TAMATKAN PERKHIDMATAN TAJUDDIN BUKTI KERAJAAN PRIHATIN?

388
SHARES
2.3k
VIEWS

Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkuat kuasa serta-merta.

Penamatan perkhidmatan beliau yang ditandatangani oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menamatkan desakan netizen yang mahu beliau diberhentikan kerana dilihat tidak sensitif dan mempersenda kemalangan tren yang berlaku. 

Dalam surat penamatan perkhidmatan yang tular tersebut, Kementerian Kewangan mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas perkhidmatan dan sumbangan beliau kepada Prasarana namun tidak menyatakan sebab sebenar beliau diberhentikan. 

Pengarah Pilihan Raya UMNO itu dilantik ke jawatan tersebut pada 11 Mei tahun lalu bagi menggantikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim yang meletakkan jawatan pada 7 Mei 2020.

Sungguhpun pemberhentian Tajuddin ini menggembirakan rakyat yang membuat desakan termasuk mengadakan petisyen, namun sebenarnya terdapat banyak lagi desakan dan petisyen yang jauh lebih penting sebelum ini tidakpun dihiraukan kerajaan.

Contohnya sudah berapa lama rakyat dan NGO mendesak Datuk Seri Hamzah Zainuddin diberhentikan kerana bukan sahaja terlibat mencatur jawatan tertinggi perkhidmatan Polis DiRaja Malaysia malah mempunyai bukti rakaman audio perbualan yang mengesahkan perkara itu berlaku.

Malah perbuatan tidak beretika dan menyalahi undang-undang ini turut dikuatkan dengan pendedahan menggemparkan yang dibuat oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Hamid Bador beberapa hari sebelum beliau bersara. 

Selain itu sudah berapa lama rakyat mendesak Datuk Seri Azmin Ali diberhentikan kerana terpalit dengan isu semburit yang turut mempunyai bukti rakaman video namun tidakpun diendahkan oleh kerajaan.

Malah tindakan tidak bermoral ini turut dikuatkan dengan kenyataan bersumpah saksi yang juga pasangan semburitnya namun beliau bukan sahaja tidak diberhentikan malah dinaikkan ke jawatan Menteri Kanan paling kanan, jawatan yang dilihat sama seperti Timbalan Perdana Menteri.

Desakan dilaksanakan RCI Tabung Haji serta meminta aset dan harta miliknya entiti umat Islam yang dijual oleh Pakatan Harapan dikembalikan sejurus selepas Perikatan Nasional memerintah juga tidak diendahkan.

Desakan agar pembunuhan arwah Muhammad Adib diberikan pembelaan sewajarnya termasuk RCI juga tidak dipedulikan kerajaan. 

Tindakan Perikatan Nasional mengabaikan desakan rakyat dan tidak membuat RCI bagi kedua-dua isu ini telah menyebabkan aset dan harta Tabung Haji kini terlepas selama-lamanya dan pembunuh Adib kini juga semakin sukar ditemui. 

Selain itu, desakan yang datang bukan sahaja daripada rakyat malah majoriti pemimpin-pemimpin, iaitu meminta kerajaan membuka Parlimen langsung tidak diendahkan.

Malah ia dikuatkan oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang telahpun memberi perkenan Sidang Parlimen, namun alasan data dan sains pula diberikan. 

Bahkan desakan menuntut i-Sinar sebelum inipun sebegitu lama diusahakan tetapi langsung tidak dipedulikan kerajaan sehinggalah apabila Perdana Menteri dimalukan di luar negara dan dikecam di media sosial, akhirnya barulah kerajaan laksanakan.

Pelanjutan moratorium pula sepi sehingga kini walaupun PKP terkini sudah memasuki rasa 3.1 dan rakyat pula semakin sesak.

Tindakan Tajuddin yang bergurau tidak kena tempat ketika sidang media mengenai kemalangan tersebut sememangnya tidak wajar dilakukan dan perlu dikecam.

Namun kegembiraan sesetengah pihak melihat beliau diberhentikan tidak berpadanan dengan pelbagai desakan lain yang lebih penting demi maslahat rakyat dan negara, masih tidak diambil peduli oleh kerajaan.

Jika kesilapan Tajuddin dengan segera boleh diambil tindakan oleh Tengku Zafrul dan Kementerian Kewangan, ia sebenarnya hanya membuktikan tindakan double standard kerajaan.

Ini termasuk sebegitu cepat beliau disiasat kerana melanggar SOP dengan tidak memakai pelitup muka, sedangkan ramai kluster kayangan lain temasuk Perdana Menteri sendiri melanggar SOP masih tidak disiasat – jelas membuktikan sikap double standard yang diamalkan.

Justeru tindakan memberhentikan Tajuddin ini hanya membuktikan tindakan berat sebelah kerajaan untuk menunjukkan kerajaan kononnya prihatin rakyat namun hakikatnya jika benar-benar prihatin, segeralah buktikan.

Jangan hanya berani mengambil tindakan tegas terhadap Tajuddin, tetapi segera tamatkan perkhidmatan Hamzah dan Azmin, wujudkan RCI Tabung Haji dan membela arwah Adib.

Lanjutkan juga moratorium bagi membantu rakyat yang terkesan lama dengan PKP “sekejap tutup sekejap buka” tanpa full lockdown yang juga didesak rakyat dan segeralah buka Parlimen.

Jika semua desakan di atas berani dilakukan, baru rakyat percaya kerajaan Perikatan Nasional ini benar-benar prihatin. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts