Oleh Dr. Kamarul Yusoff
Pada 6 Februari 2009, Karpal Singh yang pada waktu itu adalah Pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, menyebut dalam satu sidang akhbar di Tetuan Karpal Singh & Co yang beralamat No. 67, Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur, kata-kata begini:
“The (Perak) Sultan has no right to call the 32 Assemblymen to the Istana and question them one by one as to where their allegiance lay (as Menteri Besar), because that is not within the confines of what the Sultan could do. That is the job of the State Assembly to decide under Article 33 (1). The Sultan cannot usurp the powers of the State Assembly.”
(Terjemahan: “Sultan Perak tidak mempunyai hak untuk memanggil 32 Ahli Dewan Undangan Negeri ke Istana dan menyoal mereka seorang demi seorang kepada siapa sokongan mereka pergi (sebagai Menteri Besar), kerana ini bukan dalam lingkungan apa yang Sultan boleh buat. Ini tugas Dewan Undangan Negeri untuk putuskan di bawah Perkara 33 (1). Sultan tidak boleh mengambil-alih kuasa Dewan Undangan Negeri.”)
Ekoran itu, hanya kira-kira sebulan setengah selepas itu, iaitu pada 17 Mac 2009, Karpal Singh terus sahaja didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Dipendekkan cerita yang panjang, Karpal Singh pun didapati bersalah kerana menghasut oleh Mahkamah Tinggi pada 21 Februari 2014 dan dijatuhkan hukuman denda RM4,000 yang sekali gus menghilangkan kelayakan beliau untuk kekal sebagai Ahli Parlimen Bukit Gelugor.
Malangnya, dua bulan selepas itu, sebelum sempat beliau merayu, iaitu pada awal pagi 17 April 2014, Karpal Singh pun meninggal dunia setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang kebetulannya berlaku di negeri Perak juga, iaitu berhampiran dengan Gua Tempurung.
Begitupun, rayuan terus dibuat oleh keluarga beliau tetapi rayuan ini ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 30 Mei 2016 yang mengekalkan keputusan bersalah tetapi mengurangkan denda menjadi RM1,800, sekali gus membolehkan balu beliau menerima pencen beliau.
Dan hanya pada 29 Mac 2019, setelah kerajaan berubah, DAP menjadi pemerintah dan anak Karpal Singh menjadi Menteri, barulah Mahkamah Persekutuan membebaskan beliau daripada kesalahan dan hukuman ini, itupun hanya atas alasan pembelaan Karpal Singh tidak diambil kira.
Soalannya sekarang ialah apakah bezanya tindakan Khalid Samad, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Seri Shafie Apdal mempertikaikan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri berbanding tindakan Karpal Singh mempertikaikan kuasa budi bicara Sultan Perak dalam melantik Menteri Besar?
Malah, tindakan Khalid Samad, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Seri Shafie Apdal ini sebenarnya jauh lebih berat dan lebih bahaya berbanding tindakan Karpal Singh kerana:
(1) Individu yang dipertikaikan kuasa budi bicaranya oleh Khalid Samad, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Seri Shafie Apdal, iaitu Yang di-Pertuan Agong, adalah berkedudukan jauh lebih tinggi dan lebih penting daripada individu yang dipertikaikan kuasa budi bicaranya oleh Karpal Singh, iaitu Sultan Perak.
(2) Cara Khalid Samad, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Seri Shafie Apdal mempertikaikan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong adalah jauh lebih berat dan lebih bahaya berbanding cara Karpal Singh mempertikaikan kuasa budi bicara Sultan Perak.
(3) Khalid Samad, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Seri Shafie Apdal selaku Ketua Menteri atau bekas Menteri adalah berkedudukan jauh lebih tinggi dan lebih penting daripada Karpal Singh yang hanyalah merupakan Ahli Parlimen biasa.
Oleh itu, jika PDRM dan AGC sekarang masih secekap seperti pada tahun 2009 dahulu, Khalid Samad, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Seri Shafie Apdal mungkin sahaja akan didakwa dalam tempoh kira-kira sebulan setengah juga.
Rujukan ringkas:
https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2009/03/17/didakwa-keluar-kenyataan-hasutan-karpal-mengaku-tidak-salah
https://www.malaysiakini.com/news/254998
https://www.thestar.com.my/news/nation/2014/04/17/karpal-singh-dies-car-accident/
https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2019/03/29/karpal-singh-freed-of-sedition-charge/
Dipetik dari laman Facebook beliau di pautan; https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3229451917098844&id=100001022016761