BENARKAN URUSAN NIKAH DILAKSANAKAN KEMBALI DI MASJID

101
SHARES
327
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN JALINAN SAHABAT NUSANTARA (JASANUSA)

11 Disember 2020 / 25 Rabiul Akhir 1442H

Pertubuhan Jalinan Sahabat Nusantara (JASANUSA) menggesa agar urusan nikah ketika tempoh PKPB dilaksanakan kembali di masjid-masjid.

Ini memandangkan larangan nikah di masjid telah menyukarkan urusan tersebut dalam kalangan umat Islam.

Sebagai contoh paling ketara, setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad, orang ramai terpaksa beratur panjang di Jabatan Agama Islam (JAWI), Kuala Lumpur.

Orang ramai terpaksa berbaris berjam-jam untuk mendapat giliran ke kaunter pertanyaan.

Apatah lagi pihak JAWI gagal menangani lambakan ini dengan baik dan masih terikat dengan sistem yang lama.

Adakah bijaksana bagi kerajaan sekarang membenarkan keadaan seperti ini? Lihatlah wajah-wajah mereka yang berdiri dan beratur lama untuk urusan pertanyaan, pendaftaran dan hal yang berkaitan.

Itu belum mengambil kira jumlah petugas yang terhad dan kurang mesra serta kurang sensitif. Juga pelanggan terpaksa menunggu lama untuk kelulusan dokumen dikembali selepas selesai urusan di kaunter.

Yang lebih mengecewakan ramai, setelah beratur panjang, petugas JAWI mengarahkan semua bersurai pukul 11 pagi sebagaimana berlaku hari ini iaitu 11 Disember 2020.

Orang lain juga mahu solat Jumaat tetapi kenapa perlu tutup terlalu awal? Apa sudah jadi dengan sistem pentadbiran agama kita?

Dengan kata lain, orang ramai perlu mengambil cuti untuk berurusan di JAWI.

Siapakah yang mahu dipersalahkan dalam hal ini sedangkan tentu ada kaedah yang lebih baik bagi memudahkan umat Islam?

JASANUSA amat memahami keluhan dan rintihan umat Islam berhubung isu ini yang nampaknya tidak diberi perhatian sewajarnya oleh menteri yang bertanggungjawab dalam urusan agama.

Begitu juga kepada pengurusan majlis-majlis agama dan jabatan-jabatan agama Islam yang tidak pro aktif mencari jalan keluar.

Dalam hubungan ini, JASANUSA mencadangkan peranan masjid dalam urusan pernikahan pasangan pengantin adalah yang terbaik. Semua ini boleh dilakukan dengan pelaksanaan SOP yang ketat di masjid.

Ia pastinya akan dapat menyuraikan lambakan kunjungan orang ramai ke JAWI dan jabatan agama Islam negeri-negeri lain. Sesiapa yang pernah hadir ke JAWI pasti tahu tentang sukarnya untuk mencari parkir, beratur panjang sehingga di bawah terik matahari dan pelbagai larangan seperti kehadiran keluarga yang amat terhad untuk upacara nikah.

Maka beban di jabatan agama (selain kelemahan pengurusan) boleh dikongsi bersama oleh pihak masjid. Lagipun peranan masjid adalah penting termasuk ketika era mencabar seperti PKPB.

Masjid tidak boleh selama-lamanya sekadar tersergam indah dan menjadi seperti gajah putih dengan tiada aktiviti yang sewajarnya seperti urusan dakwah, pernikahan, belajar agama selain untuk ibadat khusus seperti solat Jumaat.

Di negara-negara lain, urusan pernikahan masih dibenarkan di masjid-masjid. Maka JASANUSA menyeru kerajaan campur tangan dan pastikan pihak berkuasa agama jangan terlalu rigid sehingga umat Islam merasa tertekan.

Janganlah pandemik Covid-19 dan PKPB dijadikan alasan untuk kerajaan tidak memikirkan apa terbaik untuk rakyat termasuk umat Islam. Jika pihak berkuasa agama tidak inovatif mengatasi isu berkenaan, adalah lebih baik kembali kepada asas iaitu mengimarahkan institusi masjid dengan pelaksanaan SOP yang ketat.

Itu adalah penyelesaian lebih baik daripada membiarkan orang-orang Islam terutama orang muda berbaris panjang berjam-jam hanya untuk urusan pertanyaan dan pendaftaran nikah.

Ingatlah, Islam adalah agama yang mudah dan fleksibel untuk umatnya dalam apa sahaja keadaan maka janganlah kerajaan dan pihak berkuasa merumitkannya pula.

Dalam kita semua mahu memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat, janganlah ia menjadi penghalang kepada kerajaan untuk menyelami masalah dan tekanan rakyat.

Alasan keselamatan dan kesihatan semata-mata tidak boleh selamanya digunakan pakai, jika tidak cukup ikhtiar lain.

Setidak-tidaknya jalan penyelesaiannya sudah ada iaitu membenarkan kembali aktiviti di masjid ( dengan pelaksanaan SOP).

Samsudin Awang

Presiden JASANUSA

Kampung Baru, Kuala Lumpur

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts