TAN SRI ANNUAR MUSA, JADILAH ‘TEAM PLAYER’ DALAM PASUKAN PN GPS

287
SHARES
772
VIEWS

1. Semenjak dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan di dalam kabinet Perikatsan Nasional GPS, TS Annuar Musa dilihat sangat suka bercakap. Apa saja membabitkan polisi di Kementerian Wilayah Persekutuan, beliau akan ke hadapan. Sewajarnya TS Annuar berbuat begitu, namun adakalanya beliau dilihat mendahului menteri kanan terutama bila melibatkan isu semasa PKP.

2. Sebelum Ramadan, TS Annuar telah mendahului Menteri Kanan (Keselamatan) dalam isu pasar Ramadan. TS Annuar mengumumkan Wilayah Persekutuan akan melaksanakan pasar Ramadan maya dan beberapa aplikasi akan dibangunkan bagi merealisasikan idea tersebut.

Namun akhirnya apabila DS Ismail Sabri mengumumkan tiada pasar Ramadan maya (masa itu), situasi nampak kurang cantik bagi TS Annuar yang telah mengumumkan lebih awal. Akhirnya nampak seperti Kementerian Wilayah Persekutuan terpaksa u-turn.

3. Semasa peringkat awal PKP dahulu, TS Annuar mengambil inisiatif memulakan bantuan kepada yang memerlukan di sekitar Wilayah Persekutuan. Usaha murni tersebut bagaimanapun menjadi modal utama pembangkang apabila didapati ada ruang ketidakpatuhan SOP semasa penyampaian bantuan tersebut.

4. Klip video TS Annuar memasuki bangunan DBKL menjadi bahan jenaka apabila hanya beliau sahaja yang diambil suhu ketika mahu memasuki bangunan. Setelah suhu TS Annuar diambil, kesemua wakil rombongan yang mengikuti TS Annuar turut sama masuk ke dalam bangunan tanpa diambil suhu mereka. Timbul persoalan, adakah tindakan mengambil suhu ini satu ‘lakonan’ bagi seorang menteri?

Untuk rekod, situasi yang sama juga berlaku kepada Ketua Menteri Sarawak. Jika rakyat perlu diambil suhu mereka seorang demi seorang, apa istimewanya pegawai-pegawai menteri dalam situasi begini.

5. Terbaru, tular gambar TS Annuar bersolat sunat tarawih berjemaah di pejabat beliau. Beliau sendiri yang memuat naik gambar-gambar tersebut di FB beliau. Tiada salahnya bersolat tarawih secara berjemaah, bahkan TS Annuar dan jemaah mempraktikkan SOP penjarakan sosial. Namun dalam ketika ini, tentu saja ia ibarat ‘bola tanggung’ kepada pembangkang untuk menghentam TS Annuar dan kerajaan PN GPS.

Berlegar di kalangan netizen, poster antara dua darjat. Beberapa jemaah dari sebuah kampung di Kedah telah didakwa di mahkamah kerana cuba solat tarawih di surau. Namun TS Annuar dan para pegawai yang bersolat tarawih di pejabat tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

6. Jika mahu berhujah, banyak yang boleh didebatkan dari situasi ini. Namun saya kira ia membuang masa. Cuma dalam keadaan begini, adalah lebih baik TS Annuar Musa dan menteri-menteri lain kurangkan bercakap atau berbuat sesuatu yang boleh dijadikan peluru oleh pembangkang untuk mengelirukan rakyat.

Keseragaman itu perlu, barulah akan nampak tersusun penyelarasan kenyataan serta perlakuan para menteri. Sudah timbul ayat-ayat bosku “menteri ni tiada Whatsapp group ke” digunapakai kembali untuk menyerang menteri dan kerajaan PN GPS.

Rakyat di bawah sedang menilai. Kita tidak mahu persepsi kerajaan PN GPS adalah sama seperti kerajaan PH dahulu. Para ‘cybertroopers‘ juga berhadapan kesukaran berhadapan dengan situasi para menteri yang sering berbuat kesilapan ‘bodoh’ yang tidak sepatutnya dilakukan.

7. Oleh itu, cubalah tidak mencalarkan imej kerajaan yang ada sekarang. Jalan terbaik adalah bercakap apabila perlu. Gambar aktiviti yang boleh dijadikan ‘bola tanggung’ oleh lawan perlu disimpan sebagai koleksi peribadi, bukan dikongsi di media sosial. Para menteri perlu lebih cerdik membuat prediksi dari tindakan mereka. Tidak perlu syok sendiri, kemudian dihentam lawan dan kawan sendiri.

#Kitajagakita juga membawa maksud jangan menimbulkan kesusahan sesama kita. #Kitamestimenang juga membawa erti kita perlu menang melawan persepsi lawan yang tidak pernah alpa memburukkan kita walaupun mereka sebenarnya lebih teruk dari itu… 

Paku Warren

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts