TERKINI | KEPULANGAN JEMAAH TABLIGH: Melalui kenyataan media terkini Kementerian Luar Negeri (KLN) pada 6 November 2020, memaklumkan mengenai kepulangan 4 lagi anggota Jemaah Tabligh yang terkandas di India, menjadikan jumlah keseluruhan yang berjaya dibawa pulang adalah seramai 180 orang. Baki terkini yang masih ditahan adalah seramai 9 orang.
…
Jumlah keseluruhan Jemaah Tabligh yang ditahan di India sejak pandemik Covid-19 melanda dunia dan menyebabkan seluruh negara di dunia menghentikan penerbangan keluar masuk ke negara masing-masing adalah seramai 189 orang atas dakwaan “menyalahgunakan visa” walaupun dakwaan tersebut sebenarnya jauh tersasar daripada hakikat sebenarnya.
Jumlah 180 orang yang telah selamat kembali ke tanahair sebelum ini diusahakan melalui beberapa siri penerbangan dan baki 9 orang jemaah yang masih belum dibenarkan kembali akan diuruskan sebaik sahaja mendapat kebenaran pulang ke tenahair setelah segala proses diselesaikan.
Daripada baki 9 orang tersebut yang berada di Bihar sedang menjalani proses perundangan dan akan dibawa pulang sebaik sahaja dibebaskan.
Segala usaha gigih dan perancangan pihak kerajaan amatlah dipuji dalam usaha membawa pulang Jemaah Tabligh yang terkandas ini terutamanya Agensi Pengurusan Bencana (NADMA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pesuruhjaya Tinggi (HCM) di India.
Termasuk juga usaha gigih Menteri KLN sendiri iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Timbalannya Dato’ Haji Kamarudin Jaffar, yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 KLN.
Selain itu usaha Jemaah Tabligh Malaysia melalui Jemaah Syura Sri Petaling dan syukbah (pasukan) yang dilantik mengendalikan segala hal ehwal jemaah yang terkandas di sana juga amat membantu memudahkan urusan termasuklah menyelaras maklumat dan hal ehwal jemaah, bantuan guaman serta membantu berurusan dengan pihak berkaitan seperti HCM, pihak polis dan mahkamah.
Syura Jemaah Tabligh turut menyediakan syukbah khas bagi mengendalikan hal ehwal keluarga bagi jemaah yang terkandas termasuklah menziarahi mereka bagi mengetahui keperluan masing-masing yang ada antaranya sangat memerlukan bantuan.
Selain itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) turut menyelaras usaha membantu sejak hari pertama jemaah terkandas dan “usaha di belakang tabir” ini amatlah dihargai sepenuhnya.
Diharapkan seluruh usaha yang dijalankan oleh semua pihak secara bersama ini diberkati oleh-NYA dan semoga usaha dakwah di seluruh dunia sentiasa dipelihara Allah Taala, In sha Allah.