PERGINYA WIRA SEJATI…

178
SHARES
574
VIEWS

Mantan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (b) Tan Sri Mohd Ghazali Che Mat yang meninggal dunia hari ini, adalah tokoh yang menjadi kebanggaan dunia ketenteraan negara. 

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tunku Mizan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur selepas dimasukkan di situ sejak 4 Julai lalu. Beliau berusia 91 tahun.

Ghazali merupakan Panglima Angkatan Tentera Malaysia ( ATM) yang ke-8 iaitu dari tahun 1985 hingga 1987.

Allahyarham adalah antara penerima Pingat Gagah Berani (PGB) iaitu pingat keperwiraan khas atas pengiktirafan terhadap keberanian seseorang tentera.

Pingat tersebut diperoleh pada tahun 1958 berikutan keberanian beliau dalam beberapa pertempuran dengan pengganas komunis ketika berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Sejak di awal perkhidmatan sehinggalah menyandang jawatan Panglima ATM, Allahyarham begitu disegani dan disifatkan sebagai perajurit mahupun jeneral yang cemerlang.

Dalam kalangan anggota tentera terutama yang pernah berkhidmat secara langsung di bawah kepimpinan beliau, Ghazali disifatkan sebagai pegawai yang berani, cekap, prihatin, menghormati orang bawahan dan bijak menjaga moral mereka.

Antara jawatan yang pernah disandang adalah Panglima Tentera Darat, Pengarah Perisikan Pertahanan dan Pengarah Pasukan Petugas Khas VII Jabatan Perdana Menteri.

Ghazali menempuh karier ketenteraan dengan pengalaman luas termasuk ketika era ancaman pengganas komunis, konfrantasi dan kesan Perang Dingin.

Allahyarham lahir di Kampung Batu Dinding, Lenggong, Perak pada 17 Disember 1930. Atas minat yang mendalam, Ghazali menyertai perkhidmatan tentera sebagai pegawai kadet pada 1953 dan turut mendapat latihan di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom.

Sebahagian kisah hidup ketenteraannya terpapar dalam buku “Memori Seorang Jeneral – Mohamad Ghazali Haji Che Mat” yang ditulis oleh Profesor Dato Dr. Wan Hashim Wan Teh dan Profesor Madya Dr. Jessica Ong.

Selepas bersara, Ghazali diberi kepercayaan menyandang pelbagai jawatan dalam dunia korporat. Antaranya Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Pengerusi Kumpulan Guthrie Berhad, Pengerusi New StraitsTimes, Pengerusi Kumpulan Boustead Berhad dan Pengerusi Malakoff Berhad.

Pemergian Ghazali ke rahmatullah adalah suatu lagi kehilangan besar kepada negara terutama ATM.

Sumbangan dan jasa Allahyarham akan terpahat dalam tinta sejarah sebagai wira sejati yang pernah mengabadikan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

Al-fatihah.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts