Apa erti Hari Kebangsaan kalau negara yang bebas ini masih terbelenggu dengan masalah-masalah remeh akibat daripada pentadbir yang bodoh yang diberi amanah tidak ambil peduli, alpa dan cuai hingga menyebabkan hampir seluruh negeri Selangor sekali lagi berdepan dengan masalah terjejas bekalan air berpunca daripada pencemaran Sungai Selangor oleh kilang yang pernah dikompaun RM60,000 atas kesalahan yang sama sebelum ini tetapi masih mengulangi perkara tersebut.
2. Hari ini 4 September 2020, hampir seluruh negeri Selangor terpaksa menanggung kerugian berlipat kali ganda berbanding bayaran kompaun yang tidak seberapa yang dikenakan ke atas kilang degil tersebut. Kes ini menyebabkan ratusan kilang dan kedai di negari Selangor terjejas atas keangkuhan bodoh pengusaha kilang yang tidak ambil peduli langsung soal kebersihan alam sekitar dan orang ramai, mengakibatkan tumpahan sisa minyak itu dan telah menjejaskan bekalan air kepada 1.2 juta penduduk Selangor sehingga tarikh akan dimaklumkan nanti.
3. EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati kilang tersebut gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan selain menemui bau seakan-akan pelarut mengalir ke dalam sungai. Sekalipun kilang ini telahpun diarah ditutup sementara, seharusnya ditutup terus setelah melakukan kesalahan yang sama sebanyak dua kali, patut menunggu keputusan siasatan, yang menjadi isu sekarang ialah siapakah yang akan menanggung kos kerugian kilang dan kedai yang terjejas pengeluaran dan perniagaan mereka, juga menjejaskan kehidupan orang ramai?
4. Kegagalan pihak kerajaan negeri memantau secara rapi dari semasa ke semasa sepatutnya dilakukan oleh LUAS bersama agensi berkaitan bagi memastikan pencemaran bau dapat dikawal dari awal lagi sangat mendukacitakan, Exco Alam Sekitar patut dipecat dan diminta membayar segala ganti rugi yang ditanggung oleh orang ramai yang terjejas akibat sikap malas EXCO menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya.
5. Alasan Loy Sian sekadar membuat kenyataan kononnya beliau kesal dengan sikap pengusaha kilang, dengan mengatakan tahap kesedaran serta rasa tanggungjawab pengusaha kilang masih rendah, apabila ada sesetengah pihak mengambil jalan mudah membuang sisa di dalam sungai adalah alasan retorik bagi menuding jari kepada pihak lain padahal beliau adalah EXCO Alam Sekitar yang bertanggungjawab atas perkara ini.
6. Sikap malas beliau itu telahpun menyebabkan tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) negeri ini terpaksa dihenti tugas pagi ini. Siapa yang harus dipertanggungjawabkan ke atas kecuaian ini dan siapa pula yang patut membayar ganti rugi yang melibatkan jutaan ringgit kerana tergendala urus niaga harian oleh peniaga-peniaga yang terjejas?
7. MUAFAKAT memandang serius hal yang melibatkan ekosistem alam sekitar dan kesihatan rakyat umumnya. Kami tidak mahu putar belit politik yang sama seperti di Johor pada Mac, tahun lalu 2019 pencemaran toksik di Sungai Kim Kim yang menyebabkan lebih 4,000 orang jatuh sakit serta penutupan 111 sekolah di daerah Pasir Gudang dahulu, dimainkan di negeri Selangor pula.
8. Rakyat hari ini perlu peka dan bijak dalam memilih kerajaan, jangan lagi memilih kerajaan yang hanya pandai bercakap tetapi apabila memegang kuasa gagal melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. Kerajaan seperti ini hanya pandai melalak mencari kesalahan orang lain padahal diri sendiri jauh lebih teruk apabila diberi amanah.
Justeru, adalah bijak jika Menteri Besar memecat mereka yang gagal ini daripada berterusan menjadi beban kegagalan menerajui negeri yang dimenangi.
Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media MUAFAKAT
Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA