Oleh Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi
Takiyuddin bangkitkan isu “Legasi paling murni seorang pemimpin sejati”. Dia merujuk saranan saya supaya Ahli Parlimen UMNO tarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Sepatutnya PPBM yang komen, tetapi Setiausaha Agung PAS pula yang ‘berbunyi’.
Menurut Takiyuddin, “Legasi paling murni ialah pemimpin itu mempertahankan penyatuan dan perpaduan. Ia mesti berasaskan kejujuran. Jika tidak, ia adalah konspirasi.”
Tidak pasti siapa pemimpin legasi yang Takiyuddin maksudkan. Tidak mungkin saya. Saya hanya ahli politik biasa yang bersuara ikut “hati nurani” saya.
Saya tidak fikir cadangan tarik balik sokongan daripada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri membawa kepada perpecahan. Ini untuk rakyat, kerana janji memudahkan rakyat tidak dipenuhi.
Apabila PAS berkawan dengan DAP, adakah itu perpecahan Melayu? Apabila PAS berpisah dengan DAP, ia juga tidak dianggap sebagai perpecahan masyarakat dan negara.
Peluang penyatuan terbesar ialah apabila UMNO-PAS tandatangan Piagam Muafakat Nasional. Peluang itu akan terlepas begitu sahaja kerana banyak sangat pakatan, gagasan dan gabungan yang mahu disertai.
Takiyuddin adalah betul dalam soal kejujuran politik. Tanpa kejujuran politik ia adalah konspirasi.
Sebenarnya Ahli Parlimen UMNO sudah bersikap jujur kerana menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri walaupum dia terlibat dalam konspirasi menjatuhkan UMNO di PRU ke-14.
Datuk Seri Najib juga buat kenyataan jujur dan terbuka mengenai “sokongan bersyarat” terhadap bajet di Dewan Rakyat.
Bahkan Datuk Seri Najib juga secara jujur membuat kenyataan terbuka, jika tiada perubahan dan kerajaan Perikatan Nasional terus berdolak-dalik selepas satu tempoh yang munasabah, Barisan Nasional masih ada cara untuk bertindak.
Semua itu terbuka. Tiada sembunyi-sembunyi.
PAS mungkin selesa, kerana dalam Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional tiada Amanah (PAN). Tiada siapa kacau.
Justeru, yang perlu Takiyuddin jawab ialah, adakah main kayu tiga bukan konspirasi?