Semakin banyak pihak termasuk pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN) mengakui kelemahan jentera komunikasi kerajaan.
Berdasarkan laporan media baru-baru ini, masalah tersebut menjadi antara punca utama rakyat makin menolak kerajaan PN.
Dengan sentimen #kerajaangagal yang meluas terutama di media sosial, kerajaan PN tidak harus mengambil mudah.
Jika tidak ditangani segera, PN akan berdepan risiko bukan sahaja kecundang dalam PRU-15 malah mengundang kebangkitan rakyat lebih awal.
Ia juga membawa implikasi besar kepada banyak pihak lain termasuk menghakis keyakinan kepada Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
Persepsi yang berlegar dalam kalangan rakyat sekarang adalah YDP Agong telah diberi nasihat yang salah. Malah ramai netizen menyifatkan baginda telah dimanipulasi oleh kerajaan PN.
Keputusan menggantung sidang Parlimen antara yang paling dipersoalkan dan menjadi bahan sinikal rakyat. Kegagalan lebih ketara adalah dalam soal mengurus persepsi rakyat berkaitan isu pandemik Covid-19 dan program vaksinasi.
Itu belum menyentuh hal ehwal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Malangnya, isu-isu utama ini dibiarkan begitu sahaja walaupun sebenarnya ia boleh ditangani dengan berkesan melalui strategi yang betul.
Sebab itu, kerajaan PN di bawah teraju kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengambil langkah drastik menangani secara menyeluruh kelemahan jentera komunikasi.
Adalah dicadangkan agar:
PERTAMA. Pasukan komunikasi di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dirombak dan diletakkan di bawah seorang tokoh yang berwibawa dan berpengalaman luas.
KEDUA. Rombakan juga perlu melibatkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang kini kelihatan lesu. Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah sepatutnya lebih proaktif dengan lebih banyak tampil ke hadapan.
KETIGA. Penubuhan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) masih bercelaru dan seperti tiada arah tujuan. Ini mungkin disebabkan persaingan sesama tokoh-tokoh termasuk menteri kanan untuk menguasai agensi itu.
J-KOM juga tidak mempunyai barisan pengurusan dan pengamal media yang berkemampuan.
KEEMPAT. Pendekatan berbelanja banyak untuk pengiklanan terutama dalam isu Covid-19 dan program imunisasi sebagaimana amalan sekarang, perlu dikaji semula. Yang lebih penting adalah gerak saraf kerana ia lebih berkesan untuk memenangi hati rakyat.
Persoalan berapa banyak wang yang telah dibelanjakan untuk pengiklanan mencegah Covid-19? Mengapa banyak papan iklan berkenaan ditempatkan di lokasi-lokasi yang tidak strategik?
Selain itu, iklan di media elektronik dan online nampak sterotaip dan kurang kreatif. Siapakah yang bertanggungjawab?
KELIMA. Selain rombakan tersebut, adalah dicadangkan penubuhan sebuah panel bebas media yang dianggotai tokoh-tokoh berpengalaman.
Panel ini juga boleh menasihati J-KOM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dengan langkah-langkah ini, kerajaan PN mempunyai ruang yang luas untuk melakukan penambahbaikan dan bagi memberi impak kepada jentera komunikasinya.
Belum terlewat sebenarnya bagi kerajaan PN mahu menyelamatkan keadaan.
Zamani Zaman