Di sebalik kerisauan Tan Sri Zainuddin Maidin mengenai semakin ramai anak-anak tahfiz meminta sedekah, rakyat Malaysia sewajarnya juga berasa risau dengan isu warga asing yang meminta derma bagi madrasah ataupun pusat tahfiz masing-masing berada di luar negara.
Ada yang mengaku dari Afghanistan, Kashmir, Pakistan dan yang paling ramai peminta derma daripada Thailand. Semua mengaku untuk masjid, madrasah tetapi hakikatnya semua mengambil kesempatan menipu rakyat Malaysia yang pemurah apatah lagi apabila agama didagangkan.
Semua kegiatan mereka didalangi sindiket penipuan yang telah bermaharaja lela sejak puluhan tahun yang lalu dimulai oleh peminta derma Afghanistan, kononnya negara mereka memerlukan bantuan kerana terlibat dengan perang sejak sekian lama.
Kenali jenis-jenis penipuan mereka melalui dokumen yang mereka bawa iaitu;
- Semua dokumen mereka adalah palsu dan sama di antara satu sama lain walaupun mereka datang dari negara yang berlainan seperti Afghanistan, India, Pakistan namun mereka mempunyai dokumen yang hampir serupa
- Surat kebenaran meminta derma daripada PERKIM – ditandatangani oleh Datuk Nakhaie Ahmad dan En. Jogi Maruli (semakan dengan mereka berdua mendapati surat tersebut palsu) walaupun PERKIM tidak boleh mengeluarkan surat kebenaran menderma
- Pelbagai madrasah dan ustaz-ustaz pengelola madrasah/masjid dipromosikan serentak
- Menunjukkan pelbagai gambar-gambar madrasah yang entah di mana yang kononnya memerlukan bantuan anda
- Apabila anda menderma, mereka akan meminta derma lain untuk tujuan Waqaf Al-Quran pula kerana mereka melihat anda pemurah dan mudah ditipu
Selain itu, TIADA SURAT KEBENARAN MEMINTA DERMA DARIPADA MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI kerana sememangnya Majlis Agama Islam tidak membenarkan mereka mengutip derma kerana dikhuatiri akan berlaku penipuan dan juga melanggar syarat pas atau visa lawatan ke negara ini.
Mereka juga amat takut jika bertemu dengan rakan senegara yang bekerja di Malaysia kerana rakan senegara mereka tahu mereka ini melakukan penipuan dan duit derma hanya untuk diri mereka sendiri.
Kita juga wajar memikirkan mengenai tiket kapal terbang, makan-minum, penginapan dan lain-lain belanja yang semuanya menggunakan duit derma rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia yang pemurah dan ingin menderma sewajarnya menderma hanya kepada masjid dan madrasah atau pusat tahfiz yang boleh kita temui dan salurkan secara terus bukannya kepada penipu warga asing ini yang memperoleh sekitar RM500 sehari atau RM15,000 sebulan setiap seorang.
Pendapatan haram mereka bertambah setiap kali menjelang bulan Ramadan, melebihi pendapatan golongan profesional di negara ini, hanya dengan menipu rakyat Malaysia yang pemurah.