan Sri Muhyiddin. Dari segi hierarki, penyampai ucaptama tersebut adalah ketua Tan Sri Muhyiddin di dalam parti. Tradisi parti baru PPBM mengiktiraf Penasihat adalah ‘ketua’. Apabila bos hadir, tidak boleh tidak, pemimpin di kedudukan bawah bos perlu hadir.

3. Faktor kedua, jika kedudukan dalam kerajaan diambil kira (walaupun penganjur kononnya tidak menjemput Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri), Tan Sri Muhyiddin sebagai seorang menteri kanan sangat perlu hadir bagi merai serta menghormati Perdana Menteri Malaysia kerajaan Pakatan Harapan. Ini tidak, setelah puas diintai, kelibat Tan Sri Muhyiddin memang tidak langsung kelihatan semalam.

4. Agak mustahil Tan Sri Muhyiddin tidak dijemput. Lebih-lebih lagi ada resolusi yang dibentangkan menyebut Ketua Polis Negara haruslah terdiri dari seorang Melayu beragama islam beraliran Ahlis Sunnah wal Jama’ah. Ini secara langsung berkaitan dengan potfolio Tan Sri Muhyiddin sebagai Menteri Dalam Negeri.

5. Tiada kenyataan langsung dari Tan Sri Muhyiddin atau pejabatnya berhubung ketidakhadiran beliau semalam. Tiada pula laporan di akhbar-akhbar arus perdana Tan Sri Muhyiddin menghadiri sebarang majlis lain. Apakah Tan Sri Muhyiddin pulang ke kawasan pada hujung minggu? Adakah Tan Sri Muhyiddin perlu menghadiri satu majlis lain yang tidak boleh dilaporkan media sehingga membelakangkan kehadiran Pengerusi PPBM dan Perdana Menteri. Atau Tan Sri Muhyiddin tidak sihatkah?

6. Dari segi politik, ketidakhadiran Tan Sri Muhyiddin ke majlis yang disifatkan oleh PPBM sebagai teramat penting, boleh mencetuskan pelbagai spekulasi. Tambahan pula dengan PRK Tanjung Piai yang akan diadakan nanti. Situasi ini tentunya mengingatkan kita insiden pelantikan Menteri Besar Johor yang membuatkan ‘perang dingin’ antara Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin.

7. Berlaku juga krisis ribut dalam cawan sehingga Majlis Tertinggi PPBM bermesyuarat dan menyatakan sokongan secara terbuka kepada Tun Mahathir. Untuk rekod, Tan Sri Muhyiddin kemudiannya memohon maaf atas perkara tersebut dan konon menjelaskan situasi sebenar semasa mesyuarat. Namun tidak lama selepas itu, Tun Mahathir dengan kuasa sebagai Pengerusi PPBM telah melantik Mazlan Bujang sebagai Pengerusi PPBM Johor.

8. Tindakan ini bertentangan dengan tradisi sebelumnya yang menyaksikan seorang Menteri Besar adalah juga Pengerusi Perhubungan PPBM Johor. Puas juga Menteri Besar yang baru dilantik ketika itu Dr. Sahrudin Jamal bersilat bagi merasionalkan mengapa beliau tidak dilantik sebagai Pengerusi PPBM Johor. Spekulasi menyatakan Dr. Sahrudin adalah pilihan Tan Sri Muhyiddin manakala Tun Mahathir pula mahukan Mazlan Bujang sebagai Menteri Besar.

9. Adakah perkara ini masih belum selesai? Apakah PPBM menghadapi masalah menentukan calon dari kem Mahathir atau kem Muhyiddin yang akan diturunkan dalam PRK Tanjung Piai nanti? Jika dilihat dari kehadiran PPBM Johor semasa kongres semalam, bolehlah diandaikan wujud ribut dalam cawan berkaitan pemilihan calon PPBM dari dua kem berlainan untuk Tanjung Piai.

10. Namun sehingga kini, Tan Sri Muhyiddin masih belum mahu bersuara mengenai ‘kejayaan’ Kongres Maruah Melayu mahupun ‘memuji’ ucapan Tun Mahathir semalam seperti kelaziman ahli PPBM yang lainnya. Sama-sama kita nantikan sampai bila PPBM mahu terus menyapu sampah ke bawah karpet…

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts