PKP BERSYARAT: BAGAIMANA KEDAI MAKAN ATAU RESTORAN BEROPERASI?

2.4k
SHARES
7.7k
VIEWS

Berdasarkan daripada transkrip penuh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Sekiranya terdapat pengusaha kedai makan atau restoran yang ingin membuka premis mereka pada 4 Mei, iaitu hari Isnin minggu depan – di mana PKP fasa ketiga berakhir pada 2 Mei, maka mereka dibenarkan ketika ini untuk ke  kedai makan atau restoran mereka untuk;

Membersihkan kedai makan atau restoran, pinggan mangkuk, sudu, periuk dan lain-lain alatan memasak. Termasuk juga bagi menyusun meja dan kerusi serta membeli keperluan dan stok barang-barang mentah bagi tujuan operasi bersyarat pada tarikh selepas 2 Mei.

Pengusaha juga perlu pastikan;

(i) Meja disusun dengan jarak sekurang-kurangnya 2 meter antara satu meja dengan meja yang lain

Ini bertujuan supaya ada ruang yang luas antara meja tersebut untuk pelanggan dan pekerja lalu dan mempunyai jarak yang selamat antara pelanggan yang makan di restoran anda.

(ii) Menjaga penjarakan sosial antara satu sama lain

Untuk memastikan penjarakan sosial ketika pelanggan makan, pengusaha kedai makan atau restoran boleh meletakkan notis hanya satu pelanggan di setiap meja kecil atau dua atau tiga pelanggan di meja yang besar. Ia bergantung kepada saiz meja di setiap kedai makan atau restoran tersebut yang akan ditentukan oleh pengusahanya.

(iii) Membuat garisan di lantai depan kaunter bayaran untuk mengelakkan beratur terlalu dekat ketika membayar

Ukur garisan sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain. Ini bertujuan untuk memastikan pelanggan beratur dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter di  antara satu sama lain ketika beratur membuat pembayaran.

(iv) Sediakan hand sanitizer di kaunter bayaran

Pelanggan yang selesai membuat pembayaran boleh menggunakan hand sanitizer untuk bersihkan tangan masing-masing. Pengusaha kedai makan atau restoran juga boleh menyediakan sabun atau atau alatan mencuci tangan yang mencukupi di tempat basuh membasuh tangan. 

(v) Sediakan penyembur pembersih meja yang mencukupi

Setiap kali selepas pelanggan selesai makan, setiap pekerja perlu dimaklumkan untuk membersihkan meja secepat mungkin sebaik sahaja pelanggan beredar dan sebelum pelanggan lain duduk di meja tersebut. 

(vi) Pengusaha perlu sediakan face mask untuk setiap pekerja kedai makan atau restoran mereka

Pengusaha kedai makan juga turut perlu memakai penutup muka atau face mask pada setiap masa

(vii) Pekerja sentiasa mencuci tangan dengan hand sanitizer

Setiap kali selepas mengendali dan membersihkan meja termasuk mengangkat pinggan dan gelas pelanggan, pekerja tersebut di nasihatkan sentiasa mencuci tangan dengan hand sanitizer atau sabun pembersih yang disediakan oleh pengusaha. 

(viii) Seboleh-bolehnya periksa suhu badan pelanggan sebelum dibenarkan masuk ke restoran

Sila gunakan alat pengimbas suhu yang sesuai untuk periksa suhu badan
pelanggan masing-masing. 

(ix) Catat nama dan nombor telefon pelanggan serta tarikh dan masa mereka datang ke restoran

Perkara ini perlu dipastikan dan amat penting untuk dilaksanakan kerana jika ada kes positif Covid-19 yang melibatkan salah seorang pelanggan, maka pelanggan-pelanggan lain yang datang pada hari tersebut boleh segera dikesan. 

Semua perkara di atas ini amat penting dilakukan oleh setiap pengusaha kedai makan atau restoran untuk memastikan tiada pelanggan yang terkena jangkitan Covid-19.

Syarat-syarat ini juga terpakai kepada setiap pemilik restoran makanan segera, pengusaha food truck dan gerai makanan. 

Jika semua pengusaha melaksanakannya maka kerajaan membenarkan pelanggan-pelanggan datang makan atau membeli makanan di premis mereka. 

Saranan kerajaan, jika masih was-was, maka rakyat dinasihatkan untuk membungkus sahaja makanan atau minuman yang dihajati dan tidak perlu makan di kedai makan atau restoran tersebut dan itu mungkin kaedah yang terbaik. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts