KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA AGUNG PERKASA
26 Mac 2021
Perkasa sangat kecewa dengan tindakan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersikap ‘pilih bulu’ dalam melayani permohonan menjadi pemerhati dalam sesuatu kes.
Pada 23 Februari 2021 lepas, PERKASA melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co telah secara bertulis memohon mendaftar dan kemasukan sebagai pemerhati dalam satu kes Mahkamah Rayuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Bagaimanapun permohonan tersebut telah ditolak melalui surat bertarikh 25 Februari 2021 dengan alasan permohonan tersebut tidak dapat dipertimbangkan kerana Mahkamah Syariah hanya mempunyai mamoradum persetujuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sahaja sebagai pemerhati di Mahkamah Syariah dan ia terhad kepada kes-kes membabitkan kanak-kanak, wanita dan orang kelainan upaya. Dengan itu permohonan PERKASA ditolak dan keputusan adalah MUKTAMAD.
Pada 25 Mac 2021 PERKASA sekali lagi membuat permohonan yang sama tetapi melalui kaunter Pendaftar Mahkamah Syariah tersebut beserta dengan afidavit. Bagaimanapun pegawai di kaunter Pendaftar Mahkamah Syariah itu tidak dapat menerima dokumen yang ingin kami serah dan didaftarkan.
Menurut pegawai berkenaan, kami boleh berjumpa SUHAKAM agar memberi kami kebenaran menggunakan SUHAKAM dalam permohonan menjadi pemerhati untuk kes yang dimaksudkan.
Persoalannya, sama ada Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk membenarkan pemerhati ataupun tidak? Ada atau tidak pastinya terpakai kepada semua kerana tiada MOU di mahkamah. Undang-undang mana yang memberi kuasa kepada mereka membuat MOU?
PERKASA dan NGO-NGO lain telah lama berjuang untuk menaikkan martabat Mahkamah Syariah, tetapi malangnya ia makin jauh daripada apa yang diharapkan.
PERKASA menggesa pihak berwajib dalam hal Mahkamah Syariah perlu mengambil tindakan segera dalam memenuhi kelompongan yang begitu banyak sekali. Sewajarnya Mahkamah Syariah perlu dilihat lebih terbuka untuk mendapatkan keadilan berbanding mahkamah-mahkamah lain.
Kenyataan PERKASA ini adalah berniat baik dan bukan untuk memburukkan, tetapi demi untuk samatarafkan Mahkamah Sivil dan Mahkamah SYARIAH.
Sekian.
Syed Hassan Syed Ali
Setiausaha Agung
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)