Oleh Isham Jalil
Setelah tidak berjaya lagi untuk menjadi Perdana Menteri ke-8, semalam ada ura-ura bahawa Anwar Ibrahim akan mengorak langkah untuk menjadi Menteri Besar Selangor pula.
Mengikut khabar ini, seorang ADUN PKR yang setia kepada Anwar akan meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN lantas menjadi Menteri Besar Selangor yang baru.
Ini seperti yang mereka telah lakukan dengan Langkah Kajang dan Langkah Port Dickson sebelum ini.
……..
Biasanya saya tidak memberi banyak perhatian kepada khabar-khabar angin dan ura-ura.
Namun dalam hal ini saya lihat kini Anwar sedang terdesak untuk menyelamatkan partinya PKR setelah ramai wakil-wakil rakyatnya melompat parti, dan beratus-ratus pemimpin PKR dibuang serta ramai lagi yang keluar parti secara sukarela baru-baru ini.
Semua daripada mereka ini adalah pengikut-pengikut Azmin Ali, bekas Timbalan Presiden PKR dan bekas Menteri Besar Selangor yang kini telah bertukar parti ke Bersatu dalam kerajaan Perikatan Nasional.
Antara pengikut Azmin tersebut adalah Menteri Besar Selangor sekarang iaitu Amiruddin Shaari.
Amiruddin belum lagi melompat parti mengikut Azmin kerana dia (Amiruddin) pastinya risau akan tidak balas ADUN-ADUN DAP dan PAN dalam Kerajaan PH Selangor yang akan menolaknya dan menjatuhkan kerajaan PH Selangor dan kedudukannya sebagai Menteri Besar sekiranya dia menukar parti.
Anwar tentunya tahu dia perlu mengukuhkan kuasanya dalam PKR setelah episod di atas.
Untuk ini dia perlu mengambil alih dan mengawal sumber kewangan terbesar PKR secara langsung atau tidak langsung iaitu Kerajaan Negeri Selangor.
Untuk kelangsungan dan survival politiknya, dia tidak boleh membiarkan sumber kewangan ini dikawal oleh orang Azmin.
Tanpa sumber ini, cita-cita politik Anwar akan menjadi semakin malap.
……..
Dua tahun lepas saya pernah menulis bahawa PKR menggunakan hasil cukai kerajaan negeri Selangor untuk membiayai dana politik mereka.
Selepas mengambil alih kerajaan negeri di Selangor dan Pulau Pinang, pemimpin-pemimpin Pakatan (PKR/DAP) telah memutuskan untuk menaikkan cukai negeri terutama cukai berkaitan hartanah, perumahan dan perniagaan.
Sejak itu, kenaikan kutipan cukai kerajaan negeri di kedua-dua negeri ini telah mencecah sehingga 400 peratus.
Semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), hasil kutipan cukai yang dikutip oleh kerajaan negeri Selangor adalah tidak melebihi RM500 juta.
Namun sebaik selepas PKR mengambilalih Selangor, dalam tempoh beberapa tahun sahaja mereka telah mengutip lebih daripada RM2 billion cukai daripada rakyat, empat kali ganda lebih tinggi dari kerajaan sebelumnya.
Kos sara hidup di Selangor telah meningkat mendadak kerana peningkatan cukai yang dikenakan oleh kerajaan negeri tersebut.
Walaupun demikian, masalah-masalah asas seperti masalah air, masalah sampah sarap, masalah perparitan, masalah banjir, masalah denggi, masalah jalan berlopak dan sebagainya di Selangor masih terus berleluasa dan tidak diselesaikan.
……..
Anwar pastinya tahu dia perlu mengawal sumber kewangan yang besar ini dan pada masa yang sama ‘membersihkan’ orang-orang Azmin di negeri kubunya Selangor.
Untuk ini dia tidak ada banyak pilihan lain selain mengambil alih sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-17 dan ‘menendang’ orang Azmin keluar, sebelum dia (Anwar) boleh mengorak langkah seterusnya ke Putrajaya.
Dia tidak boleh lagi mengharap kepada orang lain untuk menjadi proksinya kerana dia telah banyak ditikam belakang sebelum ini.
Daripada 56 ADUN di Dewan Undangan Negeri Selangor, 16 ADUN DAP dan 8 ADUN PAN tentunya akan menyokongnya; Ini di samping lebih separuh daripada 19 ADUN-ADUN PKR yang masih setia kepadanya.
Allah selamatkanlah negeri Selangor (daripada Anwar, PKR dan DAP).
ISHAM JALIL
22 Mei 2020
https://www.facebook.com/220524935369705/posts/723171581771702/?d=n