Dalam keadaan negara masih dibatasi dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April depan berikutan ancaman pandemik Covid-19, pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa cuma agak terbatas melalui kekangan pergerakan.
Sejak ia dimulakan pada 18 Mac, pelbagai produk dan perkhidmatan yang sebelum ini dijalankan secara offline ataupun di kaunter, kini diperluaskan kepada perkhidmatan online.
Manfaatkan teknologi sebaik mungkin
Mana-mana mesyuarat ataupun perbincangan yang perlu dijalankan boleh dilaksanakan melalui sidang video dan tidak perlupun bersemuka. Data yang diperlukan pula boleh diakses melalui ‘simpanan awan’ atau cloud storage dan tidak ada alasan ia tidak boleh dilakukan selagi ada kemahuan.
Dalam zaman teknologi di hujung jari ini maka tiada alasan tidak boleh memproses gaji pekerja, mengadakan mesyuarat, ketiadaan maklumat yang lengkap, tidak dapat bersemuka dengan majikan dan lain-lain hal pejabat atas alasan kononnya kerana tidak dibenarkan ke mana-mana ketika PKP.
Kerajaan tidak boleh jadikan wabak Covid-19 dan PKP sebagai alasan
Ketika inilah hubungan antara manusia dimaksimakan melalui teknologi dan aplikasi, malah melalui WhatsApp sahaja sudah cukup untuk mencari dan menyalurkan maklumat kepada rakan sekerja, walaupun tidak bersemuka untuk berbincang atau bermesyuarat.
Begitu juga bagi kerajaan, tidak mungkin keterbatasan pergerakan disebabkan oleh PKP ini membuatkan kerajaan menjadi lembab, cuai dan memandang remeh lantikan politik semasa zaman Pakatan Harapan yang masih berleluasa di seluruh negara.
Belum terlambat bagi menamatkan lantikan politik Pakatan Harapan
Kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sewajarnya bertindak segera walaupun ketika ini negara sedang dilanda wabak Covid-19 kerana bukan semua kementerianpun yang terlibat secara langsung.
Mana-mana kementerian, syarikat-syarikat GLC, badan-badan berkanun, universiti awam dan badan berkepentingan lain termasuk di negeri-negeri yang telah bertukar pentadbiran seperti Melaka, Johor dan Perak, wajar mengenalpasti dan menyenaraikan semua lantikan Pakatan Harapan untuk digantikan dengan segera bagi memastikan keberkesanan dalam pelaksanaan.
Selain itu dikhuatiri juga segala pelaksanaan kerajaan akan terdedah kepada sabotaj dalaman.
Contohi Majlis Amanah Rakyat (MARA)
Kerajaan wajar mencontohi Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang diterajui oleh Dato’ Dr. Haji Abdul Latiff Ahmad yang telah menukar pucuk pimpinan MARA agar hala tujunya tidak lari dari matlamat asal.
Kerajaan tidak perlu takut dikecam oleh pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong Pakatan Harapan kerana jika tidak dilakukan segera dikhuatiri ancamannya akan lebih besar kelak.
Semua pihak sedia maklum pelantikan oleh Pakatan Harapan selama ini tidak pernah berdasarkan merit ataupun kelayakan individu tersebut tetapi lebih kepada ‘reward‘ kepada kroni-kroni mereka sendiri.
Lantikan pengasas FashionValet sebagai Lembaga Pengarah Universiti – UiTM
Ketika ini Vivy Sofinas Yusof dikecam hebat oleh netizen kerana dikatakan menghina atau memperlekehkan golongan B40 yang mendapat bantuan kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi.
Perkara ini bukan mengenai sama ada wajar atau tidak beliau membuat kenyataan tersebut yang kemudian telah dipadamkannya tetapi ia telah membuka mata ramai pihak mengenai kewajarannya dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) bagi Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebelum ini.
Kini terdapat petisyen untuk beliau ditamatkan sebagai ahli LPU, rujuk:
Namun tiada yang pelik pada zaman Pakatan Harapan memerintah kerana bukan sahaja individu yang tidak berkelayakan akan dilantik tetapi juga mereka yang mempunyai ijazah palsu juga boleh menjadi menteri.
Apa dirisaukan, mereka yang dilantik ini tidak mampu memenuhi matlamat kerajaan seperti yang dapat kita lihat apa yang berlaku di SSM.
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
Lantikan oleh kerajaan Pakatan Harapan di SSM juga wajar diperhalusi segera jika wujudnya unsur-unsur sabotaj kerana ketika ini SSM membuat tindakan yang tidak masuk akal apabila bukan sahaja menghentikan operasi perkhidmatan di kaunter malah perkhidmatan dalam talian (online) juga dihentikan, yang membelakangkan kepentingan awam dan kerajaan.
Jika SSM tidak boleh menghentikan tindakan drastik mereka menghentikan perkhidmatan online yang tidak wajar dilaksanakan ini, maka kerajaan wajar mengambil tindakan drastik menghentikan individu yang bertanggungjawab mengarahkan ia dilaksanakan.
Lantikan politik termasuk dari parti DAP dan PAN wajar ditamatkan serta-merta
Antaranya;
Tabung Haji yang memerlukan ‘pembersihan’ segera kerana matlamat asal Tabung Haji telah diselewengkan dengan sewenang-wenangnya, malah pelbagai aset seperti hotel-hotel dan ladang sawit beribu hektar telah terjual.
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang dipenuhi oleh lantikan politik daripada parti PAN dan DAP juga wajar diberhentikan segera.
Juga termasuk sebarang lantikan politik di JAKIM dan YAPEIM.
SPV yang dibentuk di bawah Kementerian Kewangan
SPV yang dikuasai DAP sebelum ini melalui Lim Guan Eng juga wajar ditamatkan dan dikembalikan kepada Tabung Haji.
Terlalu banyak kerosakan dicipta oleh Kementerian Kewangan dan SPV terhadap Tabung Haji yang wajar diambil tindakan segera.
Malah lantikan beberapa individu penting di Tabung Haji oleh Pakatan Harapan juga masih berleluasa di sana.
Menteri Agama wajar bertegas
Jika sebelum ini beliau selaku Mufti Wilayah Persekutuan mungkin terpaksa mendokong pendekatan “Rahmatan lil Alamin versi Mujahid” – bekas Menteri Agama, namun ketika ini Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sendiri telah dilantik sebagai Menteri Agama dan beliau wajar menjalankan amanahnya dengan saksama.
Beliau tidak boleh berlembut dengan anasir-anasir yang hendak merosakkan Islam kerana kepentingan agama dan maslahat umat Islam di Malaysia wajar beliau utamakan.
Walaupun Zulkifli dikenali sebagai individu yang suka menyantuni pihak lain termasuk meraikan hari jadi Lim Guan Eng, namun tanggungjawabnya terhadap umat Islam di negara ini wajar dipenuhi.
Jangan hubungan baik beliau selama ini dengan kerajaan Pakatan Harapan mengaburi tindakan beliau untuk memartabatkan agama Islam kembali ke landasan asalnya, sesuai dengan amanah yang diberikan oleh Perdana Menteri.
Lantikan DAP di pelbagai suruhanjaya dan lembaga
i. Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai – dilantik sebagai Duta Khas Ke China merangkap Pengerusi Malaysia-China Business Council (Majlis Perniagaan Malaysia-China, MCBC).
ii. Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack – dilantik sebagai Pengerusi Malaysian Timber Industry Board (Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, MTIB).
iii. Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago – dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)
iv. Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh – dilantik sebagai Pengerusi Sustainable Energy Development Authority (Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari, SEDA)
v. Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau – dilantik sebagai Pengerusi National Institute of Occupational Safety and Health (Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara, NIOSH)
Selain itu lantikan politik Ahli Parlimen dan ADUN serta pemimpin DAP di keempat-empat pelabuhan negara wajar ditamatkan segera iaitu;
i. Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin – dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Labuan Port Authority – Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA)
ii. Ean Yong Hian Wah, ADUN Seri Kembangan – dilantik sebagai Pengerusi Port Klang Authority – Lembaga Pelabuhan Klang (PKA)
iii. Dr John Brian Anthony, Ahli Jawatankuasa CEC DAP dan Ahli Jawatankuasa DAP Sarawak – dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Bintulu Port Authority – Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA)
iv. Jeffrey Chew Gim Eam, bekas Penolong Bendahari DAP Pulau Pinang – dilantik sebagai Pengerusi Penang Port Commission dan Pengerusi Penang Port Commission Teluk Ewa
Lantikan-lantikan politik lain dan bukan hanya DAP juga wajar ditamatkan.
Lain-lain lantikan di zaman Pakatan Harapan
Selain itu, lantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang turut mengundang kecaman ramai sejak sekian lama kerana beliau sangat tidak adil dan berat sebelah sebelum ini di setiap Pilihan Raya Kecil di seluruh negara.
Serta penggantian Speaker Dewan Rakyat juga wajar dilakukan segera kerana Sidang Parlimen akan berlangsung tidak lama lagi pada Mei depan.
Justeru Muhyiddin dan kerajaannya jangan memandang remeh lantikan politik Pakatan Harapan sebelum ini dan mereka perlu bertindak segera agar tidak menyesal di kemudian hari.
Pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan bukanlah alasan untuk menangguhkan penamatan lantikan mereka yang seumpama “duri dalam daging” bagi kerajaan.