Oleh Isham Jalil
Kampung halaman saya adalah di Sungai Buloh.
Dahulu kawasan ini amat aman dan tenteram, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini kegiatan jenayah semakin meningkat.
Ini adalah berkemungkinan kerana pertambahan penduduk yang mendadak di kawasan ini dengan pembukaan kawasan-kawasan perumahan baru.
Dan juga kerana kebanjiran pendatang asing yang tidak terkawal ke kawasan ini yang tidak jauh daripada pusat bandaraya Kuala Lumpur, dengan adanya rumah sewa murah yang lebih banyak di sini berbanding di Kuala Lumpur.
Kini daerah Sungai Buloh ini mempunyai hampir setengah juta penduduk, dengan anggaran seratus ribu daripadanya adalah pendatang asing.
Pertambahan penduduk dan pendatang asing di kawasan Sungai Buloh ini juga telah meningkatkan kadar dan jumlah kejadian jenayah terutama kecurian, pecah rumah dan perjudian haram.
Banyak kedai judi haram dilaporkan beroperasi secara terang-terangan di Sungai Buloh sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Di fasa pemulihan perintah kawalan pergerakan pandemik COVID-19, kegiatan ini menjadi semakin teruk.
Ramai orang yang kehilangan perkerjaan, termasuklah pendatang-pendatang asing yang datang ke Malaysia dahulu untuk mencari kerja, menggunakan sedikit wang yang tinggal dalam poket mereka untuk berjudi.
Apabila mereka kalah judi dan dalam keadaan terdesak, sebahagian daripada mereka terdorong pula untuk melakukan jenayah seperti mencuri, menyamun dan memecah rumah.
Akibat daripada gejala ini penduduk-penduduk di Sungai Buloh kini tidak lagi berasa selamat.
Ini adalah masalah sosial yang kritikal yang berlaku di Sungai Buloh.
Saya pasti perkara ini juga berlaku di banyak kawasan lain di negeri Selangor.
Sebab itu saya sarankan supaya pihak kerajaan terutama pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan tegas ke atas masalah ini dan bukan hanya memberikan alasan demi alasan untuk menutup kelemahan sebenar.
Premis-premis judi haram ini perlu ditutup dan disita dengan segera dan orang-orang yang bertanggungjawab menjalankan operasi haram ini perlu dibawa ke muka pengadilan.
Pihak polis dan imigresen juga perlu membantu dengan lebih aktif dalam menyelesaikan masalah ini.
Wakil-wakil rakyat yang dipilih iaitu YB Sivarasa (Ahli Parlimen Sungai Buloh, PKR) dan YB Khairuddin (ADUN Paya Jaras, PKR), YB Shatiri (ADUN Kota Damansara, PKR) dan Menteri Besar Selangor (YAB Amiruddin, PKR) perlu lebih sensitif tentang masalah rakyat di kawasan mereka ini dan membawa perkara ini ke peringkat dasar kerajaan.
Mereka perlu serius dalam menyelesaikan isu ini kerana ia melibatkan ketenteraman dan keselamatan rakyat.
Mereka tidak boleh lagi hanya “melepaskan batuk di tangga” atau memejam sebelah mata mengenai masalah yang selama ini berlaku.
Jika tidak, keadaan kehidupan penduduk di Selangor terutama di kampung halaman saya di Sungai Buloh ini akan menjadi semakin lama semakin buruk.
ISHAM JALIL
9 Ogos 2020
https://www.facebook.com/220524935369705/posts/779886416100218/?d=n