AKTA LOMPAT PARTI WAJIB DILAKSANAKAN, ELAK PENYOGOKAN POLITIK ATAU UGUTAN

351
SHARES
2.1k
VIEWS

Penawaran habuan ataupun penyogokan politik di zaman Perikatan Nasional tidak lagi dilakukan secara tersembunyi tetapi terang-terangan malah pengiraan dan jawapannya juga dilakukan secara terbuka tanpa segan silu lagi. Perkara ini juga telahpun diakui lebih awal oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu beliau Menteri Dalam Negeri di mana terdedah audio beliau menerangkan rancangannya ‘membeli’ Ahli Parlimen UMNO dengan menawarkan jawatan Menteri dan Pengerusi GLC yang dinamakan sebagai “scheme of thing” – sehingga mewujudkan “Kluster Lompat”. 

Namun Kluster Lompat ini sebenarnya telahpun lama wujud iaitu sebaik sahaja Pakatan Harapan menang PRU-14 apabila banyak dalam kalangan Ahli Parlimen melompat ke parti lain atau keluar menjadi Ahli Parlimen Bebas tetapi menyatakan hasrat menyokong kerajaan, dengan alasan demi pengundi-pengundi di Parlimen mereka (yang sebenarnya marah dan tidak bersetujupun dengan tindakan melompat parti tersebut). 

Namun, apa yang lebih ditakuti ialah ia juga membuka ruang untuk berlakunya ugutan politik iaitu jika tidak sokong kerajaan maka mereka akan didakwa, ataupun menimbulkan persepsi jika sokong maka tidak akan dikenakan tindakan ataupun dakwaan akan didiamkan. Persepsi ini telahpun berlegar-legar dalam kalangan pemimpin-pemimpin politik sendiri serta dalam kalangan masyarakat.

Perkara ini timbul apabila Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar bertindak keluar parti PKR dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang menimbulkan persepsi buruk kerana kurang sebulan sebelum itu beliau dan beberapa individu yang rapat dengan beliau sedang disiasat berkaitan satu kes rasuah yang melibatkan kementeriannya dahulu. 

Malah perkara ini turut disindir oleh Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di laman Facebook-nya semalam;

Pagi ini, bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Pakatan Harapan (PH) umum keluar parti PKR untuk sokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).” 

Secara kebetulan bulan lepas, YB ini dikaitkan dengan kes SPRM pembantunya serta kawan baiknya ditahan berkait kes rasuah di mana wang tunai RM1.2 juta disita, RM77 juta dalam akaun-akaun bank dibeku dan beberapa buah kereta mewah dirampas.” 

Bekas Perdana Menteri keenam itu turut memetik beberapa laporan berhubung siasatan SPRM melibatkan perkara tersebut.

Justeru perkara memalukan dan tidak beretika ini sepatutnya dihentikan melalui Akta Melompat Parti yang akan memberi keyakinan kepada pengundi-pengundi di mana mereka tidak akan ragu-ragu lagi untuk memilih mana-mana Ahli Parlimen yang dipercayai. Ini kerana pengundi yakin dan pasti bahawa Ahli Parlimen mereka tidak akan secara tiba-tiba melompat kepada parti lain yang sebelum ini tidakpun pernah mereka persetujui malah mungkin dibenci oleh mereka selama ini. 

Boleh juga diwujudkan perjanjian antara pengundi dan Ahli Parlimen bahawa mereka bersetuju ataupun tidak untuk membenarkan mana-mana Ahli Parlimen untuk melompat parti. Jika lebih ramai pengundi tidak bersetuju maka Ahli Parlimen tersebut secara automatik akan hilang keahliannya sebagai Ahli Parlimen sekiranya melompat parti, tetapi perkara ini perlu diwartakan dan menjadi undang-undang terlebih dahulu. 

Selain itu melalui perkembangan mutakhir ini parti PAS yang juga sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional wajar meneliti perkara ini dan menasihatkan mereka untuk tidak mewujudkan Kluster Lompat dengan meraih sokongan Ahli Parlimen secara scheme of thing, kerana ia melibatkan kata-kata, janji dan amanah yang telahpun diberikan oleh seseorang pemimpin. Apatah lagi jika ia membuka ruang untuk penyogokan politik ataupun ugutan. 

Parti PAS yang memperjuangkan Islam sejak sekian lama tentu lebih dipercayai, adil dan faham perkara ini serta sudah jatuh wajib bagi mereka untuk menasihati kerajaan dalam isu ini. Wallahualam.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts