Bukan hanya berlaku di Raub
Isu pencerobohan tanah milik kerajaan dan tanah rizab Melayu yang berlaku di Raub sahaja mencecah 4,400 HEKTAR. Itu belum lagi diambil kira pencerobohan yang berlaku di tempat lain di seluruh negara termasuk warga asing membuat penempatan di Langkawi.
Jika negara diceroboh oleh warga asing tidak kira kedatangan mereka untuk bekerja, berniaga ataupun membuka penempatan, ia tetap menceroboh dan akan ditangkap, disabitkan kesalahan dan dihantar pulang ke negara asal.
Pencerobohan bukan isu kecil
Insiden menyayat hati yang berlaku di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu bermula pada 9 Februari yang berakhir dengan kematian anggota keselamatan negara termasuk enam anggota polis yang dibunuh kejam pada 2 Mac juga berkaitan PENCEROBOHAN.
Justeru isu pencerobohan ini tidak kira dilakukan oleh warganegara sendiri ataupun warga asing, ia wajar ditangani dengan tegas agar tidak memberi mesej yang salah iaitu “PENCEROBOH AKHIRNYA AKAN DIBERI TANAH YANG DICEROBOH PULUHAN RIBU HEKTAR”.
Penceroboh sepatutnya dikenakan hukuman keras, jangan berkompromi
Penceroboh tanah kerajaan secara haram ini wajar dikenakan hukuman keras, tindakan yang sepatutnya diambil seperti tanah yang diceroboh dirampas kembali, penceroboh ditangkap jika disabitkan kesalahan maka dipenjarakan termasuk membayar denda maksima agar mereka serik.
Agar mereka tahu menceroboh tanah ini bukan perkara kecil dan jangan langgar undang-undang sewenang-wenangnya.
Jika hendak beri tanah juga kepada penceroboh, berikan juga kepada pejuang negara dan rakyat miskin dalam jumlah yang sama
Setakat ini kerajaan negeri bertegas, tetapi jika akhirnya PENCEROBOH tanah haram ini diberi juga tanah yang diceroboh sejak sekian lama, atas apa-apa alasan sekalipun, maka jumlah yang sama iaitu 4,400 hektar wajar diberi dan diagih-agihkan kepada rakyat miskin, bekas pejuang negara seperti pesara tentera dan polis – yang juga ramai hidup dalam kemiskinan dan wajar diberikan tanah untuk mereka usahakan.
Ini barulah sama rata seperti sesetengah pihak perjuangkan, bukan sekadar retorik.
Jangan beri mesej yang salah kepada rakyat
Jika tidak ini akan memberi mesej bahawa pesara tentera, polis, rakyat miskin tidak dilayan tetapi penceroboh tanah pula diberi tanah percuma setelah menceroboh.
Sama juga di tempat lain, berapapun jumlah yang telah diberikan kepada penceroboh tanah ini, jumlah yang sama juga wajar diberikan kepada pesara tentera, polis dan rakyat miskin yang memerlukan termasuk golongan miskin bandar yang masih tidak mempunyai rumah sendiri.
Bayangkan jika 10,000 hektar telah diberi, maka 10,000 hektar boleh dimanfaatkan kepada mereka yang memerlukan, maka jika 10,000 hektar diagih-agihkan setengah ekar seorang, jumlah 10,000 hektar bersamaan 2471 ekar boleh diberi kepada 49,420 rakyat bukan sahaja penceroboh haram.
Kerajaan jangan tunduk dengan tekanan
NGO seluruh negara wajar menggerakkan usaha ini agar 1 inci tanah diberi kepada penceroboh, 1 inci juga diberikan kepada pesara tentera, polis dan rakyat yang miskin, agar kerajaan tidak tunduk dengan tekanan dan desakan penceroboh haram, agar kerajaan belajar berlaku adil untuk semua.
Jika tidak mahu cara ini, maka sewajarnya rampas kembali tanah penceroboh haram ini tidak kira apapun mereka tanam atau kerjakan – agar mesej ketegasan kerajaan supaya jangan menceroboh tanah selepas ini dapat disampaikan.
Jangan kerana ingin menang pilihan raya maka akhirnya tanah yang diceroboh diberikan.
Iktibar Zionis Israel ceroboh Palestin
Jika tidak, kisah pencerobohan ini malah lebih teruk dari kisah pencerobohan rejim Zionis Israel, kerana Zionis menceroboh tanah Palestin dengan kekerasan, tetapi di Malaysia penceroboh tanah pula diberi geran.
Jika ini berlaku, memang tepat perumpamaan “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”.
Malunya.