Tujuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan adalah untuk membendung penularan wabak pandemik Covid-19, yang bukan sahaja dilaksanakan oleh Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte malah memberi amaran lebih tegas kepada individu yang melanggar undang-undang sepanjang tempoh perintah berkurung dilaksanakan, iaitu ditembak.
Sebaliknya berlaku di negara ini di mana pelaksana undang-undang iaitu pihak Polis DiRaja Malaysia yang bertungkus lumus menguatkuasa undang-undang yang dibuat oleh kerajaan, sebaliknya disiasat dan berkemungkinan akan dikenakan tindakan kerana bertegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang.
Betapa tidak logiknya di sebalik saranan jangan keluar rumah, tetapi pelaksananya sendiri berdepan dengan hukuman kerana bertegas.
Manakala individu yang melanggar undang-undang pula seolah-olah ‘dibela’ sedangkan pihak polis hanya menjalankan tugas yang kerajaan sendiri perintahkan.
Ini akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan agensi penguatkuasaan yang bekerja siang dan malam, ketika panas dan hujan jika pihak kerajaan sendiri yang memandang ringan perintah tersebut.
Jika pihak polis dan tentera hanya sebagai ‘pak pacak’ sahaja maka lebih baik larangan ini ditarik balik kerana membuang masa dan mereka yang terlibat boleh pulang dan berehat di rumah bersama anak isteri dan bukannya bekerja di bawah tekanan.
Jika merotan remaja degil yang berkali-kali diminta bersurai serta meninggikan suara terhadap seorang lelaki Cina biadap yang bersikap kurang ajar dikatakan sebagai melanggar undang-undang, maka disarankan kerajaan membatalkan sahaja Perintah Kawalan Pergerakan.
Lupakan sahaja fasa kedua atau ketiga pembendungan jika keadaan bertambah buruk akibat segelintir rakyat yang degil dan biadap serta memandang remeh PKP yang dilaksanakan kerana jika bertegas, anda akan dikenakan tindakan.
Jika beginilah sikap dan layanan kerajaan, maka tidak lama lagi tentunya mereka yang di barisan hadapan ini akan hilang komitmen dan mula bertugas sambil lewa, yang akhirnya akan merugikan negara.
Masyarakat yang degil pula akan memandang rendah petugas barisan hadapan kerana tahu polis dan tentera tidak boleh mengambil apa-apa tindakan ke atas mereka.
Tidak perlupun kerajaan bertegas dengan mengeluarkan arahan tembak mereka yang degil seperti di Filipina, tetapi cukuplah dengan menyokong penuh dan membiarkan pihak berkuasa menjalankan tugas dan melaksanakan tanggungjawab mereka sepenuhnya, termasuklah jika terpaksa merotan mereka yang degil.