CORETAN ini adalah pandangan peribadi. Coretan ini sebagai ingatan dan bekal menjelang PRU mendatang.
Jangan terlalu ghairah bertempik sorak, seolah kemenangan dalam genggaman.
Bukan tujuan merendahkan usaha dan rencana pemimpin atasan, hanya pandangan peribadi dari saya penulis dan penganalisa politik tanahair.
1) Ada yang masih bernostalgia kerana parti pernah menerajui negara selama lebih 60 tahun. Keadaan sudah berubah mengikut peredaran zaman dan kita kena berpijak di bumi nyata.
2) Jangan asyik berebut jawatan sehingga sanggup tikam-menikam sesama sendiri. Dalam parti gabungan, kalau tidak ditangani dengan baik, akan berlaku sabotaj antara satu sama lain. Akhirnya semua yang rugi ibarat “menang sorak kampung tergadai”.
3) Sesama rakan, jangan ada curiga-mencurigai. Segala masalah dibincangkan bersama. Kerap adakan muzakarah dan bermesyuarat. Muafakat membawa berkat.
4) UMNO, PAS dan PPBM ibarat 3 adik-beradik. Lupakan sengketa lama demi survival bangsa dan agama. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum jua.
5) Pengundi muda harus ditangani dengan berhemah kerana pegangan politik mereka sangat dinamik. Mereka tidak menyokong membuta tuli. Masa depan generasi muda haruslah direncana dengan teliti.
6) Kalau dahulu, ibaratnya letak songkokpun boleh menang. Namun kini zaman itu sudah berlalu. Pilihlah calon yang berwibawa mewakili rakyat. Yang punya kelayakan, berintegriti dan rajin berkhidmat.
7) Tradisi membela rakyat sentiasa dijadikan agenda utama. Jangan pula tradisi membela wakil rakyat dengan pelbagai keistimewaan dan imbuhan. Sedangkan rakyat yang menyokong dan mendukung masih tercicir dari arus pembangunan.
8) Siapa calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri harus disepakati bersama. Jangan asyik timbulkan sengketa. Dalam banyak hal, kita harus berjiwa besar. Jika tidak matlamat tersasar.
9) BN, PAS dan Bersatu serta parti komponen hendaklah bersatu hati. Pembahagian kerusi mesti teliti dan ada formulanya. Kalau tidak ditangani, akhirnya bermusuh sesama sendiri. Jangan yang dikejar tidak dapat dan yang dikendong pula keciciran.
Tidak salah membuat usul, kononnya itu kawasan tradisi dan suara akar umbi. Bertegang urat hanya di meja rundingan. Cuma, apabila keputusan telah tersurat, terima ia demi penyatuan ummah dan masa depan yang lebih selamat.
10) Pilihan raya bukan hanya melibatkan Melayu atau Bumiputera sahaja. Carilah kaedah supaya lain-lain bangsa ikut kita bersama. Kita pernah melalui zaman gemilang majoriti dua pertiga. Kita pastikan hasrat ini terlaksana, In sha Allah.
11) UMNO mempunyai 3.5 juta ahli, PAS pula 1.5 juta manakala PPBM mempunyai 200 ribu ahli. Termasuk parti gabungan, anggaran lebih 5 juta ahli. Sedangkan jumlah pengundi hampir 15 juta termasuk pengundi pertama kali. “Pengundi atas pagar” adalah penentu yang tentunya berkecuali dan memerhati. Pastikan calon kita punyai kredibiliti dan integriti serta calon boleh menang.
12) Manifesto dirangka mestilah realistik. Jangan hanya pandai berjanji. Boleh ditunaikan dan juga logik untuk dicapai. Jangan alasan “manifesto bukan kitab suci”.
MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT
Shahbudin Embun
(Penulis merupakan penganalisa politik merangkap Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM)