Persidangan Agung UMNO (PAU) 2020 akan dilangsungkan selama dua hari bermula hari ini 26 Mac sehingga esok 27 Mac dilihat bakal menentukan halatuju parti tersebut dalam mengharungi politik negara termasuk bersedia menghadapi PRU-15 kelak.
Persidangan kali ini yang telah ditangguhkan sebanyak dua kali sebelum ini telahpun mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi sepucuk surat bertarikh 19 Mac lepas dan persidangan yang ditunggu-tunggu ini diharapkan akan berjalan lancar dan terkawal dalam suasana pandemik masih melanda negara.
Melalui PAU 2020 kali ini ahli-ahli UMNO yang melebihi tiga juta di seluruh negara serta rakyat seluruhnya juga ingin mengetahui halatuju, pendirian serta perancangan parti tersebut dalam menghadapi PRU-15 kelak yang telah dijanjikan oleh Perdana Menteri akan diadakan sebaik sahaja darurat ditamatkan.
Dalam konteks politik negara akhir-akhir ini yang dilihat semakin tidak stabil sejak Perikatan Nasional mengambil alih kerajaan, ditambah dengan pelaksanaan PKP 2.0 serta pengisytiharan darurat sehingga Ogos depan, termasuk Parlimen digantung dan ketidaktentuan bilakah pilihan raya dan penafian hak pengundi muda bukan sahaja menimbulkan kerisauan dalam masyarakat malah telah menyebabkan pelabur-pelabur luar beralih ke negara lain.
Justeru rakyat mendambakan politik yang stabil kerana ia adalah kunci kepada keharmonian, kesejahteraan dari segi ekonomi dan sosial serta PAU 2020 kali ini adalah masa terbaik untuk menyegarkan semangat UMNO dalam kalangan ahli di setiap peringkat, agar kembali kepada landasan perjuangan parti.
Selain itu, pertembungan yang dijangkakan antara akar umbi yang tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu merupakan isyarat jelas buat pemimpin-pemimpin UMNO terutamanya yang mempunyai jawatan dalam kerajaan dan ‘semakin lunak’ kepada Perikatan Nasional, bahawa sebarang ikatan kerjasama yang meragukan dan hanya menguntungkan segelintir pemimpin berkepentingan dalam kerajaan akan ditolak oleh akar umbi.
Sebarang kerjasama yang dilihat tidakpun memperjuangkan dan mengkedepankan rakyat malah lebih malang tidak mampu ‘undo‘ apa yang telah dilakukan oleh Pakatan Harapan selama ini yang telah merosakkan pelbagai perkara akan menjadi antara faktor utama kerjasama tidak patut diteruskan kerana ia langsung tidak menguntungkan rakyat dan negara.
Suara keramat ahli-ahli UMNO bersama rakyat yang selama ini tetap kekal bersama parti tersebut dalam keadaan kalah ataupun menang, akan terus berkumandang dan bergema di PWTC minggu ini sebagai bukti UMNO akan terus kekal relevan sebagai peneraju dan bukan diteraju mengikut acuan parti lain.
Selamat bersidang.