MENGAMBIL PENGAJARAN DARIPADA DEMOKRASI YANG SUDAH RAPUH

350
SHARES
2.1k
VIEWS

Oleh Rashidi bin Haris

1. Pada petang 13 Januari 2021 di Capitol Hill, Washington DC, Dewan Kongres Amerika Syarikat bersidang untuk proses 2nd Impeachment Vote ke atas Presiden Donald J. Trump. Ia merupakan rekod dan sejarah Amerika apabila Presidennya dibawa cadangan ‘impeachment‘ atau pendakwaan buat kali kedua atas pertuduhan melakukan hasutan pemberontakan ke atas kerajaan Amerika Syarikat di Bangunan Capitol Hill pada 6 Januari 2021. Peristiwa tersebut tercatat sebagai sejarah hitam mereka. Serangan itu adalah satu tindakan paling ganas di premis pentadbiran utama kerajaan Amerika dan jelas melanggar prinsip demokrasi yang diperjuangkan.

2. Negara ekonomi terbesar itu atau seperti mana yang sering diuar-uarkan sebagai Polis Dunia serta “Penjaga Demokrasi Dunia” kini, mengikut ramai Ahli Kongres Amerika sendiri terutama daripada kalangan Parti Demokrat dan sebahagian Republikan sudah mempunyai ‘home terrorist‘ berbahaya yang telahpun menyebabkan lima kematian bermula dengan hari rempuhan di bangunan Capitol Hill yang lalu. Khabarnya keadaan semakin tidak terkawal apabila sebahagian fanatik parti yang keluar di jalanan ‘membantai’ pihak parti lain.

3. Trump sudah tewas dalam Pilihan Raya Presiden tetapi masih berdegil tidak mahu menerima hakikat akan kekalahannya itu. Kini Trump sudah didakwa oleh Kongres Amerika buat kali kedua. “The beacon of Democracy has fallen” mengikut perdebatan Ahli Kongres dalam 2nd Impeachment Vote berkenaan. Tiada siapa dibenarkan melangkah Perlembagaan negaranya, tetapi Trump melakukannya, mengakibatkan maruah demokrasi Amerika tercabar.

4. Namun apa yang cukup menarik, ingin kita bandingkan perbahasan impeachment Kongres Amerika berbanding perbahasan Ahli Parlimen Malaysia adalah dari perspektif ‘adab’, iaitu adab ketika berlangsungnya perbahasan dan kepatuhan mendengar arahan daripada wakil terutamanya daripada Speaker Kongres. Keadaannya menggambarkan betapa jauh jurang disiplin atau adab yang amat ketara antara amalan di Amerika dan di Malaysia walaupun sama-sama bercakap tentang demokrasi.

5. Sebagai contoh, masa perbahasan diberi hanya 30 saat, 60 saat dan ada yang 2 minit maksimum. Namun semua Ahli Kongres dengan tertibnya berhenti daripada berucap apabila sampai had masanya yang ditegur oleh Speaker atau Wakil Kongres tanpa berlengah, tanpa bantahan, tanpa ada yang terjerit melolong atau lagaknya seperti orang naik sawan. Mereka menjaga disiplin (adab) tidak seperti tingkah laku Ahli Parlimen Malaysia yang amat memalukan. Malu yang teramat!

6. Kita juga sering mendengar berbagai kata-kata berkaitan nilai-nilai Barat termasuk Amerika yang sering dikatakan, ”mengajar negara lain cara untuk mentadbir negara mengikut acuan Amerika”, namun dari sini kita dapat melihat bagaimana sikap beradab Ahli Kongres Amerika ini wajar dipuji dalam mereka menggalas tugas sebagai mewakili rakyat Amerika. Pujian ini bukannya bermaksud kita menyokong negara berkenaan tetapi kita hormati kelakuan perbahasan yang ditayang ‘live‘ oleh CNN. Perjuangannya tetap kita tolak kerana pentadbirannya bukan atas dasar mentauhidkan Allah SWT.

7. Tindakan berani membantah itu jelas berbeza dengan kita, suatu disiplin yang teratur lagi beradab menepati ciri keadilan sebenar. Barangkali inilah yang dimaksudkan dengan suara akar umbi daripada rakyat Amerika. Lihat bagaimana Ahli Kongres berani bangkit dan membantah tindakan Presiden mereka sendiri atas kesalahan menggalakkan rusuhan ke Capitol Hill walaupun hayat Trump sebagai Presiden akan berakhir pada 20 Januari 2021 nanti. Ini baru betul suara akar umbi!

8. Wakil rakyat kita patut belajar, apa yang baik kita ambil walaupun perkara yang baik itu bukannya dari sebuah negara Islam. Kita tidak menafikan bahawa negara Islam yang berdaulah bawah payung Al-Quran merupakan matlamat ummah dan sering kita impikan dapat mencapai kesempurnaannya supaya boleh dijadikan model negara ideal. Semoga Allah membantu kita dalam usaha memperkasakan negara kita mencapai matlamat sebagai negara “Islamiyyah-Malayuwiyah”.

9. Untuk matlamat itu, kita sepatutnya lebih ke hadapan dalam usaha menegakkan keadilan bukannya terkebelakang daripada Amerika Syarikat yang sudahpun mencemar prinsip demokrasi. Mereka juga telah merosakkan dunia Islam apabila mengetuai dunia menyerang Iraq, Iran, Libya dan banyak negara Islam yang lain kemudian meninggalkannya begitu sahaja setelah mengaut hasil bumi negara Islam. Malangnya, ini jugalah Amerika Syarikat yang sama, yang kini bangkit untuk menegakkan keadilan walaupun perbuatan Ahli Kongres itu akan menjatuhkan maruah Presiden mereka sendiri.

10. Sepatutnya wakil rakyat pembangkang Malaysia sudah terbuka matanya daripada peristiwa rempuhan di Capitol Hill dan mengambil teladan daripada suara demokrasi Amerika itu atas nama keadilan. Bukan segala yang buruk disumbat ke dalam minda sehingga kebebasan bersuara sampai ke tahap berlaku biadab dengan melanggar prinsip Rukun Negara; Kesopanan dan Kesusilaan.

11. Malulah Ahli Parlimen kita masih lagi berada pada taraf hanya pandai terpekik terlolong setiap kali persidangan Parlimen berlangsung dari sejak kerajaan Pakatan Harapan hingga kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih tampuk pentadbiran negara hasil kegagalan pemimpin Pakatan Harapan sendiri menjaga apa yang sudah berada di tangan mereka tetapi mengabaikannya kerana perselisihan dalaman sesama sendiri.

12. Ada kalanya kita rakyat marhean tertanya-tanya: Adakah masih terlalu jauh bagi para perwakilan Ahli Parlimen di Malaysia ini daripada mencapai tahap pencapaian seperti sebuah negara yang bermaruah dan berintegriti? Adakah kita akan berterusan berdepan dengan manusia berjiwa haiwan seperti apa yang dipaparkan oleh Ahli Parlimen yang kononnya mendapat mandat rakyat semasa PRU-14 berterusan menjadi badut dalam Dewan Rakyat di Parlimen?

13. Lihat sahaja sebagai contoh; Sekalipun Perdana Menteri dengan cadangannya menasihati dan telah mendapat perkenan YDP Agong untuk melakukan ‘darurat’, namun tetap akan ada suara-suara sumbang derhaka di merata-merata, sedangkan sebagai rakyat yang punya semangat patriotik, kita sepatutnya menumpukan usaha menyahut Titah Proklamasi Darurat itu bukannya memprotes atau membantah titah baginda. Terbaru khabarnya ada wakil rakyat yang menghantar surat membantah perisytiharan tersebut. Jika demikian, betapa jahil dan tidak bermaruahnya wakil rakyat Malaysia, baik pada pandangan masyarakat begitu juga di mata dunia, jelas menunjukkan Ahli-ahli Badan Eksekutifnya sendiri tidak akur pada kandungan Perlembagaannya sendiri.

14. Sesungguhnya rakyat bukannya memilih wakil rakyat yang kerjanya memprotes apa sahaja, bertelagah berebut jawatan dan kuasa, tetapi rakyat mahukan wakil rakyat yang benar-benar mewakili rakyat supaya bekerja kuat melihat kedhaifan dan terbuka hati menjaga keselamatan dan kesengsaraan rakyat. Bukannya bertelagah untuk menjatuhkan pihak lawan.

15. Negara hari ini sedang berdepan dengan kumpulan pembangkang yang rendah maruah yang telah hilang harga diri apabila sanggup mengikut telunjuk seorang yang mabukkan kerusi Perdana Menteri, dan negara terpaksa menanggung malu daripada tindakan tidak beretika oleh wakil rakyat yang tamak haloba ini. Rakyat memerhati apabila amanah ‘dibakul sampahkan’ oleh mereka yang sudah buta hati. Nantikanlah nasib mereka dalam PRU-15 nanti.

16. Menurut peruntukan di bawah fasal-fasal Perkara 150(1) dan 150(2) pengisytiharan darurat tidak boleh dicabar oleh mahkamah atas apa jua alasan. Itu adalah prerogatif YDP Agong, baginda boleh memperkenankan, menangguhkan atau menolak permintaan bagi pengisytiharan tersebut. Membantahnya merupakan suatu penderhakaan dan boleh diambil tindakan dan hukuman atas dasar “penderhakaan terhadap titah perintah  Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong  Agong”.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts