SURAT PEMBACA | 1. Isu perbualan politik antara dua presiden parti politik Malaysia, salah seorang presiden mengucapkan tahniah dan pujian kepada presiden yang lain dan selanjutnya perbualan politik yang klise
2. Jika wujud sebarang ‘deal‘ antara parti sekalipun ia tidak menjadi kesalahan dan tidak mempunyai ‘weight‘ bagi negara kerana kedua-duanya bukan Menteri Kabinet ataupun Perdana Menteri
3. Tidak wujud ancaman terhadap negara dan rakyatnya yang berbilang kaum melainkan jika wujud deal politik ia mungkin menjadi ancaman bagi parti kerajaan yang dilihat terpaksa menggunakan pelbagai cara termasuk menggantung Parlimen untuk kekal memerintah
4. Jika disiasat sekalipun ia tidak akan memberi kesan apa-apa melainkan sekadar membuktikan ketulenan audio tersebut, namun ia tentu lebih sukar dibuktikan berbanding video Menteri Kanan yang telah dibuktikan tulen dan ada pengakuan pelakunya sendiri
5. Isu siapa merakamnya juga tidak penting kerana dalam dunia serba canggih ini sesiapa juga sudah ada kemampuan untuk merakam dan siapa yang bermanfaat (cui bono) darinya tentu sudah boleh diagakkan
6. Namun ia tetap tidak penting untuk dihujahkan kerana kedua-dua presiden tersebut bukan di dalam kerajaan dan kata-kata mereka tidak memberi makna apa-apa melainkan wujudnya ‘deal‘ tertentu yang perlu melibatkan SPRM (bagi deal rasuah) dan polis (bagi sebarang deal jenayah atau melibatkan kumpulan pengganas).
7. Ia bukan seperti rakaman “scheme of thing” seorang Menteri Kabinet yang kini telahpun menjadi Perdana Menteri yang sepatutnya disiasat kerana melibatkan penyogokan politik dan habuan. Ia juga dikhuatiri berkait rapat dengan ugutan jika tidak menerima tawaran
8. Jika ada kesilapan bagi kedua-dua presiden tersebut hanyalah melibatkan parti masing-masing sekiranya membelakangkan parti tetapi jika perbincangan melibatkan kerjasama awal, ia menjadi hak mana-mana presiden untuk meneliti sebarang kerjasama dengan sesiapa jua
9. Sama seperti Presiden PAS dahulu memilih untuk bersama parti DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat dan Presiden Bersatu juga memilih untuk bekerjasama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Harapan, justeru tidak timbul isu “halal bagi aku, haram bagi kamu” jika melibatkan isu politik
10. Janganlah satu perkara jadi halal jika melibatkan diri sendiri dan jadi haram jika melibatkan orang lain. Halal haram, boleh atau tidak ini tetap terpakai kepada semua tidak kira partinya Islam ataupun tidak
11. Justeru, persoalan kenapakah rakaman dua presiden parti politik berbual hal-hal politik ini diperbesar-besarkan seolah-olah ‘haram’ dalam politik sedangkan semua pihak yang kononnya memandang keji itulah yang selama ini pernah bekerjasama dengan mereka bagi menumbangkan kerajaan?
12. Jawapannya tentulah berbalik kepada jawapan politik juga iaitu; Jika kerjasama itu menguntungkan kami maka tidak mengapa, ia tentunya halal. Tetapi jika kerjasama itu menguntungkan pihak kamu maka tidak boleh, ia tentunya haram.
13. Maka jika rakaman itu boleh menunjukkan bukti kerjasama ‘haram’ itu berlaku, maka tentu pihak tergugat akan menjerit kata “kerjasama itu haram” wajib ditolak dan disertakan dalil-dalilnya – walaupun sebelum ini merekalah yang mempunyai rekod kerjasama sejak sekian lama, juga disertakan dalil-dalilnya
14. Jika audio dua presiden ini menjadi persoalan, audio “scheme of thing” dan video lucah semburit ini juga perlu dipersoalkan. Tidak adillah jika kena atas batang hidung sendiri didiamkan walau melibatkan dosa-dosa besar tetapi jika orang lain, walau hanya berbual politik tetapi diperbesarkan seolah-olah itulah dosa besar
15. Kesimpulannya, dalam politik ini sepatutnya wujud keadilan tetapi malangnya keadilan itu tidak diwujudkan. Justeru itu mana-mana parti yang melibatkan Islam dalam politik ini perlu memikirkan kembali perjuangan mereka kerana jika tidak boleh mewujudkan keadilan apabila sudah berkuasa maka lebih baik usahlah berpolitik
16. Ini kerana ia hanya akan memburukkan imej Islam dan membuatkan umat Islam semakin keliru dan salah faham. Contohnya dalam isu lompat parti ia telah ‘dihalalkan’ atau dipandang remeh malah ‘bercakap besar’ konon parti mereka mendapat manfaat daripada isu melompat parti
17. Sedangkan dalam isu melompat parti ini ia jelas terkait dengan tiga tanda-tanda munafik iaitu apabila berkata-kata dia berdusta apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia khianat – ini bukan retorik politik tetapi ini mafhum hadis Nabi SAW
18. Justeru, saranan mudah untuk semua pemimpin dan ahli politik tidak kira kerajaan ataupun pembangkang, perjuangan Islam, nasionalis, cauvinis atau apa jua faham politiknya; berlaku adillah apabila anda berkuasa
19. Walaupun anda tidak berlaku adil tetapi setidak-tidaknya rakyat dan masyarakat perlu melihat anda berlaku adil. Buka kembali Parlimen adalah antara keadilan yang perlu anda tonjolkan walaupun anda tidaklah seadil manapun selama ini selepas lebih setahun memerintah
20. Tunailah hak Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang telahpun memperkenan sidang Parlimen diadakan dalam tempoh darurat. Bukankah wala’ kepada baginda selaku Ketua Agama Islam dan Ketua Tertinggi Negara adalah jauh lebih baik daripada wala’ hanya kepada presiden parti?
Wallahualam.
Mohd Faisal Ramli