Jemaah Tabligh yang sinonim dengan pergerakan dakwah dengan menziarahi umat Islam dari rumah ke rumah tanpa memilih siapapun mereka yang ditemui. Jemaah ini juga membiasakan diri mereka dengan ‘keluar di jalan Allah’ selama 3 dan 40 hari ataupun paling lama selama 4 bulan, untuk belajar cara berdakwah cara Baginda Nabi Muhammad SAW.
Lebih menarik Jemaah Tabligh tidak mencampuri urusan politik dan pentadbiran mana-mana negara dan ini memudahkan pergerakan mereka ke seluruh dunia tanpa melalui kekangan politik ataupun masalah mengenai pandangan mereka terhadap sesuatu kerajaan. Diberitakan Jemaah Tabligh telah bertapak di lebih 160 buah negara dan mungkin boleh dikatakan Jemaah Tabligh sebagai pergerakan yang paling berkembang dewasa ini walaupun secara perlahan-lahan dan tidak kelihatan.
Ini kerana sudah menjadi amalan mereka untuk keluar tanpa penglibatan ataupun hebahan media ataupun iklan di mana-mana dan semuanya mereka lakukan sendiri dengan berjumpa setiap orang di kawasan mereka sejak sekian lama.
Melainkan jika kita terserempak dengan Jemaah Tabligh di setiap masjid ataupun surau ketika solat fardhu lima waktu, ketika mereka sedang ‘keluar’ di sana ataupun sedang ‘menghidupkan amalan membaca taklim’, iaitu amalan rutin setiap hari bagi JT di setiap masjid dan surau.
Selain itu Jemaah Tabligh terkenal dengan amalan menghidupkan sunnah dalam kehidupan mereka yang masyarakat Islam kini sendiri lupa sehingga berasa janggal dan pelik apabila melihatnya namun dengan muka yang tersenyum manis, mereka akan menyapa setiap orang yang dijumpai. Kita akan mudah berasa selesa untuk didampingi dan mereka akan sampaikan kepada kita mengenai kehebatan Allah dan cerita alam akhirat serta .
Namun kini keadaan semakin berubah termasuklah Jemaah Tabligh sendiri. Masyarakat kini telah biasa dengan Jemaah Tabligh apabila semakin ramai dari kalangan mereka termasuk segelintir ustaz dan ulamak Tabligh yang sering memuatnaik berita mengenai keluar di jalan Allah di media sosial seperti Facebook.
Termasuk gambar dan berita jemaah berjalan kaki iaitu satu cabang Jemaah Tabligh yang paling berpengalaman yang akan dikumpulkan untuk berjalan kaki dari masjid ke masjid dan tidak menggunakan kenderaan seperti Jemaah Tabligh lain.
Walaupun sedikit janggal antara penampilan sunnah Jemaah Tabligh dengan cara mereka menyiarkan cerita keluar di jalan Allah di Facebook tidak seperti dahulu namun mungkin ini pendekatan terkini jemaah untuk mendampingi masyarakat yang semakin ramai menggunakan Facebook dan Whatsapp untuk berkomunikasi. Maka Jemaah Tabligh juga tidak mahu ketinggalan dalam menguasai media sosial sama seperti pergerakan dan parti Islam yang lain.
https://www.youtube.com/watch?v=XXsjk7mZLXo
Sungguhpun begitu, kelihatan tidak manis dan seolah-olah mempermainkan sunnah apabila ada kalangan Jemaah Tabligh mula bermain muzik dalam keadaan berpakaian sunnah seperti video yang diviralkan di media sosial dan Whatsapp ketika ini. Walaupun ada golongan agamawan yang tidak membenarkan hiburan kerana Rasulullah SAW tidak pernah membuka ruang, namun mungkin bagi Jemaah Tabligh, bermain muzik ini tidak menjadi masalah dan dibenarkan oleh ulamak mereka.
Apatah lagi akhir-akhir ini kita boleh lihat semakin ramai artis berhijrah dengan menyertai Jemaah Tabligh dan mungkin pusat atau ‘markas’ Tabligh di Sri Petaling sendiri membenarkan perkara ini demi untuk mengambil hati dan menyukakan artis-artis yang berhijrah.
Kita mengharapkan pimpinan Jemaah Tabligh boleh menegur sekurang-kurangnya jika ada anggota jemaah mereka yang ingin bermain muzik dan berhibur agar menggunakan pakaian yang tidak menjadi tohmahan dan kejian terhadap sunnah itu sendiri walau apapun niat baik mereka kerana ‘niat tidak boleh menghalalkan cara’.
Sebaiknya mereka menukar pakaian jika ulamak mereka membenarkan muzik dan hiburan dalam Tabligh.
Namun kita amat merindukan Jemaah Tabligh yang dahulu iaitu Jemaah Tabligh asal yang tidak mempromosikan amal-amal mereka di media sosial dan tidak sibuk ber-selfie ketika keluar di jalan Allah, apatah lagi bermain muzik kerana jika menjadi sama dengan sesetengah pergerakan Islam yang lain termasuk parti politik yang sibuk mempromosikan artis, nanti masyarakat akan lebih kenal artis berbanding usaha dakwah.