Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bersikap seolah-olah mempunyai bukti yang cukup untuk mensabitkan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai bersalah sedangkan kerajaan Pakatan Harapan sendiri masih terkial-kial mencari bukti sejak mengambil-alih kerajaan.
Datuk Seri Najib sendiri tidak meminta dirinya disokong namun sebagai seorang pemimpin yang pernah berjasa sebagai Perdana Menteri, beliau wajar dihormati dan diberi peluang untuk diadili dengan saksama kerana tiada sesiapa didapati bersalah selagi tidak dibuktikan di mahkamah.
Berbeza dengan penyokong PKR yang menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun beliau menghadapi pelbagai pertuduhan liwat, salahguna kuasa dan dituduh sebagai pelaku dalam skandal video China Doll di mana Annuar Musa wajar mencontohi sikap penyokong PKR ini.
Annuar Musa dipetik berkata, parti itu tidak boleh lagi membuang masa mempertahankan bekas Presiden mereka dan menyifatkan Datuk Seri Najib sebagai ‘beban’ yang tidak lagi boleh dipikul oleh UMNO.
“Kami perlu teruskan perjalanan ini. Kami tidak akan tunggu. Kami tidak akan bazirkan masa mempertahankan Najib.
“Kami dalam UMNO tidak boleh bawa beban ini selamanya. Perlu diputuskan. Jika ini semua tanggungjawab beliau.”
“Najib hanya satu orang, tidak ada orang yang amat diperlukan. Najib bukan lagi Presiden parti, bagi saya beliau hanya ahli parti. Sama ada orang sokong dia atau tidak, ia tidak penting.”
“Parti lebih penting berbanding mana-mana individu. Najib sudah melepaskan semua jawatannya dan kini parti di bawah pentadbiran baru. Kami akan buat dengan cara baru.”
“Kami tidak akan tunggu Najib selesaikan kesnya di mahkamah.”