I-SINAR KWSP: 5 ISU UTAMA DIBANGKITKAN RAKYAT

314
SHARES
1k
VIEWS

Sejak dua hari ini, talian hotline i-Sinar Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kembali hangat dengan menerima tidak kurang daripada 400-500 mesej aduan sehari berkenaan isu pengeluaran i-Sinar ini.

Rata-rata maklum balas yang diterima berikutan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan mengenai pengeluaran i-Sinar tanpa syarat pada minggu lepas menzahirkan beberapa kebingungan rakyat yang perlu diberi perhatian oleh pihak KWSP.

Pihak Pemuda UMNO telah menganalisa dan merumuskan aduan setakat ini mempunyai 5 isu utama yang paling mendapat tumpuan dan perlu diberi perhatian oleh pihak KWSP dan Kementerian Kewangan bagi menambahbaik proses pengeluaran i-Sinar tanpa syarat ini:

1. Masih perlu untuk memuatnaik dokumen sokongan, maklumat pengurangan pendapatan serta dokumen sokongan untuk pertimbangan bagi meneruskan proses permohonan baru i-Sinar tanpa syarat ini. KWSP perlu mempercepatkan kemaskini sistem permohonan i-Sinar dengan memansuhkan butiran dokumen sokongan ini. Ternyata rakyat masih keliru sama ada syarat pengeluaran i-Sinar telah dimansuh atau belum.

2. Percepatkan tarikh kelulusan permohonan. Seperti yang dimaklumkan oleh KWSP, tarikh kelulusan permohonan hanya akan dapat diketahui oleh pemohon pada 8 Mac 2021. Rata-rata rakyat amat kecewa dengan penangguhan ini sedangkan mereka yang dalam kategori 2 sudah memohon sejak 11 Januari 2021. Jika 8 Mac 2021 keputusan kelulusan permohonan, bila rakyat akan mula mendapat bayaran pengeluaran i-Sinar ini? Adakah akan mengambil masa selama sebulan lagi? Ini tidak termasuk proses rayuan permohonan lagi. Rakyat tidak dapat lagi menahan tekanan hidup yang dihadapi bagi mendepani wabak Covid-19 ini.

3. KWSP atau Kementerian Kewangan perlu mengeluarkan kenyataan rasmi segera bagi mengumumkan tarikh-tarikh penting seperti tarikh kelulusan permohonan, tarikh proses rayuan permohonan dan tarikh pembayaran yang akan diterima oleh rakyat. Dengan ini rakyat akan lebih bersedia dari segi mental dan mengawal aliran tunai kewangan mereka. Mereka tidak mampu lagi bergantung ‘tanpa tali’ oleh pihak KWSP yang selalu ‘flip-flop‘ dalam memberikan kenyataan.

4. Permudahkan penukaran amaun pengeluaran i-Sinar melalui sistem online. Ramai yang mengadu mereka ingin menukar jumlah pengeluaran pada kadar maksimum setelah pengumuman rasmi yang dibuat oleh Menteri Kewangan minggu lepas. Bagi yang telah mendapat pembayaran interim kali pertama, mereka tidak boleh menukar jumlah pengeluaran i-sinar secara online sebaliknya mereka perlu ke kaunter KWSP berdekatan bagi mengisi borang secara manual. Namun dalam situasi pandemik Covid-19 ini, mereka perlu buat temujanji secara online untuk membuat urusan di kaunter KWSP yang mengambil masa selama sebulan untuk menunggu giliran temujanji.

5. Memberi pilihan kepada Ahli KWSP untuk mengeluarkan maksimum RM10,000 sekaligus (one-off) setelah permohonan diluluskan. Ramai di kalangan mereka yang mengadu mengalami tekanan hidup yang sangat dahsyat, terpaksa berhutang untuk meneruskan kelangsungan hidup dan perlu sejumlah wang yang boleh menanggung kehidupan harian sekeluarga. Mereka telah lama menunggu berbulan-bulan untuk kelulusan permohonan i-Sinar ini. Berilah mereka pilihan untuk pengeluaran RM10,000.00 secara one off bagi meneruskan kelangsungan hidup dengan duit mereka sendiri.

Ini sebahagian rumusan isu-isu utama yang paling banyak dibangkitkan oleh orang ramai. In sha Allah Pemuda UMNO akan terus memantau dan mengangkat suara rakyat ini untuk diambil tindakan oleh pihak KWSP dan Kementerian Kewangan.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

16 Februari

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts