“DUA BATU ‘TERBUNUH’ OLEH SEEKOR BURUNG”

377
SHARES
1.2k
VIEWS

Perumpamaan yang biasa didengar iaitu “d’une pierre deux coups” atau “membunuh dua ekor burung dengan seketul batu” kerap digunakan bagi menggambarkan dua hasil yang dicapai hanya melalui satu tindakan.

Tetapi pasti belum pernah didengarkan sebelum ini apabila “dua ketul batu ‘terbunuh’ oleh seekor burung” yang boleh didefinasikan sebagai dua rancangan yang gagal mencapai satu matlamat atau keputusan. 

Namun inilah yang berlaku melalui bacaan ketiga Belanjawan 2021 yang bukan sahaja tidak berjaya digagalkan oleh pembangkang tetapi juga menonjolkan sikap sebenar mereka yang rakus ingin mendapatkan kembali kuasa pemerintahan setelah ditumbangkan oleh mereka sendiri.

Tindakan Barisan Nasional menyokong belanjawan tersebut menimbulkan padah buat Pakatan Harapan termasuk Tun Mahathir yang masih kemaruk ingin menjadi Perdana Menteri apabila 111 undian menyokong mengatasi 108 undian yang menolak.

Walaupun perjuangan UMNO dan Barisan Nasional agar KWSP membatalkan syarat (baca: kriteria) bagi Kategori 2 dan juga moratorium yang tidak berapa diikuti oleh bank-bank tempatan yang sepatutnya akur dengan saranan Menteri Kewangan, masih belum berjaya dicapai sepenuhnya, namun menyokong belanjawan demi kelangsungan negara perlu diteruskan. 

Rasional Barisan Nasional yang tidak mahu Belanjawan 2021 ditolak kerana negara memerlukan segera rangsangan kewangan melalui belanjawan tersebut apatah lagi jendela 2021 bakal menjelang tiba, bukan sahaja mematahkan ‘serangan’ terakhir Pakatan Harapan bagi tahun 2020, tetapi rancangan Tun Mahathir ingin menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga itu juga tidak kesampaian.

Tindakan Tun Mahathir secara tiba-tiba dan tanpa segan silu menamakan dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri itu dilihat sedikit mengejutkan Ku Li yang duduk bersebelahan dalam sidang media tersebut, hanya menyerlahkan sifat sebenar beliau yang masih tidak berputus asa ingin berkuasa seperti sebelum ini. 

Selain itu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan oleh Ketua Pemuda Amanah Bukit Bintang Sheikh Khuzaifah Bawazeer akan meletakkan jawatan sekiranya gagal menumbangkan kerajaan dalam masa seminggu selepas gagal ‘menumbangkan’ kerajaan pada bacaan pertama belanjawan, masih tidak mahu menunaikannya walaupun semua pihak tahu beliau akan bertindak sebegitu. 

Rujuk artikel “Anwar janji letak jawatan Ketua Pembangkang jika gagal tumbangkan Perikatan Nasional dalam masa 7 hari” di pautan; https://editormalaysia.com/19316/

Tindakan dua manusia yang ‘berkepala batu” iaitu Tun Mahathir dan Anwar menggunakan pentas belanjawan untuk menumbangkan kerajaan sedangkan mereka berdualah yang kemaruk ingin berkuasa dan telah mencetuskan pelbagai krisis politik melalui sengketa antara mereka sejak 1998 ini wajar dihentikan.

Kemuncak kepada ‘feud‘ atau kesudahan yang akan menjadi penamat kepada perseteruan lama mereka ini mungkin hanya akan berakhir selepas salah seorang daripadanya mengundurkan diri sepenuhnya daripada politik ataupun ditakdirkan Allah Taala meninggal dunia, ataupun ditolak sepenuhnya oleh rakyat ketika PRU-15. 

Cukup-cukuplah dua nama ini ‘berlegar-legar’ dalam politik negara sejak sekian lama, penyokong-penyokong mereka termasuk rakyat seluruhnya wajar meletakkan noktah buat mereka berdua yang hanya mempolitikkan rakyat dan negara demi agenda peribadi masing-masing. 

Justeru, pesanan buat kerajaan yang memerintah tidak kira siapa atau parti manapun di puncak kuasa, rakyat sebenarnya hanya ingin satu perkara daripada mereka iaitu benar-benar bertindak tegas “demi agama, bangsa dan negara”.

Bukan hanya beretorik menggunakan alasan demi agama, bangsa dan negara tersebut atau kononnya “demi perpaduan ummah”, jika isu seperti Tabung Haji, pembunuhan arwah Adib, LTTE dan komunisme yang sepatutnya diutamakan itupun masih belum mahu diselesaikan.

Rakyat juga wajar meletakkan noktah buat pemimpin dan parti yang hanya beretorik dan ‘berhati batu’ sebegini yang tidak mahu mendengar keluhan dan rintihan rakyat, bukan hanya dijadikan modal politik apabila tiba musim pilihan raya kelak.

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts