TEKS UCAPAN TITAH YDP AGONG SIDANG PARLIMEN 18 MEI: “KERAJAAN BETA…”

233
SHARES
753
VIEWS

Kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri hakikatnya adalah sebuah kerajaan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Konsep pinjaman kuasa kepada kerajaan pusat bagi menjalankan amanah memerintah kerajaan Malaysia dengan sebaik mungkin ini dijalankan melalui sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. 

Dalam titah sempena pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-14 pada 18 Mei jelas menunjukkan perkara tersebut apabila Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong kerap kali menggunakan ayat pembukaan “kerajaan beta…”, malah dalam Rukun Negara sendiri jelas menyatakan ikrar  pada rukun kedua iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan Negara”, selepas ikrar kepada mempercayai Tuhan.

Justeru bagi sesiapa yang masih berdegil tidak mahu memahatkan ketaatsetiaan masing-masing kepada Raja-raja Melayu terutama YDP Agong, jelas menderhaka dan tidak layak mengaku sebagai rakyat Malaysia yang kerajaannya di bawah naungan Baginda dan Raja-Raja Melayu, dengan izin Allah.

Berikut adalah teks penuh titah YDP Agong:

TITAH Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sempena pembukaan penggal ketiga, Parlimen ke-14 pada 18 Mei 2020 bertempat di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

بسم الله الر حمن الر حيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام
على اشرف الانبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه اجمعين رب اشرح لي صدرى ويسرلي امري والحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي

Yang Di-pertua Dewan Negara, Yang Di-pertua Dewan Rakyat, ahli-ahli Dewan Negara dan ahli-ahli Dewan Rakyat sekalian.

Alhamdulillah. Bersyukur beta ke hadrat Allah subhanahu wata’ala kerana telah melimpahkan kurnia dan keizinanNya kepada kita semua pada hari ini untuk bersama-sama dalam Istiadat Pembukaan Penggal ke-3 Parlimen ke-14.

Lebih bermakna apabila istiadat ini berlangsung dalam bulan Ramadan, iaini bulan yang penuh keberkatan dan menjadi penghulu kepada sekalian bulan.

Istiadat pada pagi ini diadakan dalam suasana yang agak berbeza dari norma dan kelazimannya. Ketika ini, negara kita masih lagi dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19 yang telah mula-mula dikesan menjangkiti rakyat Malaysia pada awal bulan Februari yang lalu.

Namun demikian, kita telah menghadapi dan menangani wabak ini dengan bersatu padu sebagai sebuah bangsa Malaysia yang kuat, cekal dan berdisiplin.

Dalam saat getir ini, petugas barisan hadapan negara terutamanya perkhidmatan kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, agensi pengurusan bencana negara, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, dan lain-lain agensi yang turut terlibat telah tampil dengan penuh dedikasi yang tinggi menghadapi serangan wabak ini.

Pengorbanan mereka tidak pernah mengenal erti penat mahupun takut hinggakan nyawa dan keselamatan diri sendiri menjadi taruhan demi menjaga kemaslahatan dan kepentingan orang ramai.

Justeru, sebagai tanda penghargaan negara, marilah bersama-sama dengan beta untuk berdiri dan memberikan tepukan yang gemuruh kepada semua wira dan wirawati petugas barisan hadapan negara.

Ahli-ahli yang berhormat.

Pada 24 Februari 2020 yang lalu, naratif landskap politik negara telah sekali lagi digegarkan menerusi perletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-7.

Sekitar jam 5.00 petang pada hari yang sama, beta telah berkenan menerima menghadap yang berhormat Tun Dr Mahathir bin Mohammad.

Dalam pertemuan tersebut, beta telah meminta yang berhormat Tun Dr Mahathir bin Mohammad untuk tidak meletak jawatan. Namun beliau tetap dengan keputusannya.

Oleh yang demikian, beta bertanggungjawab untuk melantik seorang perdana menteri yang baharu seperti mana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 43 memberi kuasa budi-bicara kepada beta untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat beta mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli dewan rakyat.

Lantaran itu, pada 25 dan 26 Februari 2020, beta telah mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka.

Pada 29 Februari 2020, beta telah menitahkan semua parti-parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang ahli Dewan Rakyat sebagai bakal perdana menteri.

Atas permintaan beberapa ketua parti politik, beta telah berkenan pula untuk melanjutkan tempoh masa bagi parti-parti politik mengemukakan pencalonan mereka agar masa yang cukup diberikan dalam mereka membuat perhitungan secara demokrasi.

Sudah tentu setiap pertandingan pasti akan ada penamatnya. Kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan dengan tanpa ada penghujung-nya.

Lantaran itu, setelah melalui semua proses tersebut, dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, beta telah mendapati yang amat berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8.

Sesungguhnya, beta telah menggalas amanah dengan telus dan adil selaras dengan konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang menjadi tunjang amalan negara kita.

Pada masa yang sama, beta juga menghargai kematangan dan kerjasama semua ahli-ahli yang berhormat dan rakyat jelata yang telah memain-kan peranan dengan penuh berhemah dan beretika sehingga memboleh-kan beta menggalas amanah ini.

Kepada kerajaan beta di bawah kepimpinan mamanda perdana menteri yang amat berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin, beta menaruh keyakinan bahawa usaha-usaha membawa negara untuk terus mendaki persada kejayaan yang lebih tinggi akan menjadi kenyataan.

Nasihat beta, laksanakan amanah ini dengan jujur dan penuh tanggungjawab serta jangan sekali-kali mengabaikan kesejahteraan rakyat jelata.

Ahli-ahli yang berhormat.

Sesungguhnya, cabaran yang dihadapi negara datang daripada pelbagai sudut. Negara kini berhadapan dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, kejatuhan harga minyak, perang perdagangan khususnya antara Amerika Syarikat dan China, halangan dan sekatan perdagangan oleh negara tertentu, komoditi yang dikaitkan dengan isu alam sekitar, pergolakan politik di beberapa negara, dan yang terbaharu penularan wabak COVID-19.

Semua cabaran ini telah memberi kesan kepada Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka.

Beta berkeyakinan kerajaan beta akan terus berusaha meminimumkan kesan buruk kepada rakyat dan negara.

Kedatangan wabak virus COVID-19 yang melanda dunia dan negara telah turut memberi kesan kepada ekonomi serta kesihatan dan kehidupan rakyat jelata. Belum pernah negara berhadapan dengan wabak yang sebegini serius sebelum ini.

Dalam menghadapi wabak ini, fokus utama kerajaan beta adalah untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat jelata sentiasa terjamin dan terbela. Ini termasuk dengan melaksanakan perintah kawalan pergerakan dan membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang terperangkap di luar negara.

Beta memahami banyak industri dan perniagaan terjejas akibat wabak ini. Namun, beta menyeru kepada para majikan untuk tidak membuang pekerja dengan sewenang-wenang-nya.

Semua pihak hendaklah bersedia melakukan pengorbanan demi meringankan bebanan rakyat jelata dan juga menyelamatkan ekonomi negara.

Beta turut berharap kerajaan memberi tumpuan untuk membantu syarikat dan perniagaan yang terkesan teruk seperti industri pelancongan dan perusahaan kecil dan sederhana.

Beta berharap inisiatif-inisiatif yang diambil oleh majlis tindakan ekonomi termasuk memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat berjumlah RM260 bilion bagi melindungi kebajikan rakyat dan menyokong industri serta perusahaan kecil dan sederhana negara akan segera dirasai impaknya.

Pakej tersebut adalah suatu yang amat besar dan luar biasa. Justeru, ia perlu disokong sepenuhnya oleh semua pihak. Beta yakin dengan kerjasama dan kesepakatan yang jitu cabaran yang kita hadapi ini akan dapat kita tangani bersama. Insya-Allah.

Ahli-ahli yang berhormat.

Di sebalik usaha-usaha kerajaan, beta juga berasa bimbang melihat polarisasi kaum yang masih wujud ketika ini. Pada hemat beta, sebarang bentuk tindakan provokasi dan fahaman serta nilai yang bertentangan dengan norma, adat dan undang- undang, biarpun dilakukan oleh segelintir pihak, perlu dibendung sebelum ia merebak dan menjadi barah kepada kestabilan negara.

Setiap kaum perlu menunjuk-kan sikap dan tauladan yang jujur untuk mengeratkan hubungan. Dalam usaha mengukuhkan lagi kesepaduan sosial dan integrasi nasional, beta menyambut baik pelaksanaan pelan tindakan perpaduan negara bagi memastikan agenda perpaduan nasional dapat diterapkan secara menyeluruh menerusi elemen-elemen kepercayaan dan jati diri yang teguh berlandas-kan kepada prinsip rukun negara.

Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan akan terus dipertahankan. Selaras dengan ajaran Islam yang syumul dan dipacu oleh prinsip maqasid syariah, beta mahu kerajaan mewujudkan pentadbiran agama Islam yang inklusif, progresif, membentuk hubungan etnik dan agama yang harmoni, menyantuni kemanusiaan dan peradaban ke arah kesejahteraan sejagat.

Pada masa yang sama, kerajaan beta akan terus mempertahankan hak-hak penganut agama lain untuk terus bebas mengamalkan agama mereka secara berhemah dan aman.

Menyentuh aspek keselamatan negara, beta berharap kerangka strategi dan dasar pertahanan masa hadapan negara perlu mengambil kira kepentingan diplomasi pertahanan, dasar luar negara yang pragmatik, triti antarabangsa dan kedudukan geo-politik negara di rantau Asia-Pasifik.

Peningkatan aktiviti ketenteraan dua kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan Republik Rakyat China di Laut China Selatan mutakhir ini wajar diberikan perhatian. Oleh kerana itu, Malaysia hendaklah sentiasa peka kepada domain maritim negara di samping terus merangka strategi untuk mendukung aspirasi geo-politik negara.

Pada masa yang sama, tahap keselamatan dalam negara hendaklah terus dipertingkatkan terutamanya dalam menangani pelbagai jenayah, penyalahgunaan dadah, penyeludupan dan juga pemerdagangan manusia.

Selain itu, kerajaan beta hendaklah juga merangka pendekatan yang komprehensif dalam menangani kemasukan pendatang asing tanpa izin yang boleh menimbulkan pelbagai masalah dari aspek ekonomi, sosial dan keselamatan negara.

Sempadan negara yang terbuka luas perlu terus diperkukuhkan dalam usaha mengekang laluan rentas sempadan pendatang asing tanpa izin.

Ahli-ahli yang berhormat.

Kerajaan beta akan terus merancang, memperkenal serta melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi merancak-kan aktiviti ekonomi untuk meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan rakyat.

Ke arah ini, wawasan kemakmuran bersama 2030 akan menjadi pencetus kepada hala tuju baharu pembangunan negara.

Wawasan ini bermatlamat supaya segenap lapisan rakyat dapat mengecap taraf hidup wajar dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama serta inklusif.

Selain itu, jurang ekonomi dan pembangunan antara kelas pendapatan, wilayah, etnik dan rantaian bekalan akan dirapatkan.

Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan dibentangkan di dewan yang mulia ini adalah merupakan fasa pertama Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Beta yakin dasar dan strategi rancangan tersebut yang dirangka melalui penglibatan pelbagai pihak akan dapat meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara yang akhirnya akan dinikmati oleh rakyat jelata keseluruhannya.

Menyedari pentingnya suntikan pelaburan bagi merancakkan ekonomi negara, kerajaan beta akan terus mempermudah urusan perniagaan bagi meningkatkan aktiviti pelaburan.

Hal ini termasuk keperluan mengemas kini undang-undang, proses kelulusan dan insentif sedia ada. Beta menyeru agar proses kelulusan terutamanya projek berimpak tinggi hendaklah ditambah baik agar ianya cekap dan pantas bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti.

Selaras dengan revolusi industri ke-4, beta menyambut baik dasar untuk mewujudkan eko-sistem yang menyokong industri melalui penyediaan dana dan insentif, pembangunan prasarana sokongan serta rangka kerja kawal-selia.

Sumber pertumbuhan baharu yang berkembang pesat seperti teknologi 5G, kecerdasan buatan, internet of things dan analitis data raya akan diperhebatkan. Beta menggesa pemain industri agar turut sama mempergiat usaha sebagai pelengkap kepada inisiatif yang dibawa oleh kerajaan.

Ahli-ahli yang berhormat.

Kerajaan beta akan terus berusaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat, termasuk dalam bidang keusahawanan yang menjadi antara nadi utama pembangunan ekonomi negara.

Beta menyambut baik strategi dan inisiatif bagi membangun-kan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan unggul menjelang tahun 2030.

Untuk memastikan negara sentiasa di hadapan dalam pelbagai bidang, kemajuan Revolusi Industri ke-4 hendaklah dimanfaatkan untuk meningkatkan akses dan kesaksamaan pendidikan, selain penekanan kepada pembentukan ilmu, kemahiran serta sahsiah.

Pendidikan di era pasca COVID-19 akan berhadapan dengan kelaziman baharu atau the new normal. Justeru, kolaborasi institusi pendidikan dengan pelbagai pihak yang terlibat juga perlu di-pergiat bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

Beta berharap pelaburan dalam penyelidikan, pembangunan dan inovasi akan terus dipertingkatkan agar dapat menyediakan modal insan yang diperlukan bagi mendepani perkembangan semasa khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Beta juga amat menyokong pemerkasaan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional, atau TVET, untuk mempersiapkan golongan belia menghadapi cabaran baharu alam pekerjaan.

Kerajaan beta akan terus berusaha untuk merapatkan jurang pembangunan dan ekonomi antara negeri dan wilayah. Ianya merangkumi usaha untuk meningkatkan mobiliti rakyat dengan menambah baik rangkaian dan infrastruktur asas serta pengangkutan, termasuk memantap-kan lagi sistem pengangkutan awam yang sekali gus bakal menyokong industri logistik negara.

Bagi meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat dan merapat-kan jurang pembangunan di Sabah dan Sarawak, kerajaan beta telah mengambil langkah menerusi pelaksanaan projek-projek infrastruktur kritikal di kedua-dua negeri tersebut.

Beta berharap rakyat di Sabah dan Sarawak akan dapat menikmati jaringan perhubungan dan kemudahan yang berkualiti dan lebih baik.

Kawasan pedalaman di Semenanjung juga akan terus diberi perhatian yang sama, terutama-nya di penempatan masyarakat orang asli.

Ahli-ahli yang berhormat.

Perkembangan terkini menunjuk-kan lebih dua pertiga rakyat Malaysia tinggal di bandar. Serentak dengan itu, kesejahteraan masyarakat bandar akan terus dipertingkatkan.

Bagi meningkatkan pemilikan rumah, kerajaan beta telah merangka dasar perumahan mampu milik negara dan mewujudkan skim sewa milik. Melalui inisiatif tersebut, diharap lebih ramai golongan B40 dan M40 serta golongan belia yang berkelayakan dapat memiliki kediaman sendiri.

Sebagai kerajaan yang prihatin, masalah kos sara hidup rakyat akan terus ditangani dengan sebaik mungkin. Langkah telah diambil bagi mencegah unsur monopoli, mewujudkan persaingan yang sihat, meningkatkan penghasilan produk berkualiti dengan harga yang munasabah, serta kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta.

Inisiatif seperti program penyeragaman harga, kempen beli barangan buatan Malaysia dan subsidi bersasar akan terus ditambah baik untuk membantu rakyat menangani isu kos sara hidup.

Kerajaan beta akan meneruskan usaha untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat jelata terutamanya kanak-kanak, wanita, warga emas yang rentan, orang kurang upaya dan golongan yang memerlukan.

Bagi memperkukuh perlindungan dan hak kanak-kanak pula, usaha diambil bagi memastikan mereka tidak dieksploitasi dalam apa-apa bentuk dan pada masa yang sama potensi penuh mereka dapat direalisasikan.

Beta juga menyambut baik penggubalan rang undang-undang profesion kerja sosial yang akan memberi dimensi baharu kepada lanskap sosial negara. Dalam pada itu, belia pula perlu terus dibimbing agar tidak terlibat dengan gejala negatif. Sebagai pemimpin masa depan, mereka wajar digalakkan untuk turut terlibat dalam membuat keputusan.

Ahli-ahli yang berhormat.

Kerajaan beta akan meneruskan usaha untuk membangunkan industri komoditi berasaskan pertanian secara lestari dengan sokongan penyelidikan dan pembangunan berkualiti, di samping meningkatkan permintaan pasaran termasuk di peringkat antarabangsa.

Bagi meningkatkan lagi hasil pertanian dan jaminan sekuriti makanan negara, penekanan perlu diberikan kepada automasi, penggunaan teknologi moden, benih berkualiti, pembajaan dan pengairan, kawalan penyakit serta konsolidasi kawasan pertanian.

Kerajaan beta turut beriltizam untuk terus meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan yang saksama kepada rakyat. Perkhidmatan kesihatan akan diperkasa dengan menjurus kepada pencegahan dan perawatan secara holistik termasuk kepada masyarakat luar bandar, orang asli serta pribumi di Sabah dan Sarawak.

Kemerosotan alam sekitar dan kesannya kepada kesejahteraan negara dan sejagat tidak boleh lagi dipandang remeh. Oleh itu, beta menyeru supaya Malaysia terus komited dalam usaha mengetengahkan isu alam sekitar dan perubahan iklim, termasuk mempergiatkan usaha untuk memulihara sungai, hutan, hidupan liar dan mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca serta meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu.

Pemerkasaan undang-undang alam sekitar, aktiviti penguatkuasaan dan kerjasama erat semua pihak termasuk negara serantau perlu terus dilaksanakan.

Sungguhpun Tahun Melawat Malaysia 2020 telah dibatalkan ekoran penularan wabak COVID-19, usaha-usaha bagi memulihkan sektor pelancongan negara hendaklah diteruskan.

Pada masa yang sama, pemain industri pelancongan hendaklah berusaha untuk memperkukuhkan produk dan pakej pelancongan, serta menjaga infrastruktur sedia ada bagi mengembalikan semula kecemerlangan sektor pelancongan negara.

Sebagai tuan rumah persidangan “APEC 2020”, Malaysia akan menggalas tanggungjawab besar dalam menentukan hala tuju APEC khususnya dalam membentuk landasan baharu kerjasama ekonomi serantau pasca COVID-19.

Beta percaya, kerajaan beta akan dapat memberikan kepimpinan yang berkesan ke arah usaha tersebut dan juga merencana wawasan baharu APEC bagi menggantikan matlamat Bogor yang akan berakhir pada tahun ini.

Ahli-ahli yang berhormat.

Natijahnya, apa juga pelan dan program ke arah pembentukan sebuah negara maju yang stabil lagi makmur tidak akan tercapai jika negara terus dibelenggu dengan amalan rasuah.

Justeru, pelaksanaan program pembangunan berteraskan amalan integriti dan tadbir urus yang baik adalah penting bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan serta demi menjaga kesejahteraan rakyat dan negara.

Beta menggesa agar kerajaan beta untuk terus komited dalam melaksanakan pelan anti-rasuah nasional. Beta menyeru semua pihak untuk mendukung aspirasi ini agar setiap agenda pembangunan negara tidak terhakis oleh amalan rasuah, penyelewengan, dan salah guna kuasa.

Tanamkan di dalam minda masyarakat semenjak di bangku sekolah lagi bahawa rasuah adalah jijik, kotor dan wajar diperangi habis-habisan.

Ahli-ahli yang berhormat.

Beta amat menghargai taat setia dan sumbangan anggota-anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta agensi-agensi kerajaan yang telah mencurahkan khidmat bakti dalam usaha memajukan negara sehingga menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, makmur dan disegani.

Beta menyeru agar amanah dan tanggungjawab yang dijunjung dalam berbakti kepada negara dan rakyat jelata hendaklah terus dilaksanakan dengan sebaik-nya secara profesional dan neutral tanpa mengira kaum, agama mahupun kedudukan.

Pada masa yang sama, beta menyeru agar rakyat jelata terus memberikan kerjasama kepada kerajaan beta bagi meneruskan kesinambungan usaha-usaha pembangunan negara.

Beta yakin hanya melalui kesepaduan antara rakyat dengan kerajaan sahaja yang mampu melahirkan Malaysia yang stabil, aman dan sejahtera.

Ahli-ahli yang berhormat sekalian.

Sebelum beta mengakhiri titah ini, beta ingin berpesan kepada ahli-ahli yang berhormat sekaliannya. Sebagai seorang pemimpin, ahli-ahli yang berhormat menjadi teladan dalam menyemai nilai-nilai positif kepada rakyat.

Perbezaan pendapat tidak seharusnya diakhiri dengan permusuhan dan caci mencaci. Sebaliknya, perbezaan pendapat seharus-nya menjadi landasan

Kepada pencetus idea-idea baharu untuk membangun dan menyatu-padu-kan negara.

Ahli-ahli yang berhormat hendaklah sentiasa mempamerkan kematangan dalam berpolitik. Ini termasuklah menjiwai keluh kesah rakyat, membela nasib rakyat, berpegang kepada prinsip keadilan, membudayakan politik yang bersih, tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa mahu-pun kedaulatan serta kedudukan raja-raja Melayu.

Jangan mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat pandemik COVID-19.

Sesungguhnya, perpaduan dan keharmonian bermula di dalam dewan yang mulia ini. Beta yakin, rakyat akan terus erat bersatu padu dan sepakat dalam membangunkan negara jika rakyat tidak disogok dengan api permusuhan dan perpecahan.

Justeru, berbahaslah dengan penuh tanggung-jawab dan sentiasalah menunjukkan kematangan politik yang positif untuk dicontohi oleh rakyat jelata.

Kepada rakyat jelata sekalian, teruskan menjaga kesihatan diri dan keluarga serta persekitaran setempat. Hindari daripada berhimpun secara ramai, dan teruskan mengamal penjarakan sosial. Mudah-mudahan Malaysia akan berjaya menangani pandemik COVID-19 ini dengan jayanya.

Mengakhiri titah, beta dan Raja Permaisuri Agong berdoa semoga Malaysia serta rakyatnya akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindunganNya.

Selamat berpuasa dan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin, ikhlas daripada beta, raja permaisuri agong dan keluarga.

Sekian.

وبالله التوفيق والهداية السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Ikuti video penuh titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong tersebut di pautan;

https://youtu.be/AsXy9TTcgYc

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts