Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menggesa pihak kerajaan Perikatan Nasional, khususnya Kementerian Agama menilai kembali kedudukan lantikan politik di dalam agensi-agensi bawah bidang kuasanya.
Menurut Pengerusi UMMAH Pusat, Mohd Zai Mustafa bahawa tindakan menilai kembali kedudukan penjawatan lantikan politik ini perlu diberi perhatian segera dan sewajarnya oleh pihak menteri bagi memastikan pejalanan agensi-agensi di bawah kementeriannya dapat berjalan mengikut naratif dan aspirasi kerajaan Perikatan Nasional.
Katanya, “Penilaian semula kedudukan lantikan politik wajar dilakukan segera kerana kerajaan Pakatan Harapan sudah terbubar dan kerajaan yang memerintah sekarang adalah kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Mahyuddin Yasin yang mendapat sokongan padu dari gabungan fraksi politik Bersatu, Muafakat Nasional, Barisan Nasional, GPS, di samping MP Bebas yang didominasi Melayu Islam, katanya.
UMMAH Pusat juga mendapati pelantikan jawatan politik bagi agensi tersebut adalah daripada kalangan wakil parti sekutu DAP, juga NGO sekutu mereka seperti IKRAM, ABIM yang dikenalpasti secara tegar dan terang menentang aspirasi kerajaan sekarang.
Antara agensi-agensi yang berada di bawah Kementeria Agama seperti JAKIM, YADIM, YAPIEM, Hospital Pusrawi, Kolej Profesional Bailtulmal MAIWP, Yayasan Taqwa MAIWP dan banyak lagi agensi yang lain. Di mana, agensi-agensi tersebut adalah strategik dan penting dalam usaha memacu kesejahteraan umat Islam di negara ini.
Mohd Zai menambah, kami (UMMAH Pusat) bimbang, sekiranya penjawatan lantikan politik era Pakatan Harapan dikekalkan ia bukan sahaja tidak dapat melaksanakan hala taju dan matlamat ditetapkan, bahkan dibimbangi berlaku tindakan sabotaj yang boleh menjejaskan hala tuju dan matlamat tersebut.
“Sebelum nasi menjadi bubur, seeloknya penjawatan lantikan politik tersebut diganti dengan segera,” ujarnya.
Sebelum ini, UMMAH Pusat turut menasihatkan semua pemegang jawatan bagi kouta lantikan politik kerajaan Pakatan Harapan (PH) disarankan agar dapat melepaskan jawatan mereka secara yang terhormat dan berjiwa besar.
UMMAH Pusat juga berhasrat mengunjungi YB Menteri dan YB Timbalan Menteri Agama dalam masa yang terdekat bagi memberi pandangan dan membincangkan hal tersebut.