COVID-19: MERUBAH PERSEPSI MASYARAKAT

208
SHARES
672
VIEWS

Pandemik Covid-19 berlangsung hampir 10 bulan bermula dari gelombang pertama hinggalah gelombang ketiga. Rata-rata masyarakat tempatan mula membiasakan diri dengan norma baharu seperti memakai pelitup mulut, menggunakan pembasmi kuman dan mengambil suhu.

Walau bagaimanapun, pandemik ini sedikit sebanyak memberikan kesan emosi kepada pelbagai lapisan masyarakat seperti kanak-kanak, pelajar, individu yang hilang pekerjaan, usahawan dan tidak lupa petugas barisan hadapan.

Semasa gelombang pertama, masyarakat dan petugas barisan hadapan sama-sama berjuang untuk mendepani pandemik yang sehingga kini masih belum menunjukkan tanda akan reda. Masyarakat tidak mengira kumpulan etnik, agama dan umur dilihat berkongsi pengalaman manis membantu petugas barisan hadapan di laman sosial masing-masing.

Namun sejak kebelakangan ini, kedengaran keluhan petugas barisan hadapan yang merasakan mereka mula dipulaukan oleh masyarakat. Jururawat yang pulang kerja ketika singgah di stesyen minyak merasakan orang ramai menjauhkan diri kerana bimbang dijangkiti wabak Covid-19.

Malah sesetengah pihak tidak segan silu melemparkan tuduhan ada barisan hadapan takut mati. Mengapakah persepsi ini timbul ketika gelombang ketiga? Di manakah nilai empati masyarakat masa kini terhadap petugas barisan hadapan? Kenapakah semua ini berlaku?

Saban hari, petugas barisan hadapan terus bertungkus lumus berjuang untuk memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Malah, mereka bertugas tidak mengira waktu. Malangnya, semangat berjuang bersama-sama nampaknya semakin luntur. Mungkin masyarakat perlu mengambil sikap lebih terbuka untuk meningkatkan nilai empati.

KOMUNIKASI: Masyarakat digalakkan untuk bertukar maklumat dan berkomunikasi dengan mereka yang terlibat dengan barisan hadapan. Kekerapan komunikasi mampu memberikan gambaran lebih tepat tahap keselamatan dan ketahanan daripada penularan wabak.

MELETAKKAN DIRI DI TEMPAT INDIVIDU TERSEBUT: Sikap cuba memahami individu lain mampu merubah persepsi negatif sekaligus dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam masyarakat.

MASA UNTUK MEMBANTU KOMUNITI: Aktiviti di masa lapang untuk membantu masyarakat seperti bantuan di rumah warga emas dan rumah anak yatim dapat mengurangkan jurang persepsi buruk sesama sendiri.

MENJADI PENDENGAR YANG BAIK: Dalam masa yang sama, sangat penting untuk menjadi pendengar yang baik. Seorang pendengar yang baik perlu berlapang dada dan selalu berfikiran terbuka supaya lebih mudah untuk memahami apa yang dilalui oleh orang lain.

Kesemua inisiatif di atas perlu dilentur dari akar umbi supaya ia dapat menjadi amalan yang berterusan dalam masyarakat majmuk yang sedang ancaman yang sama. Semuanya bergantung pada diri sendiri untuk menilai.

Dr. Suhaidah Hussain

Pensyarah Kanan

Fakulti Pengurusan Industri

Universiti Malaysia Pahang

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts