Oleh Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi
Saya mahu mengulangi dua perkara penting di penghujung ucapan Bajet oleh Zahid Hamidi Presiden UMNO di Parlimen semalam.
Pertama mengenai kejujuran politik. Saya pernah mengulasnya di Facebook saya bertarikh 1 November 2020.
Rujuk pautan; https://www.facebook.com/337845423608/posts/10158645722073609/
Tetapi Zahid menyusunnya dengan ungkapan yang tajam dan tepat. Katanya, ”Dalam politik baik sebagai rakan kongsi atau atas nama dokongan, kejujuran politik bukan sekadar persetujuan lisan tetapi pelaksanaannya”.
Menurutnya, tidak timbul siapa yang berbudi atau siapa yang terhutang budi. Tetapi bagaimana kebersamaan diterjemahkan.
Tegas Zahid lagi, muslihat politik hendaklah diketepikan. Apabila kejujuran politik diberi keutamaan, “jangan ada telunjuk lurus kelingking berkait”.
Semoga siapa yang makan cili dialah yang terasa pedasnya. Hentikan politik tikam belakang. Sebab itu Kerajaan PN mesti didokong oleh konsensus parti secara bertulis.
Kedua, Zahid menekankan perlunya kestabilan politik. Barulah kelangsungan rakyat dapat diutamakan. Jujurlah katanya, “Rakyat mahu yang terbaik untuk mereka. Kerajaan majoriti lemah menyukarkan usaha ke arah itu.”
Justeru Zahid menyarankan “usul percaya” atau sebaliknya hendak diuji di Dewan Rakyat. Baginya, Kerajaan perlu menjadikan “usul percaya” itu sebagai urusan kerajaan. Usul itu mesti diletak di senarai atas urusan kerajaan.
Apakah PM berani dan ‘gentleman‘? Ya, jika ada “kejujuran politik”. Sebab itu tegas Zahid proklamasi darurat di seluruh negara atas alasan apa sekalipun wajib ditolak. Cukup jelas pendirian UMNO mengenai darurat.
Akhirnya Zahid membuat kesimpulan penting iaitu suara rakyat adalah suara keramat. Dari rakyat kita diberi mandat maka kepada rakyat kita serahkan mandat.
Justeru jangan memandai tuduh sokongan “Bajet Bersyarat” BN adalah pengkhianat. Syarat itu adalah untuk kelangsungan rakyat. Bukan untuk kahwin Puteri Gunung Ledang.
Sebenarnya yang mengkhianati rakyat adalah yang ego dan tidak mahu mendengar rintihan rakyat di saat paling sukar.