HOSPITAL PAKAR KPJ PERLU MENGGANTUNG TUGAS DR. MUSA NORDIN SEHINGGA MASALAH COVID-19 SELESAI

476
SHARES
2.8k
VIEWS

MUAFAKAT menggesa agar Hospital Pakar KPJ Damansara menggantung tugas Dr. Musa Nordin sehingga masalah wabak COVID-19 di Malaysia selesai. Ini adalah susulan dari dakwaan beliau yang tidak cermat apabila mendakwa kakitangan perubatan tidak dilengkapi alat perlindungan sewajarnya, termasuk peralatan perlindungan diri (PPE) dan gesaan beliau supaya Dr. Noor Hisham Abdullah bersama pegawainya turun padang melawat hospital yang terjejas.

2. Walau bagaimanapun kritikan ini telah dinafikan sendiri oleh Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dengan menafikan tuduhan bahawa ketidakcukupan bekalan PPE adalah tidak benar, majoriti petugas kesihatan tidak dijangkiti sewaktu bertugas tetapi di luar waktu bertugas.

3. Maklumat yang diterima menyatakan bahawa 80 peratus daripada 181 kakitangan KKM yang dijangkiti COVID-19 adalah di luar tempat kerja. Bukannya di tempat kerja. Yang keduanya, sebanyak 20 peratus lagi dijangkiti ketika bertugas di wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU) yang tidak terbabit dengan rawatan COVID-19.

4. Manakala jangkitan terhadap kakitangan KKM di tempat kerja berlaku apabila pesakit yang dirawat tidak memaklumkan mereka ada hubungan dengan kontak rapat. Maksudnya, mereka mengamalkan langkah pencegahan dan memakai PPE semasa menjalankan tugas.

5. Malah sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berkata bahawa kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menyokong usaha menangani COVID-19. Perdana Menteri berkata, peruntukan itu antaranya akan digunakan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan ICU, peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan COVID-19.

6. Jadi jelas, kelantangan beliau menyuarakan pandangan itu bukan merupakan pandangan profesional dan jujur. Sebaliknya ia lebih kepada emosi dan sentimen politik. Tindakan beliau ini nampaknya lebih kepada provokasi untuk memburuk-burukkan pentadbiran kerajaan baru yang nampaknya lebih dipercayai oleh rakyat daripada kerajaan yang beliau puja dahulu.

7. Sedangkan kini kita dapat lihat bahawa kerajaan baru Perikatan Nasional (PN) yang juga dikatakan kerajaan Melayu-Islam telah memberikan kepercayaan penuh kepada penjawat awam iaitu Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah selaku Ketua Pengarah Kesihatan dalam mengekang wabak COVID-19 ini. Ia adalah hasil daripada meletakkan orang yang berkebolehan, bukannya daripada lantikan politik, kini kita dapat melihat kejayaannya walaupun masih baru.

8. Untuk rekod, Malaysia antara negara yang mencatatkan rekod tinggi peratus pesakit berjaya pulih dari jangkitan COVID-19 iaitu 32.7 peratus, berbanding Singapura 24.4 peratus, Hong Kong 22.54 peratus, manakala purata dunia ialah 21.01 peratus. Begitu juga dengan kadar kematian, di Malaysia hanya 1.63 peratus berbanding Korea 1.84 peratus, Jepun 2.38 peratus, Sweden 5.87 peratus dan purata dunia 5.49 peratus.

9. Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memilih Malaysia sebagai pusat penyelidikan rawatan wabak COVID-19. Salah satu kriteria yang menyebabkan Malaysia dipilih sebagai pusat penyelidikan rawatan COVID-19 oleh WHO ialah kemampuan dan keupayaan KKM untuk menjalankan kajian. Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah telah meneraju KKM sejak daripada tahun 2013. Tidakkah ini satu kejayaan?

10. Ini sangat berbeza dengan Datuk Dr. Musa Nordin yang mana tatkala terdapat desas-desus bertiup bahawa kerajaan PN mahu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau adalah antara yang lantang bersuara pada 16 Mac 2020 memprotes cadangan kerajaan ini dan mengatakan ada cara lain selain ‘lockdown’ sekalipun seluruh dunia mengambil pendekatan lockdown atau yang kita kenali sebagai PKP ini.

11. Datuk Dr. Musa Nordin sepatutnya sudah akur dan boleh menerima hakikat bahawa kerajaan Pakatan Harapan sudah tidak ada dan beliau bukan lagi penasihat bagi Menteri Kesihatan. Oleh itu pandangan beliau buat masa sekarang tidak diperlukan lagi. Malah dari segi profesion beliau hanya pakar dalam bidang Pediatrics dan Neonatology yang lebih berkaitan dengan bayi dan kanak-kanak dan bukan dalam bidang virology yang mana lebih berkaitan dengan wabak virus.

12. Sekiranya beliau merupakan pegawai perubatan yang berkhidmat di KKM sudah tentu dia telah menerima surat tindakan tatatertib kerana keterlaluan menggunakan platform terbuka mengkritik pentadbiran kerajaan. Maka tidak hairanlah Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Datuk Amiruddin Abdul Satar, selaku majikan beliau sendiri tidak bersetuju dengan pandangan Dr. Musa Nordin dan memohon maaf kepada Dr. Noor Hisham Abdullah. E-mel beliau kepada Ketua Pengarah Kesihatan itu tular dalam laman sosial.

13. MUAFAKAT berpendapat bahawa permohonan maaf tidak cukup. Datuk Dr. Musa Nordin sepatutnya digantung tugas oleh KPJ Healthcare Berhad kerana telah menimbulkan kekecohan dengan menimbulkan isu yang tidak perlu ketika mana sepatutnya KKM kini perlu memberi sepenuh perhatian bagi mengekang wabak COVID-19 ini dan bukan menjawab isu-isu palsu dan remeh.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts