MUFTI SEBAGAI AUTORITI AGAMA TERTINGGI MEWAKILI SULTAN

528
SHARES
1.6k
VIEWS

Oleh Tun Suzana

Dalam sebuah kesultanan Melayu, Mufti berperanan sebagai wakil Sultan yang dipertanggungjawabkan kepadanya segala urusan hal ehwal Islam secara rasmi. Menurut catatan manuskrip Melayu, beberapa istilah lain yang sinonim dengan Mufti seperti Syeikhul Islam, Qadhi dan Qadhi al Malik al-Adil wujud di alam Melayu, merujuk peranan yang sama.

Kebanyakan para Mufti zaman dahulu merupakan mereka yang posisinya duduk pada martabat seorang Syeikh dalam disiplin Ilmu Tarekat Rohani, merupakan pakar dalam pelbagai disiplin ilmu serta memiliki kemampuan mengurus segala hal ehwal kehidupan masyarakat Islam. Malahan seorang Mufti adalah juga menjadi pembimbing rohani kepada Sultan dan para pembesar baginda, serta tokoh rujukan terpenting dalam usaha membina serta mencorak hala tuju pembangunan peradaban Islam bagi sebuah kerajaan Melayu.

Mufti mempunyai kuasa otoriti tertinggi yang rasmi mewakili Sultan untuk memberikan sesuatu keputusan, hukum mahupun fatwa, berbanding dengan alim ulama lain. Sebarang keputusan, hukum atau fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti wajib menjadi landasan dan pegangan masyarakat di bawah sesebuah kesultanan.

Hatta, para ulama lain juga wajib akur, patuh serta mentaati keputusan yang dikeluarkan oleh Mufti atas persetujuan dan ketetapan dari Sultan sebagai Ketua Negara atau Daulah. Maka, urusan pemilihan seorang Mufti adalah antara perkara yang paling diambil berat oleh Sang Raja, merujuk ciri kelayakan ilmu, amal, integriti, wibawa, sifat hikmah, kepimpinan dan pengalamannya.

Dalam kesultanan Melaka, seorang ulama dari keturunan Rasulullah SAW dari tanah Hijaz yang bernama Sayyid Abdul Aziz, telah datang bersama rombongannya ke Melaka atas titah Syarif @ Penguasa di Mekah, berhasil mengislamkan Raja Melaka menjadi Sultan Muhammad Shah. Lalu Sayyid Abdul Aziz dilantik oleh baginda sebagai Qadi Melaka, sekaligus menjadi pembimbing rohaninya. Kemudian anaknya Sayyid Maulana Yusuff dan cucunya Sayyid Menawar juga telah dilantik sebagai Qadi Melaka, menjadi pembimbing kepada hampir kesemua Raja-Raja Melaka seperti Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Mahmud Syah I.

Ini merupakan suatu tempuh yang panjang sehingga membekas besar dan gemilang dalam sejarah pembangunan peradaban dan ketamadunan Islam kesultanan Melaka serta kerajaan-kerajaan yang bernaung di bawahnya, yang mana keberkatan warisannya masih kita nikmati sehingga ke hari ini.

Moga para Mufti di tanah air tercinta dipermudahkan urusannya oleh Allah SWT untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan baik dan beramanah, sebagai autoriti agama yang tertinggi di negeri-negeri, mewakili Raja-Raja Melayu, khususnya dalam peranan sebagai penasihat agama dan pembimbing rohani kepada baginda sekalian, sebagaimana peranan yang pernah dijayakan dengan gemilang oleh para qadi bagi kesultanan-kesultanan Melayu nan silam. Sehingga keberkatan bimbingan dan nasihat Mufti menjadi limpahan rahmat dan keberkatan kepada semua lapisan rakyat di negara ini.

Amiin ya Robbal ‘Alami in. 

Nota kaki:

Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan buku bertajuk ‘ Sumbangan & Peranan Mufti Dalam Kegemilangan Tamadun Alam Melayu’ oleh Dr Mohd Syukri Yeoh, sila berhubung dengan pihak ATMA, UKM

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts