ISU PARAPET JATUH: PUTRA GESA SIASAT DAN PROJEK NAIK TARAF DIPANTAU KETAT, ELAK KEMALANGAN BERULANG

165
SHARES
531
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PERGERAKAN WIRAWATI PUTRA MALAYSIA

1. Pergerakan Wirawati PUTRA Malaysia berasa kesal dengan kejadian yang menimpa seorang pengguna jalan raya yang keretanya dihempap dinding parapet di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2). Pengguna itu bernasib baik kerana tidak kehilangan nyawa namun apakah nasib para pengguna jalan raya lain jika maut menimpa mereka akibat kecuaian langkah keselamatan daripada mana-mana projek menaik taraf jalan di sekitar Malaysia?

2. Projek-projek naik taraf jalan raya sedang giat dijalankan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur dan melibatkan jutaan laluan trafik pergi dan balik setiap hari. Para pengguna jalan raya boleh terdedah kepada risiko dan bahaya akibat projek-projek yang sedang berjalan, contohnya apa yang telah berlaku baru-baru ini.

3. Pergerakan Wirawati PUTRA Malaysia menggesa kerajaan Malaysia dan agensi-agensi kerja terlibat supaya melakukan pemantauan yang lebih tegas serta efektif dalam setiap operasi untuk memastikan semua syarikat terlibat dalam projek naik taraf jalan tidak mengabaikan aspek keselamatan projek juga tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

4. Rata-rata kelihatan projek naik taraf yang sedang giat berjalan di bandaraya Kuala Lumpur membenarkan laluan kenderaan berjalan di bawah binaan tinggi projek yang sedang berlangsung tanpa ciri-ciri keselamatan yang ketat seperti jaringan bawah binaan serta lain-lain lagi.

5. Kerajaan Malaysia juga diharapkan dapat memantau syarikat-syarikat pembinaan yang diberi projek-projek mega ini dalam menyusun para pekerja binaan yang diambil terutamanya dari kalangan warga asing sama ada mereka cukup terlatih atau tidak untuk menjayakan pembinaan yang berisiko.

6. Risiko kemalangan jiwa di jalan raya melibatkan tapak-tapak projek naik taraf amat tinggi jika sistem keselamatan projek-projek mega ini pincang.

7. Pergerakan Wirawati PUTRA Malaysia menggesa kerajaan melalui kementerian dan agensi terlibat melakukan siasatan bersama dengan syarikat yang bertanggungjawab serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya menjadi keutamaan sebelum memulakan sesuatu projek di jalan raya.

8. Nyawa tidak boleh dibeli jadi sudah sampai masanya Malaysia mencontohi negara-negara maju dalam meningkatkan mutu keselamatan pembinaan tapak-tapak projek terutamanya di jalan raya yang melibatkan jutaan pengguna lain setiap hari.

9. Kerajaan tempatan serta agensi keselamatan terlibat perlu memastikan kontraktor terlibat patuh SOP serta keselamatan yang ditetapkan. Kerajaan perlu lebih tegas dan mengambil tindakan sewajarnya kepada syarikat atau kontraktor lantikan yang bertanggungjawab jika segala aspek tidak dipatuhi.

10. Semoga tiada lagi kemalangan jiwa berlaku melibatkan rakyat di atas nama pembangunan yang berjalan ketika ini.

Dr. Asmah Razalli

Ketua Pergerakan Wirawati PUTRA Malaysia

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts