Siri 6
Aduka Taruna
Perkembangan politik tanahair makin panas dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO menarik balik sokongan serta merta ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Walaupun setakat ini Muhyiddin mahupun kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih dapat bertahan, keputusan itu memberi kesan tersendiri yang bukan kecil.
Apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan tentang hal tersebut beliau telah membawa kecederaan yang besar kepada Perdana Menteri.
Apatah lagi keputusan itu diambil ketika imej dan populariti Muhyiddin dan kerajaan PN pimpinannya, merudum.
Ia antara lain kerana kegagalan kerajaan PN menangani pandemik Covid-19 dan pengurusan ekonomi.
Walaupun terdapat sebahagian Ahli Parlimen UMNO menyokong Muhyiddin di sebalik keputusan MT UMNO, agak-agak rapuh.
Pada masa yang sama, majoriti akar umbi UMNO termasuk badan-perhubungan negeri menyokong Presiden dan MT. Lagipun sentimen rakyat Malaysia tidak memihak kepada kerajaan PN terutama Bersatu. Ahli-ahli Parlimen UMNO yang menyokong Muhyiddin turut menjadi sasaran kritikan, sinikal malah kemarahan.
Undian online mendapati majoriti responden mahu mereka dipecat daripada UMNO kerana gagal berpegang kepada mandat perwakilan Perhimpunan Agung UMNO dan MT UMNO.
Alasan mereka kononnya kerana mahu mengutamakan rakyat bagi melawan Covid-19 pada waktu ini, tidak meyakinkan. Sebaliknya, ia lebih kepada menjaga kedudukan, jawatan dan kepentingan masing-masing yang sesiapa sahaja boleh tafsir.
Apabila UMNO menolak Muhyiddin, ia telah memberi mesej jelas kepada semua bahawa kerajaan PN di ambang kemusnahan dan secara moralnya hilang kelayakan.
Perdana Menteri tidak lagi menerima kepercayaan daripada parti terbesar dalam kerajaan PN.
Desas-desus bertiup kencang bahawa beberapa lagi Ahli Parlimen UMNO akan menarik sokongan mereka kepada PN menjelang persidangan Parlimen khas akhir bulan ini.
Dengan kata lain, arus penolakan yang kuat oleh majoriti rakyat atas kegagalan, kelemahan dan kepincangan kerajaan, tidak lagi boleh dibendung.
Tidak keterlaluan untuk membuat rumusan awal bahtera kerajaan PN yang dinakhodai oleh Muhyiddin menanti masa untuk karam.
Bagi mengelakkan mudarat lebih besar melanda negara, Muhyiddin seharusnya mengambil tanggungjawab dengan berundur secara terhormat.
Ini bukan lagi soal ego atau percaturan kuasa sebagai pemimpin atau mahu mencuba-cuba formula lain yang mujarab. Sebaliknya ini lebih kepada menyelamatkan rakyat dan negara daripada situasi terburuk.
Muhyiddin tidak perlu berasa malu kerana terdapat beberapa pemimpin negara lain juga melepaskan jawatan ketika berlaku pandemik Covid-19.
Langkah itu adalah terpuji sebagai mengambil tanggungjawab sebagaimana diambil oleh Perdana Menteri ke-5, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Selepas menyedari tidak lagi menerima sokongan majoriti berdasarkan perkembangan semasa, Abdullah berundur walaupun beliau masih boleh cuba bertahan kerana situasi sebenarnya tidak seteruk mana.
Namun Abdullah faham isyarat rakyat dan tidak mahu memudaratkan lagi keadaan. Salah seorang yang mendesak Abdullah berundur adalah Muhyiddin yang ketika itu merupakan menteri kabinet dan Naib Presiden UMNO. Kini Muhyiddin pula berdepan desakan yang sama malah jauh lebih kuat gelombang penolakan daripada rakyat.
Kebencian ke atas Muhyiddin lebih teruk berbanding Abdullah yang tidak sampai ke tahap sebegitu. Yang benci Abdullah hanya kelompok kecil terutama Perdana Menteri Ke-4 (dan ke-7), Tun Dr. Mahathir Mohamad tetapi rakyat sekadar mahu beliau digantikan.
Realitinya hari ini, Malaysia dilabelkan sebagai negara gagal bukan sahaja oleh reaksi, keluhan dan kemarahan rakyat malah melalui analisis pelbagai pihak luar negara.
Maka selagi nakhoda bahtera tidak ditukar, selagi itu keyakinan kepada kerajaan dan negara tidak akan dapat dipulihkan. Perihal keyakinan ini adalah soal fundamental dalam memperbetulkan keadaan agar dapat keluar segera daripada krisis.
Sebenarnya penolakan rakyat kepada kerajaan khususnya Kabinet PN merupakan isu serius sehingga melarat ke luar negara.
Ketika Perdana Menteri melawat Indonesia, beliau menerima banyak kritikan dan kecaman daripada rakyat Malaysia di laman media sosial rasmi kerajaan Indonesia. Situasi ini tidak pernah berlaku sebelum ini sehingga menjadi bahan bualan di negara jiran itu.
Terbaru, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali menerima kecaman lebih dahsyat daripada rakyat Malaysia di laman media Austria sewaktu beliau melawat negara tersebut beberapa hari lalu.
Walaupun media arus perdana dan sebahagian portal berita yang menyokong kerajaan tidak menyiarkan berita-berita sedemikian, rakyat Malaysia boleh mengikutinya dengan bebas melalui sumber lain di media sosial. Kebenaran dan realiti tidak lagi dapat disorok, lebih-lebih lagi ia makin terdedah secara meluas.
Bukan sahaja rakyat mulai bangkit bersuara, malah diplomat, ekspatriat, persatuan perdagangan antarabangsa di negara ini tampil membidas pengurusan Covid-19 yang bercelaru dan lemah.
Dalam pada itu, sudah terdapat gesaan oleh pihak tertentu yang mahukan dibentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala kelemahan dalam pengurusan pandemik itu.
Ternyata strategi kerajaan untuk menangani Covid-19 tidak berhasil di sebalik langkah ekstrem yang diambil iaitu pelaksanaan darurat dan penggantungan Parlimen.
Banyak petunjuk lain seperti ekonomi yang terjejas teruk. Begitu juga dengan hutang negara, pengangguran, kes bunuh diri, kemiskinan, dan ribuan syarikat gulung tikar – kesemuanya tertinggi dalam sejarah negara.
Dalam keadaan terdesak, pentadbiran Muhyiddin cuba melakukan beberapa perubahan namun ia tidak banyak membantu meredakan kemarahan rakyat.
Salah satunya, adalah pelantikan Menteri Pertahanan (bertaraf Menteri Kanan Keselamatan), Dato Seri Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Pelantikan Ismail tidaklah mengejutkan kerana nama beliau antara yang disebut-sebut dari awal lagi bagi mengisi jawatan itu, selain Menteri Luar, Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein.
Memandangkan Ismail adalah Naib Presiden UMNO, iaitu kedudukan hierarki paling kanan dalam kalangan Menteri Kabinet UMNO, Ismail adalah calon lebih sesuai.
Namun Muhyiddin juga tidak mengetepikan Hishamuddin, pemimpin UMNO yang beliau begitu selesa dan percaya. Hishamuddin diangkat sebagai Menteri Kanan dalam portfolio sedia ada.
Atas kertas pelantikan Ismail dan Hishamuddin adalah manuver politik yang signifikan dalam percaturan Muhyiddin bagi ‘meredakan’ ketegangan dengan UMNO. Ia juga dilihat sebagai langkah untuk memperkasakan kumpulan pro Bersatu dalam kalangan menteri dan timbalan menteri UMNO selain melemahkan cengkaman Zahid ke atas UMNO.
Namun Zahid bagaikan nekad tidak berganjak dengan membawa mandat perwakilan UMNO walau apapun tafsiran ke atas beliau.
Ramai yang mengaitkannya sebagai tindak balas Zahid atas pendakwaan terhadapnya oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu turut dianggotai Bersatu.
Presiden UMNO itu percaya beliau menjadi mangsa konspirasi politik melalui pendakwaan secara selektif. Walaupun berlaku perubahan kerajaan dengan pembentukan PN, Muhyiddin dan beberapa pemimpin Bersatu dilihat mahu terus mengikat diri kepada agenda di sebalik konspirasi itu.
Meskipun Zahid berdepan isu integriti yang serius dan dianggap kurang berwibawa serta lemah, namun jawatan Presiden adalah suatu institusi.
Sebab itu majoriti ahli dan para penyokong UMNO masih boleh berkompromi menyokong Zahid untuk terus menjadi Presiden bagi tempoh yang kritikal ini.
Calon terbaik untuk menerajui UMNO selepas PRU-15 sudah tentu Timbalan Presiden, Dato Seri Mohamad Hassan atau dikenali dengan panggilan Tok Mat.
UMNO memerlukan pembaharuan pucuk pimpinan. Tok Mat lebih dipercayai, lebih berwibawa dan berintegriti serta berkebolehan.
Pada peringkat ini, biarlah Zahid melaksanakan tugas yang berat untuk membersihkan UMNO daripada pengaruh elemen parti luar terutama Bersatu.
Kecundangkah Zahid nanti? Beliau sudahpun mengalami kerosakan reputasi dan harga diri dengan pendakwaan di mahkamah. Jangka hayat politiknya juga dijangka tidak lama apatah lagi dengan kes mahkamahnya yang memberi kesan besar kepada parti.
Sebagai politikus, Zahid tidak lagi akan rugi apa-apa dan yang akan rugi besar adalah Muhyiddin dan para pemimpin UMNO yang pro Bersatu.
Setidak-tidaknya, Zahid dilihat mengambil langkah berani dan selari dengan sentimen majoriti rakyat yang sudah hilang kepercayaan kepada Muhyiddin dan PN.
Kepada kelompok yang dilihat menentang Zahid, bersedialah menghadapi tindakan Presiden UMNO itu apabila tiba waktunya. Apakah akan ada yang digantung, dipecat atau digugurkan daripada menjadi calon PRU-15?
Dengan mendapat sokongan timbalannya, Mat Hassan, mantan Presiden UMNO; Datuk Seri Najib Tun Razak; Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, majoriti ahli dan ketua bahagian serta akar umbi, kelebihan kini memihak kepada beliau.
Zahid telah menegaskan bahawa MT menolak sebarang kerjasama bagi menaikkan Presiden PKR sebagai Perdana Menteri. Penegasan itu adalah mesej jelas kepada rakyat sambil menyanggah tuduhan-tuduhan kononnya beliau akan memberi laluan kepada Anwar untuk berkuasa.
Ironinya, dalam diam, Bersatu dilaporkan telah menyediakan pelan B untuk menjalin semula kerjasama dengan PH sekiranya UMNO bertindak meninggalkan PN. Dalam politik segala-galanya berkemungkinan. Namun yang menjadi persoalan besar berapa lama lagi Muhyiddin mampu bertahan? Sanggupkah beliau menelan realiti yang pahit dengan mengambil langkah terhormat berundur?
Atau jika tidak, berdepan kemungkinan menanggung risiko lebih besar dan lebih buruk padahnya kepada rakyat dan negara.
Mana satu pilihannya?
(Aduka Taruna adalah penganalisis politik dan sosial yang bergaul rapat dengan semua kelompok masyarakat).
Siri-siri sebelum ini;
Siri 1: “Kegagalan PN: Siapa yang perlu bertanggungjawab?” di pautan;
https://editormalaysia.com/23069/
Siri 2. “Kisah anti-vaksin, isu Perdana Menteri baru dan harapan kepada YDP Agong” di pautan;
https://editormalaysia.com/23149/
Siri 3: “Isu nama Mahiaddin, mesej Raja-Raja dan apakah nasib PM?” di pautan;
https://editormalaysia.com/23232/
Siri 4: “Kisah mi segera, perihal Zuraida, agenda Nazri Aziz, tindak balas Zahid dan isu Parlimen serta Ivermectin” di pautan;
https://editormalaysia.com/23280/
Siri 5: “Mahiaddin liabiliti PN, ketegasan Agong, pergolakan parti dan bom jangka” di pautan;
https://editormalaysia.com/23423/