SURAT PEMBACA Sejak kebelakangan ini, ahli-ahli dan para penyokong UMNO kurang senang dengan sikap dan tindak-tanduk Setiausaha BN, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau akan membidas dan mempersoalkan mana-mana pemimpin dan tokoh UMNO yang mengkritik Bersatu serta pemimpin utamanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Annuar sudah hilang deria memahami sentimen akar umbi UMNO yang menolak penyertaan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional (MN).
Bukan itu sahaja, akar umbi UMNO juga menolak hasrat Bersatu mencalonkan Muhyiddin sebagai PM sekiranya MN menang PRU-15.
Asas kepada sentimen ini bersandarkan kepada Bersatu mahupun Muhyiddin tidak berhak tentukan siapa calon PM. Tunggulah keputusan PRU-15 dan ia bergantung kepada parti mana yang memenangi jumlah kerusi terbesar.
Muhyiddin juga tidak pernah memohon maaf atas segala penghinaan dan tohmahan terhadap UMNO sebaliknya dilihat mahu ‘menunggang’ MN khususnya kekuatan UMNO bagi survival politik beliau dan Bersatu.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu juga tidak memperlihatkan kemahuan politik untuk menjadi sekutu dan rakan yang ikhlas kepada BN.
Banyak petunjuk yang boleh dikaitkan kepada hakikat itu antaranya masih membekukan aset UMNO (kecuali untuk kos pengurusan), gagal melantik TPM daripada kalangan pemimpin UMNO, mahu bertanding banyak kerusi milik UMNO dan mengekalkan ramai lantikan jawatan strategik era kerajaan PH.
Di sebalik semua ini, nampaknya Annuar yang selesa dengan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan terlalu menjaga hati Muhyiddin dan para pemimpin Bersatu. Beliau sanggup menyerang rakan-rakan dalam UMNO kerana mahu membela Muhyiddin dan Bersatu.
Sesiapa sahaja yang bersuara mengkritik kerjasama dengan Bersatu atau menegur Muhyiddin pasti beliau berang.
Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang menggesa semua pemimpin UMNO dalam Kabinet meletakkan jawatan daripada kerajaan PN, turut disanggah oleh Annuar.
Apatah lagi pemimpin UMNO lain yang mengkritik Bersatu dan Muhyiddin seperti Datuk Puad Zarkashi, Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed dan Datuk Zahidi Zainul Abidin – dibidas sewenang-wenangnya oleh Annuar.
Sekiranya Annuar enggan akur nasihat Tengku Razaleigh agar menteri UMNO meletakkan jawatan, adalah lebih baik beliau berdiam.
Sudah sampai masanya Annuar mencermin diri dan tidak dibuai-buai dengan jawatan Menteri dalam kerajaan yang bukan mendapat mandat rakyat. Cukuplah, janganlah sampai ahli-ahli UMNO meluat.
Pelbagai alasan dan hujah Annuar berhubung isu tersebut tidak meyakinkan akar umbi. Sebaliknya Annuar telah memberikan isyarat yang salah dan hal itu sangat disedari oleh akar umbi.
Sebenarnya inilah masa bagi ahli ahli dan penyokong UMNO mengenali siapa sebenarnya pemimpin UMNO yang hanyut dibuai jawatan (yang dihamparkan oleh Muhyiddin dan Bersatu).
Ingatlah, belum tentu Muhyiddin itu kawan atau mungkin lawan yang dalam diam boleh menghakis kekuatan UMNO.
Bukankah pada Muhyiddin, UMNO adalah parti yang sudah bertaraf masuk longkang, busuk, hanyir dan jijik. Yang wangi dan indah semuanya Bersatu. Sedangkan hakikatnya Bersatu pernah bersekongkol dengan DAP sehingga membawa banyak mudarat kepada agama dan bangsa.
Bukankah itu pengkhianatan besar dalam sejarah politik bangsa era moden ini? Dengan kata lain, dosa Bersatu begitu besar kepada agama dan bangsa (walaupun sejarahnya masih baharu dan partinya kecil serta kurang pengaruh dalam kalangan orang Melayu).
Dengan rekod pengkhianatan itu maka berwaspadalah percaturan licik Bersatu. Malah sudah ada cakap-cakap Muhyiddin dan Tun Mahathir Mohamad masih mempunyai hubungan strategik dengan muslihat untuk menguasai UMNO.
Sekarang ini bukan sahaja Muhyiddin, Hamzah Zainuddin dan barisan lompat parti yang perlu diwaspadai, beberapa pemimpin UMNO juga seakan sudah ‘dibeli’.
Salah seorangnya Annuar, yang terikut rentak bagi menjayakan agenda Muhyiddin dan Hamzah.
Mesej kepada semua, utamakan kepentingan parti berbanding kepentingan diri sendiri.
Jika sesiapa sahaja termasuk Annuar mahu membawa aspirasi Bersatu dalam saat-saat kritikal menjelang PRU-15, silakan sertai parti itu. Bukan kita tidak sayangkan Annuar tetapi kita lebih sayangkan UMNO yang menjadi wajah perjuangan bangsa, agama dan negara.
Kini pilihan di tangan Annuar!
Oleh Zamani Zaman
Bangi
(Dihantar melalui emel)