Alasan Kerajaan Perikatan Nasional melalui Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagi menangguhkan sidang Parlimen hingga 1 Ogos depan telah menimbulkan persoalan kerana selain Ahli Parlimen merupakan antara penerima vaksin Covid-19 di fasa pertama, ia juga dilihat bertentangan dengan titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
Alasan penangguhan yang Takiyuddin berikan ialah kerana sebahagian besar Ahli-ahli Parlimen merupakan kumpulan berisiko dijangkiti Covid-19 dan juga bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha melawan COVID-19.
Alasan ini selain lambat dikeluarkan sebagai respons kepada titah baginda, ia juga telah menimbulkan beberapa persoalan iaitu;
1. Adakah kenyataan kerajaan ini bertentangan dengan kenyataan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebelum ini yang telah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang ketika darurat?
Istana Negara menjelaskan isu salah faham bahawa Parlimen tidak boleh bersidang ketika darurat dengan kenyataan jelas dan mudah difahami iaitu; “…tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat”.
2. Maka bukankah kenyataan Takiyuddin iaitu, “Kerajaan menasihati Yang Di-Pertuan Agong supaya tidak melaksanakan persidangan Parlimen ketika tempoh darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan” ini tidak tepat seperti dinyatakan lebih awal oleh pihak Istana?
3. Adakah kenyataan kerajaan ini boleh dikatakan sebagai menderhaka titah Baginda yang menzahirkan pandangan untuk membenarkan Parlimen bersidang?
Walaupun ia adalah “atas nasihat Perdana Menteri” tetapi baginda dengan jelas dan tegas telah memberi kenyataan bahawa proklamasi darurat tidak menghalang Sidang Parlimen. Jika Menteri Undang-undang dan kerajaan Perikatan Nasional tidak bersetuju kenyataan ini mereka perlu merujuk dan menjelaskan kepada pihak Istana Negara terlebih dahulu.
4. Selain itu kenapa hampir seluruh industri, kilang-kilang, pasaraya dan pasar malam dibuka termasuklah sesi persekolahan juga telah dimulakan sedangkan ia jauh lebih berisiko berbanding Parlimen?
Tentulah disiplin Ahli Parlimen dalam menjaga SOP adalah lebih baik daripada pematuhan kanak-kanak sekolah rendah dan logik ini tidak perlupun merujuk kepada “sains dan data” seperti dinyatakan Takiyuddin.
5. Timbul juga keraguan apa tujuan vaksin diberikan lebih awal kepada Ahli Parlimen jika akhirnya mereka tidak boleh juga ke Parlimen menunaikan hak mereka kepada rakyat?
6. Bukankah vaksin dicipta sebagai asbab melindungi penggunanya seperti tujuan asal ia diberikan iaitu untuk menghalang jangkitan dan mencipta ‘herd community‘?
Malah tindakan ‘menidakkan’ keupayaan vaksin ini akan membuatkan segelintir rakyat yang masih ragu-ragu dengan vaksin ini akan bertambah risau. Apatah lagi kerajaan sepatutnya lebih cerdik mengeluarkan kenyataan agar kumpulan ‘antivax’ tidak akan mengambil kesempatan atas isu ini kelak.
7. Adakah kerajaan gagal memikirkan cara yang lebih baik selain ‘menggantung Parlimen’ dan menghalang wakil kepada rakyat menyuarakan apa kebimbangan rakyat yang diwakili oleh mereka ketika ini?
Terutamanya mengenai isu vaksin, ekonomi, pengangguran meningkat, kegagalan kerajaan menguruskan pandemik serta sering ‘flip-flop‘ membuat keputusan yang menyusahkan rakyat seluruhnya.
8. Jika kerajaan risau 222 Ahli Parlimen akan hadir secara serentak, bukankah kerajaan boleh menetapkan jumlah tertentu bagi blok kerajaan dan pembangkang ataupun membuat pembahagian sesi?
Terpulang bagi mereka untuk menentukan siapakah Ahli Parlimen yang akan hadir mewakili parti masing-masing, contohnya 50 Ahli Parlimen bagi setiap sidang atau sesi dan selebihnya hadir secara maya.
9. Jika alasan penangguhan Parlimen adalah kerana faktor “perundangan, sains dan data” maka di manakah bukti sains dan data yang menunjukkan Parlimen lebih merbahaya dan berisiko?
Jika mahu dibandingkan dengan kebenaran masuk pelawat asing, kebenaran operasi kebanyakan industri, pasar malam, kilang-kilang, termasuklah pembukaan sekolah dan pawagam seluruh negara.
10. Justeru “sains dan data” apa Perikatan Nasional gunakan dan di manakah buktinya?
Kerajaan juga tidak perlu risau mengenai undi percaya ke atas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana dua Ahli Parlimen PKR baru sahaja melompat dan mengukuhkan Perikatan Nasional, tanpa perlu ditangguhkan sehingga lima bulan lagi iaitu pada bulan Ogos.
Semoga Perdana Menteri dan kerajaan tidak mengambil tindakan menyaman rakyat atau mana-mana individu selepas ini apabila mereka menggunakan hak yang sah di sisi Perlembagaan untuk mempersoal tindakan yang dilihat bertentangan dengan titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.