9 Julai 2018
Pekerjaan, perniagaan dan penipuan (jenayah), inilah definasi bagi ‘3P’ yang dikuasai oleh warga asing di negara ini sejak sekian lama. Serbuan demi serbuan dijalankan namun seolah-olah kebanjiran warga asing ini tidak mampu dibendung lagi.
Datang secara sah ataupun pendatang asing tanpa izin (PATI) sudah tidak menjadi persoalan lagi kerana kini mereka menguasai hampir segala-galanya.
Pekerjaan
Sekiranya kita sangat memerlukan khidmat mereka sewajarnya di sektor 3D sahaja iaitu sukar, bahaya dan kotor (difficult, dangerous, dirty) seperti di ladang-ladang, pembinaan dan kerja-kerja pembersihan di kompleks-kompleks ataupun di sekitar kawasan perumahan.
Namun kita kita boleh lihat warga asing sebagai pengendali makanan di restoran terkemuka, sebagai juruwang di kompleks ternama apatah lagi yang bekerja di kedai-kedai persendirian milik rakyat tempatan. Kedai makan dipenuhi dengan perempuan Indonesia sebagai tukang masak, mengambil dan menghantar pesanan termasuk di food court ternama seperti Sogo dan Mid Valley.
Peluang untuk rakyat Malaysia bekerja di kilang-kilang juga terbatas apabila kilang mula menggaji warga asing Nepal, Vietnam, Myanmar dan pelbagai lagi. Di mana rakyat Malaysia hendak bekerja?
Peluang rakyat untuk bekerja Malaysia semakin mengecil dan membuatkan mereka mula bekerja di luar negara sebagai buruh, pemetik buah dan pencuci antaranya di Singapura, Australia dan Korea Selatan.
Walaupun pendapatan agak lumayan kerana nilai tukaran mata wang namun faktor ketiadaan kerja di negara sendiri juga wajar diteliti.
Perniagaan
Di sekitar Kuala Lumpur, daripada Dataran Merdeka sehinggalah ke Jalan Silang, antara Masjid India dan Central Market dipenuhi dengan peniaga Bangladesh. Manakala di Selayang dipenuhi dengan warga Myanmar Muslim pemegang kad UNHCR. Asli ataupun palsu hanyalah Jabatan Imigresen yang tahu.
Perniagaan yang dimonopoli oleh warga asing mengikut negara adalah seperti warga Acheh menguasai perniagaan runcit, warga Bangladesh menguasai perniagaan perabot terpakai, kedai aksesori, cermin tinted dan mencuci kereta, warga Pakistan membuka kedai makan dan juga kedai karpet serta pakaian yang boleh dilihat dengan mudah di Kompleks Campbell.
Plaza Low Yat juga mula dibanjiri oleh warga Pakistan dan Bangladesh membaiki dan menjual komputer dan laptop terpakai. Belum dikira yang membuka perniagaan IT dan menyewa pejabat di Technology Park Malaysia (TPM), Bukit Jalil yang sepatutnya terhad untuk rakyat Malaysia sahaja.
Penipuan
Selain itu Malaysia juga dibanjiri dengan peminta derma warga asing Pakistan, Afghanistan, Kashmir dan Thailand yang dikuasai sindiket penipuan kononnya derma untuk madrasah ataupun masjid yang belum siap.
Waqaf Al-Quran serta anak yatim juga menjadi bahan penipuan mereka. Sudahlah menyalahgunakan pas lawatan, mereka gunakan dokumen palsu pelbagai jabatan termasuk PERKIM, NGO, surat kebenaran dari Ahli Parlimen serta entah sesiapa yang kononnya berhak memberi kebenaran.
Mereka mampu mengutip sehingga RM15,000 sebulan setiap seorang atau anggaran RM500 sehari bermula pagi sehingga ke malam di kedai-kedai makan dan apabila tiba waktu solat mereka akan ke masjid atau surau berdekatan untuk mengutip derma.
Love Scam oleh warga Nigeria juga tidak menunjukkan akan reda. Setiap hari ada sahaja yang ditipu dan terkini Macau Scam didalangi warga China dan tempatan menggunakan telefon untuk menipu mangsanya. Bukan sedikit tetapi wang berjuta ringgit telah dikebas oleh mereka.
Apa lagi yang kerajaan tunggu?
(Kemaskini pada 3 April 2020)