DEMOKRASI BERPARLIMEN IBARAT TELUR DI HUJUNG TANDUK

124
SHARES
401
VIEWS

KENYATAAN MEDIA KETUA PERGERAKAN WIRA PUTRA MALAYSIA

18 Julai 2021 | 8 Zulhijjah 1442H

1. Kenyataan Timbalan Speaker berkenaan jumlah 80 Ahli Parlimen yang boleh masuk ke Dewan Rakyat untuk sidang Parlimen kali ini betul-betul sandiwara politik semata-mata. Tidak masuk akal Ahli-ahli Parlimen diminta untuk percaya agar menerima suntikan vaksin dua dos bagi membolehkan mereka terus turun padang membantu rakyat di kawasan, tetapi tidak boleh masuk Parlimen yang mengumpul setakat 220 orang sahaja. Tindakan ini jelas mempersendakan Institusi Parlimen dan titah Yang Di-Pertuan Agong yang jelas sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara.

2. Perkara pokok dan disebut dalam kenyataan Istana Negara baru-baru ini agar Ordinan Darurat yang bakal tamat pada 1 Ogos ini dan Pelan Pemulihan Negara wajib dibahas namun tidak disenaraikan dan tidak akan dibentang dan dibahas dengan secukup-cukup masa dan bukannya sekadar 5 hari. Malah ia ditukar kepada taklimat semata-mata. Lebih teruk lagi bukan semua ahli Dewan dibenarkan masuk walaupun rata-rata telah menerima suntikan vaksin 2 dos. Cukup-cukuplah main wayang, dan hina Ahli-ahli Parlimen yang berintegriti untuk menjalankan tugas mereka di dalam sidang Parlimen.

3. Jangan tunjukkan contoh tidak baik kepada rakyat dan memalukan negara di peringkat antarabangsa. Sudah cukup negara Malaysia diejek, dicemuh dan dipersendakan. Memperbodohkan rakyat dengan kuasa penentu sebagai kerajaan adalah satu tindakan melampau. Rakyat makin meluat dengan sandiwara politik yang tidak berpenghujung seperti ini.

4. Dewan Rakyat yang mulia wajib membincangkan segala perbelanjaan RM600 bilion yang telah dibelanja sepanjang tempoh darurat ini dikuatkuasa. Banyak khabar angin yang tidak baik dengan ketirisan dana yang digunakan tidak selari dengan kos yang sepatutnya dibelanjakan oleh kerajaan. Penjelasan sahaja tidak cukup, perbahasan penuh terhadap perkara ini amat penting kerana di bawah kuasa Ordinan Darurat tiada semak dan imbang serta tiada ketelusan. Bersidang 5 hari sahaja untuk bagi taklimat adalah karut. Parlimen bukan masjid, duduk dan dengar Khutbah Jumaat sahaja. Ia mesti disusuli dengan perbahasan untuk semak dan imbang. Jika tunggu Sidang Parlimen hujung September atau Oktober sudah terlewat kerana darurat tamat 1 Ogos 2021. Hal ini menguatkan lagi kepercayaan rakyat bahawa ada sesuatu yang mahu disembunyikan Perdana Menteri dan kabinetnya. KAMI ANAK MUDA ZAMAN INI CAKNA POLITIK, TIDAK BOLEH DITIPU SEPERTI ORANG KAMPUNG TAHUN 80-AN.

5. Jika inilah tahap pemikiran pemimpin kerajaan maka jelaslah negara sedang ditipu bulat-bulat untuk menghalalkan segala tindak-tanduk mereka yang berkuasa. Mereka tidak benar-benar ikhlas untuk menjaga nama baik Malaysia dan Institusi Raja-Raja Melayu malah terus menerus mencemar dan menghina reputasi baik Malaysia dengan bertopengkan Perlembagaan dan undang-undang semata-mata. Alang-alang benarkan 80 orang kenapa tidak diberi kebenaran kepada 40 orang seperti dalam filem Ali Baba Bujang Lapok sahaja?

6. Justeru Wira PUTRA mencadangkan agar Ahli-ahli Parlimen yang berintegriti dan menjunjung Keluhuran Perlembagaan sesuai dengan Ikrar Angkat Sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat/Negara agar memboikot sahaja sidang Parlimen kali ini bagi menunjukkan hilangnya kepercayaan ahli-ahli Dewan terhadap kepimpinan dan urus tadbir Perdana Menteri serta kerajaan Perikatan Nasional. Tindakan yang diibaratkan mempersenda kewibawaan Ahli-ahli Parlimen untuk berhujah secara demokrasi menunjukkan hilangnya integriti Perdana Menteri dan kemuliaan Dewan Rakyat.

WIRA PUTRA TURUT BERKABUNG KERANA SEDIH DAN DUKACITA KERANA DEMOKRASI BERPARLIMEN SUDAH MATI. 

Sekian. 

Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts