HUBUNGAN INTIM DONG ZONG-CHINA DIPERSOAL, MEMBELAKANGKAN TATA SUSILA KEWARGANEGARAAN

505
SHARES
1.6k
VIEWS

Malaysia adalah satu-satu negara di dunia yang mempunyai toleransi yang paling tinggi di mana sekolah pelbagai aliran dibenarkan. Oleh yang demikian hasrat ke arah penyatuan nasional gagal. Ini adalah pengorbanan terbesar bangsa Melayu menurut kehendak migran semasa Quid Pro Quo, timbang tara dan timbal balas, usul yang diusahakan penjajah British dan migran dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu tanpa penyertaan peribumi Melayu dalam Jawatankuasa Komitee Reid. Peribumi Melayu hanya dibolehkan menghantar cadangan. Fikirkan bangsa asing yang menetapkan ‘destiny’ nasib dan takdir peribumi yang dijajah.

Semua negara maju di dunia mengamalkan satu sistem dalam pendidikan sekolah satu aliran, untuk menghasilkan generasi yang berilmu tinggi, wawasan yang progresif, bersemangat solidariti, tunggak kepada negara berkuasa.

Indonesia contoh yang baik, negara yang mempunyai pecahan suku kaum Melayu yang terbesar di dunia, bertutur dalam 500 dialek dan bahasa-bahasa daerah penghuni 2,000 pulau, telah memilih bahasa Melayu ‘baku’, yang mereka istilahkan bahasa Indonesia sebagai Bahasa Nasional, payung kepada bahasa ikatan penyatuan dalam satu sistem pendidikan Kebangsaan.

Kurikulum sekolah Cina sebelum abad ke 20 sehingga hari ini adalah berorientasikan dan berkiblatkan pemikiran dari Tanah Besar China di mana buku teks serta guru-guru ketika itu didatangkan dari negara China. Dasar terbuka Inggeris terhadap sekolah vernakular Cina dan Tamil dilihat tidak mengancam kedudukan politik dan pentadbiran Inggeris. Fenomena separatisme dan polarisasi sengaja diwujudkan oleh Inggeris bagi memastikan peribumi Melayu terus tinggal di kampung sedangkan bangsa Cina tinggal di bandar, menguasai sektor ekonomi dan pentadbiran peringkat tinggi. Ini telah membuka peluang kepada sekolah vernakular Cina untuk terus berkembang dari 56 buah pada tahun 1919 kepada 684 buah pada tahun 1938, dan 1346 buah sekolah pada tahun 1970.

Ekoran daripada ‘Gerakan Pembaharuan’ yang dipelopori Liang Chichao dan Kang Yu Wei pada 1898, sekolah-sekolah Cina menjadi medan penyebaran ideologi Koumintang kepada kaum Cina di Tanah Melayu. Gejala penyebaran fahaman komunis dan perkembangan kongsi gelap di kalangan orang Cina telah menjadi ancaman kepada pemerintah Inggeris, sehubungan dengan itu British Malaya telah mengenakan Ordinan Penguatkuasaan Pendaftaran sekolah-sekolah pada 1920 dan Sistem Bantuan untuk sekolah-sekolah Cina pada tahun 1923 bagi mengawal aktiviti, kurikulum dan pentadbiran sekolah Cina.

Namun begitu sekolah Cina terus berkembang menjadi 1100 buah menjelang tahun 1947. Setelah Jepun menyerah kalah, usaha awal British (di bawah Malayan Union) ialah untuk mewujudkan keseragaman dan memperbaiki sistem pendidikan, dan membina sistem pembelajaran bermula dengan Laporan Cheeseman 1946. Usaha awal ini ditolak bangsa Cina.

Usaha kedua British melalui Laporan Barnes 1951. Sekolah venakular Melayu, Cina dan Tamil dicadang bubar, digantikan dengan Sekolah Kebangsaan menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan salah satu dijadikan bahasa kedua. Ini menimbulkan ketegangan, bantahan besar-besaran masyarakat Cina. Ia membawa kepada penubuhan Persatuan Gabungan Guru-Guru Sekolah Cina, Jiaozong pada 1951.

Pada 1954, Gabungan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina ditubuhkan. Mereka bergabung membentuk Dong Jiao Zong yang memperjuangkan pendidikan kaum Cina. Ia menjadi penentu kepada kelangsungan kebudayaan Tionghua dalam masyarakat Cina. Ekoran daripada Lapuran Barnes ia membawa kepada penggubalan Ordinan Pelajaran 1952. Gerakan penentangan di bawah Tan Cheng Lock, MCA bergabung dengan kongres anjuran Dong Jiao Zong di mana sebuah organisasi baru, Malayan Chinese Association Chinese Education Central Committee (MCACECC) atau Sanda Jigou ditubuhkan, memperjuangkan pendidikan bangsa mereka. Pertemuan pertama kumpulan pendidikan Cina dan UMNO bermula sebelum Pilihan Raya 1955 di mana bermulanya tawar-menawar politik menggunakan pendidikan.

Pada 1956 ekoran Laporan Razak, sekali lagi timbul keresahan di kalangan masyarakat Cina diikuti Laporan Rahman Talib 1961, mencetus bantahan kaum Cina kerana Fasal 21 (2) yang memberi kuasa kepada Menteri untuk menukar SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) kepada Sekolah Kebangsaan.

Ringkasannya kaum Cina menolak kesemua usaha kerajaan ke arah perpaduan nasional. Ini menunjukkan semangat rasis mereka semenjak bertapak di Semenanjung Tanah Melayu. Rakyat boleh imbas sejarah hitam ini semenjak penjarahan penjajah. Quid Pro Quo dalam Perlembagaan yang dipersetujui atas dasar keikhlasan peribumi Melayu melepaskan beberapa hak dan menampung segala permintaan bangsa Cina, India dan British, sehingga peribumi kehilangan kekuatan pegangan dan pengaruh ke atas negara moyang mereka sendiri.

Kewujudan pelbagai aliran sekolah vernakular, di mana kanak-kanak diasingkan pada peringkat awal pendidikan, menyumbang kepada acuan pembangunan sikap mentaliti yang berbeza, kerapuhan kemasyarakatan, kesejahteraan dan keberadaan bangsa asing berada pada tahap ‘ketidaksepaduan sosial’, sikap kepura-puraan dan berbaik pada permukaan sahaja.

Walaupun sistem pendidikan negara berada pada tahap baik dan masih boleh ditingkatkan, tetapi dengan adanya pelbagai aliran sekolah vernakular yang diamalkan, mutu pendidikan mendatar dan identiti nasional sukar diterapkan. Semenjak bangsa Cina dan bangsa India menjejaki kaki mereka di Semenanjung Tanah Melayu, mereka tidak pernah menunjukkan sikap mahu menerap sosio budaya tempatan, malah melenting menentang habis-habisan apa sahaja yang mereka anggap sensitif, kononnya hak bangsa, budaya dan bahasa mereka disentuh.

Adakah masyarakat bangsa peribumi Melayu juga tidak menjiwai dan tidak sensitif jika HAK mereka disentuh? Malah hak mereka terpaksa dikongsi bersama bangsa asing. Walaupun pada hakikatnya hak dan identiti mereka tidak pernah tergugat, malah saban tahun ia terus ‘diangkat-angkat’. Mereka enggan beralah dan berkerjasama pada setiap pembentangan pendidikan dibuat. Malah tiada sifat keikhlasan, sentiasa curiga dan sangsi terhadap segala usaha kerajaan ke arah penerapan identiti nasional, apatah lagi jika melalui sekolah satu aliran. Keangkuhan dan Pemikiran Etnosentrik – ini yang akan menghuru-harakan negara.

Apa yang dapat ditafsirkan di sini adalah, bangsa Cina dan bangsa India berterusan mahukan kepentingan bangsa mereka sama seperti di negara asal. Sikap ego konon mereka disisih, sentiasa melaungkan ketidakadilan dan ketidaksamarataan sehingga memburukkan nama Malaysia di luar negara adalah senjata utama mereka. Alat perpaduan masyarakat sesuatu negara adalah pendidikan sealiran dan penguasaan bahasa untuk membina masyarakat bersepadu. Bagaimana kita hendak melihat kepada skop pembangunan negara yang lebih besar dan interaktif, bila masalah pokok, untuk di‘nasional’kan pendidikanpun kerajaan gagal menanganinya.

Walaupun bangsa Cina dan bangsa India ada hak dalam hal budaya, pendidikan dalam bahasa mereka seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia, perlu diketahui dan sedia maklum tiada ‘provision’ peruntukan untuk SJKC dan SJKI termaktub dalam Perlembagaan Negara, dan seharusnya tidak diberi bantuan sepenuhnya, keadaan ini mengganggu-gugat pembangunan Sekolah Kebangsaan.

Kepada kaum Cina, pendidikan merupakan komoditi yang dijadikan alat tawar-menawar. Lazimnya apa sahaja yang diminta sering dipenuhi. Walaupun masing-masing ‘menyalak’ dan melaungkan usaha integrasi bangsa melalui berbagai program reformasi atau transformasi; ia sebagai kata-kata manis bagi meneruskan agenda ‘selfish’ mereka. Permintaan dan desakan persatuan Dong Zong dan Jiao Zong supaya sijil UEC SJKC diiktiraf, melanggar Akta Perlembagaan Negara terutamanya, jelas terkeluar dari sistem pendidikan.

Penularan sekolah-sekolah vernakular adalah punca utama keengganan mereka menghormati bangsa Melayu dan kelemahan mereka berbahasa Melayu, sistem pembelajaran yang bebas, isian subjek berpandukan dan berdasarkan kurikulum dari negeri dan sejarah China, kiblat mereka adalah China, Taiwan dan India, lantas, lazimnya pasti berlaku sikap menebal memuja dan mengagungkan negara asal mereka.

Jesteru Bahasa Melayu hanya akan dijadikan sebagai syarat dan alat untuk mereka berada di Malaysia, untuk menguasai ekonomi dan menguasai negara ini. Jadi, akan timbul dan wujud dua keadaan, membanggakan dan mengasingkan bangsa mereka. Mereka akan menolak apa sahaja pembentukan wawasan negara dalam menyerap sosio-budaya tempatan, seterusnya menunjukkan kelemahan yang ketara dalam dasar dan falsafah pendidikan negara.

Senario terkini, keakraban dan kerjasama negara China dan Dong Zong konon atas dasar perkembangan pendidikan, adalah hasil kebebasan yang dianugerah kerajaan kepada mereka. Tidak mustahil kerjasama ketara antara Dong Zong dengan China akan menjejaskan kedaulatan dan keselamatan negara sehingga tidak dapat dibendung, dikuatiri akan mengeruhkan lagi keadaan antara pelbagai bangsa di negara ini. Motif dan kerangka kerjasama Dong Zong-China dipersoalkan, melambangkan rasis yang licik, campur tangan negara luar dalam pendidikan negara, seolah memperlekehkan pendidikan nasional. Kerjasama hanya tertumpu bagi memperkukuhkan kedudukan bangsa mereka di sini, adalah seperti “kaduk naik ke junjung”, seakan membiarkan “menggigit tangan yang menyuap” menjadikan mereka “gunting dalam lipatan”. 

Pendidikan nasional dikorbankan, diuji dengan bermacam-macam cabaran hanya bagi mengutamakan, mementingkan dan memenuhi kerenah sesuatu bangsa sehingga meminggirkan dan merosakkan keharmonian ‘sistem hierarki’ pendidikan sedia ada, dibentuk bagi kejayaan dan kesejahteraan rakyat pelbagai bangsa.

QIAM berpendapat sikap kealpaan kerajaan membiarkan kebebasan Dong Zong amat dikesali.

Zaharah Sulaiman

Pertubuhan Gerakan QIAM

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts