Oleh Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Kita bukan marah sangat dibuat PKP. Rakyat ini kalau disuruh tidak raya 5 tahunpun tidak apa kalau betul-betul ia demi negara.
Kita marah bila ‘kluk klek’. Bulan lepas janji tidak ada PKP, tiba-tiba umum ada pula. Sedangkan apabila sudah dijamin PKP tiada, maka perniagaan yang baru hendak bernafas sudahpun buat tempahan stok, sudahpun beli bahan mentah, sudahpun bayar sewa tapak.
Duit ini siapa hendak ganti? Habis duit, naiklah stress. Rakyat yang sakit mentalnya ini adakah akan menjadikan negara ini sejahtera?
Saya selalu kata bahawa polisi kita sudah sepatutnya bersifat proaktif. Sudah mampu foresee the future. Bukan lagi umum PKP hari ini kemudian kelam-kabut SOP berubah tiba-tiba.
Tipulah kalau tidak boleh jangka. Kita ada R Naught. Kita ada data dan sains yang menteri suka sebut. Kalau benda sebegini tidak boleh jangka, baik menteri kira pakai sempoa sahaja.
Jika rasa geli sangat bila saya sebut tentang keberkesanan polisi zaman DS Najib, tidak mengapa. Cukup contohi apa yang tuan-tuan sudah buat ketika PKP tahun lepas.
Perniagaan semua tutup. Sekecil-kecil kontraktor sampai sebesar-besar kilang dapat insentif gaji yang sama. Moratorium, bantuan tunai semua dapat merasa.
Apa kesannya? Kesannya approval rating Tan Sri Muhyiddin mencecah 69 peratus – antara yang tertinggi dalam sejarah. Ini adalah saat di mana kerajaan Persekutuan akhirnya mempunyai keabsahan moral untuk memerintah walaupun berkuasa bukan melalui jalan pilihan raya.
Hari ini 35 peratus. Paling rendah dan lebih rendah daripada rating yang diterima DS Najib pada April 2018 – kurang sebulan sebelum Barisan Nasional tumbang dalam PRU-14.
Betul kita ada kekangan. Tetapi ekonomi kita sebenarnya ada buffer yang sangat besar untuk bagi bantuan.
Nisbah hutang kita kepada GDP sedang berlegar pada paras 65 peratus. Kalau dinaikkan kepada 80 peratus sahaja, kerajaan akan ada tunai lebih RM200 bilion untuk rakyat. Buka Parlimen, bincang elok-elok. Jangan bimbang undi tidak percaya kerana kerajaan ketika tempoh darurat sedang memerintah atas mandat YDP Agong – bukan mandat Parlimen.
Pergunakanlah Ordinan Darurat. Keluarkan tunai dan sandarkan kepada bon. Jadi nilai Ringgit tidak akan jatuh.
Manfaatkan kuasa yang sangat besar hari ini. Arahkan bank bagi moratorium automatik. Arahkan institusi kredit dan pinjaman seperti AEON tangguhkan ansuran. Orang miskin tidak beli motor pakai bank tuan-tuan.
Kalau dengan rakyat kita boleh arah macam-macam tetapi bila berdepan bank kita hilang anak tekak, itu bukan pemimpin namanya.
Betul rating ekonomi kita akan jatuh. Orang bank mungkin tidak suka. Tetapi ketika krisis, kepentingan ekonomi rakyat (makro) sentiasa akan berada lebih tinggi daripada penarafan rating (ekonomi mikro).
Rating yang buruk, kita boleh baiki.
Kepercayaan rakyat yang hilang, itu tiada ganti.