SIASAT STATUS PERKAHWINAN DAN AGAMA ILLI NAJWA ANUAR HUSSIN SADDIQUE SERTA PASANGAN

478
SHARES
1.5k
VIEWS

1. Baru-baru ini umat Islam digemparkan dengan berita seorang wanita Muslim Malaysia, Illi Najwa Anuar Hussin Saddique berkahwin dengan Ketua Pasukan Hoki India yang dikatakan beragama Sikh di India. Malah video upacara perkahwinan mereka yang mirip perkahwinan Punjabi juga ditularkan kepada masyarakat awam.

2. Pelbagai persoalan timbul selepas itu sama ada wanita tersebut telah murtad atau tidak, adakah perkahwinan mereka sah atau tidak dan tindakan yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan.

3. Sebagai sebuah pertubuhan yang dianggotai oleh peguam-peguam beragama Islam di mahkamah sivil dan mahkamah syariah, PPMM merasa terpanggil untuk membuat kenyataan ini bagi menimbulkan persepsi yang betul dalam isu ini.

4. PPMM memahami kemarahan umat Islam khususnya netizen dalam isu ini kerana hal ini dilihat sebagai menghina agama Islam khususnya apabila umat Islam sendiri terpaksa menghadapi pelbagai syarat untuk melakukan pernikahan dalam tempoh pandemik Covid 19 ini sedangkan beliau dilihat begitu mudah keluar negara untuk berkahwin.

5. Tidak berapa lama selepas itu seorang pegawai khas Menteri Persekutuan telah membuat kenyataan yang merujuk kepada kenyataan pengantin wanita tersebut.

Difahamkan pengantin wanita tersebut adalah anak saudara Menteri Persekutuan tersebut. Dalam kenyataan tersebut wanita tersebut mengaku beliau masih Islam, suaminya juga didakwa telah memeluk Islam dan mereka telahpun menjalankan upacara pernikahan menurut agama Islam.

6. Pihak JAKIM juga telah mengeluarkan kenyataan mereka menanti siasatan dari Jabatan Agama Islam Johor manakala Jabatan Agama Islam Johor mengeluarkan kenyataan akan memanggil mereka kerana pengantin wanita tersebut berasal dari Johor.

7. Sehingga kini beberapa fakta masih belum dapat disahkan samada melalui dokumen ataupun kenyataan iaitu:

a. Sama ada pengantin lelaki tersebut sudah memeluk Islam kerana tiada keterangan yang menyatakan sedemikian;

b. Sama ada upacara pernikahan menurut agama Islam telahpun dilaksanakan sewajarnya kerana tiada maklumat sedemikian dinyatakan seperti rukun-rukun nikah khususnya berkaitan wali, saksi dan akad;

c. Sama ada pengantin wanita tersebut sudah mendapat kebenaran berkahwin dari pihak berkuasa agama di Malaysia menurut undang-undang keluarga Islam negeri yang berkenaan; dan

d. Sama ada upacara perkahwinan yang ditularkan mirip upacara agama Sikh bertentangan dengan hukum syarak atau mempunyai ciri-ciri syirik kepada Allah SWT.

8. Walaupun persoalan-persoalan ini masih belum terjawab lagi, PPMM menyeru agar perkara ini tidak dipolemikkan khususnya dalam menyalahkan mana-mana pihak. Kita seharusnya menyelesaikan permasalahan ini dengan baik bukan menyalahkan orang lain seperti pihak kerajaan, parti politik tertentu ataupun keluarga pengantin. Ini adalah disebabkan hal ini berlaku atas kehendak peribadi seseorang yang tidak melibatkan pihak lain.
9. Oleh yang demikian PPMM menyeru agar pengantin wanita tersebut bersama suaminya agar kembali ke Malaysia dengan kadar segera bagi memberi penjelasan kepada pihak berkuasa mengenai perkara yang ditimbulkan tersebut. Pada pandangan peribadi saya hukuman bukanlah suatu pilihan yang perlu diutamakan tetapi menyelesaikan perkara ini dengan sebaiknya.

10. Remedi perundangan untuk membawa pulang mereka secara paksa mungkin sukar dilaksanakan kerana jikapun benar perkahwinan berbeza agama berlaku, ia dilakukan di India yang membenarkan perkahwinan sedemikian. Kedudukan perundangan di India dalam isu ini berbeza dengan Malaysia.

11. Jika terbukti berlaku perkara yang mensyirikkan Allah SWT perlulah diajak mereka supaya bertaubat dan berjanji tidak melakukannya lagi di samping memberi panduan yang sebaiknya kepada mereka untuk mengemudi rumah tangga agar mendapat keberkatan dari Allah SWT. Jika mereka masih engkar bolehlah tindakan perundangan diambil terhadap mereka.

12. Jika berlaku sebarang perlanggaran kepada mana-mana undang-undang khususnya Undang-Undang Keluarga Islam di negeri berkenaan tindakan pendakwaan juga boleh diambil terhadap mana-mana orang yang melanggarnya sepertimana kes-kes yang lain.

13. Sekiranya berlaku walau seorang umat Islam yang keluar dari agama Islam, kita semua sama ada pemimpin negara atau negeri, penguasa agama, pimpinan NGO Islam, ibu bapa ataupun Muslim lain mesti muhasabah diri kenapa perkara ini berlaku dan perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung perkara ini berlaku lagi. Sudah sampai masanya kita meneliti kembali sistem pendidikan kita di sekolah dan masjid-masjid, kembali kepada budaya leluhur kita yang mementingkan agama dan adab serta memperkemaskan jati diri.

14. Hal sebegini tidak patut didiamkan dan pihak berkuasa agama perlu memainkan peranan bagi menyelesaikan isu ini dengan mendapatkan kepastian kepada persoalan-persoalan di atas. PPMM mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan samada di peringkat Persekutuan ataupun di negeri Johor kerana cepat bertindak dan mengeluarkan kenyataan bagi menangani isu ini.

Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar

Presiden

Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia

21 Disember 2020

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts