KENYATAAN AKHBAR: KELUARGA ARWAH ADIB KECEWA DENGAN PDRM

181
SHARES
510
VIEWS

Keluarga arwah Adib meletakkan harapan yang sangat tinggi agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan dengan bersungguh-sungguh dan telus, bagi mencari dan menangkap pembunuh arwah Adib, sesuai dengan dapatan terperinci Mahkamah Koroner yang mengesahkan bahawa arwah mati dibunuh.

Walau bagaimanapun, keluarga arwah Adib amat kesal dengan beberapa bahagian kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador pada 10 Julai 2020, yang jelas tidak menghormati dan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner tersebut.

Sehubungan itu, barisan peguam telah diarahkan oleh bapa arwah Adib, untuk menjawab dan membetulkan fakta-fakta terpesong, tidak benar serta menyimpang yang diungkapkan oleh KPN di dalam sidang medianya tersebut, seperti yang berikut ini:

1. Adalah tidak adil untuk KPN merumuskan kononnya tiada keterangan yang dapat mengaitkan arwah Adib dibunuh, hanya kerana dua orang pegawai bomba yang bersama Adib pada malam kejadian mengatakan mereka tidak nampak apa yang berlaku. Lebih-lebih lagi tidak munasabah untuk KPN cuba menggambarkan kononnya Adib tidak diserang kerana tiada kesan kecederaan mempertahankan diri pada tubuhnya. Dakwaan-dakwaan ini sudahpun dijawab dengan jelas di dalam inkues dan tindakan KPN menimbulkan semula perkara ini menunjukkan PDRM tidak meneliti dan tidak faham kronologi kejadian kes ini, berdasarkan keterangan-keterangan dan bukti-bukti yang ada.

2. Seperti yang telah diterangkan oleh Mahkamah Koroner di dalam keputusannya yang mendalam lagi terperinci, ketika Adib ditarik dan diserang, dia telahpun berada dalam keadaan separa sedar akibat kecederaan dalaman, iaitu hentakan kuat yang mematahkan tulang rusuknya. Justeru, dalam keadaan separa sedar tersebut, sudah tentu mustahil untuk arwah mempertahankan dirinya ketika beliau ditarik dan diserang, sekali gus menjelaskan mengapa tiadanya sebarang kesan kecederaan mempertahankan diri pada tubuh badannya. Manakala bagi kecederaan ditarik pula, terdapat kesan luka sangat sepanjang 15 cm pada pinggang arwah, yang konsisten dengan kesan ditarik, dan 3 butang jaket celoreng bomba arwah yang terputus. Keterangan daripada 3 orang saksi utama berbangsa India juga menyatakan bahawa ada yang melihat aksi-aksi dan gerakan-gerakan seperti memukul, menendang dan memijak oleh sekumpulan 20-30 orang lelaki yang sedang mengerumuni Adib di samping mendengar ayat-ayat dalam bahasa Tamil seperti “Bodoh, bomba pun mau pukul ke?” “Jangan pukul!” dan “Berani kamu Melayu masuk kawasan sini”. Seorang daripada saksi utama ini juga telah melakonkan semula bagaimana bahunya telah disepak pada waktu beliau secara kebetulan terjatuh atas tubuh Adib. Sekiranya beliau tidak terjatuh atas tubuh Adib pada ketika itu, sudah tentu sepakan itu mengenai badan Adib.

3. Perlu ditekankan di sini bahawa Mahkamah Koroner telahpun memberikan dapatannya mengenai punca dan sebab kematian arwah Adib. Memandangkan keputusan tersebut tidak pernah dicabar oleh mana-mana pihak melalui proses rayuan atau semakan yang sah, maka ia adalah kewajipan pihak polis untuk menjuruskan siasatan bagi mencari siapakah dia “dua atau lebih orang” yang menyebabkan kematian arwah Adib, dan bukannya mempersoalkan semula punca kematiannya lagi sama ada dibunuh atau tidak, sebab hal tersebut telahpun selesai diputuskan Mahkamah. Justeru itu, kami dengan tegas menolak sebarang keperluan untuk siasatan semula punca kematian kononnya melalui satu “pasukan kajian semula”. 

4. Cubaan oleh KPN untuk menidakkan kewujudan ‘dying declaration’ dan menuduh kononnya ia baru ditimbulkan sekarang, serta mempersoalkan pula seolah-olah ia diada-adakan, adalah satu lagi kenyataan tidak bertanggungjawab. ‘Dying declaration’ tersebut telahpun dikemukakan sebagai ekshibit I 31, di mana ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), pada 12 Disember 2018, Adib ada memberikan keterangannya kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya. ‘Dying declaration’ arwah juga diberikan kepada staf IJN pada waktu dan hari yang lain, yang mana staf IJN tersebut telah dipanggil menjadi saksi di dalam prosiding Inkues. Kedua-dua ‘dying declaration’ ini mengesahkan dirinya telah ditarik keluar dari van EMRS, dan kemudian dipukul.

4. Institut Jantung Negara tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi kononnya arwah Adib tidak dapat berkomunikasi dengan efektif sepanjang dirawat di IJN. Bahkan hakikatnya bapa arwah Adib dan keluarga yang lain berada di IJN sepanjang tempoh masa Adib dirawat, dan mereka mengesahkan bahawa terdapat satu peringkat di mana arwah menunjukkan peningkatan kesihatan yang baik, serta dapat berkomunikasi dengan baik. Malah apabila ahli keluarganya datang melawat, Adib sendiri dapat bertanya khabar, serta pernah meminta kebenaran staf IJN untuk menonton perlawanan bola sepak.

5. Adalah amat mengecewakan kerana kenyataan media KPN untuk menerangkan perkembangan siasatan pembunuh Adib, ternyata telah hanya mendedahkan kejahilan KPN dan PDRM terhadap fakta terperinci kes ini. Sekiranya KPN membaca nota keterangan, alasan penghakiman penuh dan meneliti semula semua Ekshibit Mahkamah, kami yakin KPN tidak akan mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab seperti yang telah diungkapkannya.

6. Kami juga mempunyai maklumat bahawa dakwaan KPN kononnya PDRM telah memanggil sekali lagi kesemua 30 saksi inkues adalah tidak benar, kerana bapa arwah Adib sendiri tidak pernah dipanggil semula dan terdapatnya saksi utama lain yang juga tidak dipanggil sehingga ke hari ini. Ini menunjukkan sikap tidak bersungguh-sungguh dalam menjalankan siasatan dan sebaliknya memberikan alasan kononnya telah menemui jalan buntu, berbohong kononnya telah ‘exhausted all means’, tanpa mengerahkan usaha yang sebenar-benar untuk mendapatkan keadilan untuk Adib.

Peguam keluarga arwah Adib:

MOHD KAMARUZAMAN A. WAHAB
AHMAD TAUFIQ BAHARUM
SYAZLIN MANSOR
MOHD ZUBIR EMBONG
MOHD TAJUDDIN ABD RAZAK
AHMAD LUTFI AWANG
MOHAMMED ZAMRI IBRAHIM

YAHAYA OTHMAN

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts