SOKONG BAJET 2021 TETAPI TETAP DESAK TAMBAH BAIK I-SINAR KWSP DAN MORATORIUM

165
SHARES
532
VIEWS

Oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Ahli-Ahli Parlimen BN menyokong Bajet 2021 setelah dibincangkan mendalam dalam dua Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Dewan Tertinggi BN atas beberapa faktor berikut:

1. Menghormati dan menjunjung Titah DYMM Tuanku Agong yang menitahkan agar disokong Bajet 2021 ini demi rakyat.

2. Bajet 2021 yang dibentangkan telah ditambah baik mengikut syarat-syarat baharu yang dikemukakan termasuklah isu pengurangan peruntukan kepada JASA dan Penggerak Komuniti.

3. Janji Kerajaan PN untuk mengambil kira suara rakyat yang meminta agar dipermudahkan pengeluaran i-Sinar KWSP dengan amaun maksimum RM10,000 tanpa syarat; dan komitmen Kerajaan untuk memastikan kemudahan Moratorium dilanjutkan sehingga 6 bulan oleh bank-bank tempatan.

4. Bajet 2021 ini penting untuk memastikan perjalanan dan operasi asas kerajaan seperti emolumen gaji kakitangan awam, bantuan kebajikan rakyat, bantuan sara hidup untuk golongan yang tiada KWSP seperti petani, pesawah, penoreh getah dan nelayan dapat disalurkan dalam keadaan pandemik yang masih menggejala.

5. Bajet 2021 ini juga penting untuk rakyat keseluruhan dalam mendepani pandemik terutamanya peruntukan untuk segala usaha membendung dan mengawalnya termasuklah peruntukan untuk petugas barisan hadapan serta vaksin Covid-19 yang dijangkakan dapat diperolehi awal 2021.

6. Penambahbaikan Bajet 2021 juga mengambil kira golongan mahasiswa dan pelajar universiti awam serta swasta yang pada peringkat awal tertinggal daripada pembentangan awal bajet.

7. Akhir sekali, kepimpinan parti juga mengambil kira sentimen negatif jika BN menolak Bajet 2021 yang kesannya besar kepada kebajikan rakyat dan kestabilan negara.

Walaubagaimanapun, kepimpinan UMNO dan BN mengambil maklum dengan serius janji Menteri Kewangan untuk menambah baik dua isu yang masih membelenggu sebilangan besar rakyat khususnya dalam isu yang masih berbangkit berkaitan dengan KWSP dan moratorium. Walaupun sudah ditambah baik namun daripada dapatan maklum balas dan aduan rakyat kepada PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA, kami mendesak kerajaan khususnya Kementerian Kewangan untuk memperhalusi tuntutan rakyat agar:

1. Dalam isu i-Sinar KWSP, kriteria yang dikenakan untuk Kategori 2 haruslah dimansuhkan sepenuhnya supaya ahli KWSP yang berada dalam kesusahan dan memerlukan akses kepada simpanan mereka dibenarkan untuk membuat pengeluaran sehingga RM10,000 dalam tempoh masa yang paling singkat.

2. Dalam isu moratorium, bank-bank tempatan masih mengenakan pelbagai syarat membebankan. Antara aduan yang diterima daripda orang awam termasuklah bank tidak memberi jawapan kepada pemohon dalam tempoh yang munasabah, bank masih memerlukan pelbagai dokumen sokongan diserah walaupun Menteri Kewangan berjanji kelulusan adalah automatik bagi golongan B40, M40 dan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta tempoh bayaran pinjaman ditambah sehingga dua hingga empat tahun lagi bagi mereka yang meminta moratorium.

Justeru, PEMUDA UMNO akan terus memperjuangkan dua isu di atas dengan dokongan kepimpinan tertinggi UMNO dan BN. In sha Allah, kami yakin bahawa Kerajaan PN tentunya akan mendengar keluhan dan suara rintihan rakyat ini.

Jika tidak rakyat pasti akan menghukum mereka dalam PRU akan datang. Dalam hal ini, UMNO dan BN pastinya tidak mahu terpalit jauh sekali tergamak untuk membiarkan suara hati rakyat dipinggirkan begitu sahaja.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts