Siri 7
Aduka Taruna
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin memberikan komen yang tepat berhubung pelanggaran prosedur operasi standard ( SOP) melibatkan beberapa menteri dan timbalan menteri.
Beliau mengakui ia suatu kesilapan dalam aspek teladan oleh pemimpin kerajaan dalam usaha melawan Covid-19 di Malaysia.
Dalam wawancara bersama akhbar Australia, Sydney Morning Herald dan The Age, beliau berpendapat pelanggaran itu telah menjejaskan kewibawaan kerajaan.
Apakah menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan tokoh lain dalam kerajaan akan bersikap terbuka dengan mengakui kesilapan sebagaimana Khairy?
Walaupun komen sedemikian agak lewat selepas banyak kes tokoh dan kenamaan termasuk menteri melanggar SOP, ia masih berguna khususnya buat anggota Kabinet mencermin diri.
Adalah menjadi harapan agar Khairy bukan sekadar membuat teguran itu kepada media asing malah menzahirkannya dalam mesyuarat jemaah menteri yang dipengerusi oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang merupakan menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) turut mengakui pentingnya “kepimpinan melalui teladan”.
Inilah sebenarnya antara isu yang melingkari Kabinet pimpinan Muhyiddin. Seorang demi seorang menteri dan timbalan menteri gagal menunjukkan teladan yang baik.
Terbaru, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa didenda RM2,000 kerana melanggar SOP melawat mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ini bukan kali pertama Annuar berbuat demikian. Beliau pernah makan berkumpulan selepas satu program. Ramai yang tahu Annuar suka menggambarkan beliau seorang politikus yang petah bertutur kata tetapi dirinya sendiri cakap tidak serupa bikin.
Annuar bernasib baik kerana dikenakan denda yang rendah walaupun beliau seharus didenda maksimum sebagai iktibar bahawa menteri sepatutnya menjadi teladan yang baik kepada rakyat.
Menteri Besar Kedah Kedah, Datuk Muhammad Sanusi Md. Nor juga didapati bersalah kerana melakukan pandu uji kenderaan pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP).
Sebelum ini Sanusi berputar-putar lidah memberikan alasan yang entah apa-apa bagi mewajarkan perbuatannya. Memalukan.
Annuar dan Sanusi adalah antara menteri dan tokoh dalam kerajaan yang terpalit dengan kecaman rakyat disebabkan melanggar SOP.
Muhyiddin juga pernah melanggar SOP dengan tidak memakai pelitup muka tetapi nampaknya beliau kebal kerana tidak dikenakan tindakan. Ini berbeza dengan beberapa ketua kerajaan negara lain termasuk Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha yang tetap didenda atas kesalahan yang sama.
Selagi Muhyiddin tidak diambil tindakan selagi itu penguatkuasaan SOP di Malaysia yang menjadi bahan jenaka rakyat, dilihat begitu cacat menepati ungkapan antara dua darjat.
Sebagai ketua kerajaan, Muhyiddin sewajarnya berjiwa besar mencontohi Perdana Menteri Thailand dan sepatutnya berasa malu jika tidak dikenakan tindakan.
Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ( MITI), Datuk Seri Azmin Ali juga dikecam kerana tular gambar beliau bersiar-siar di Turki.
Sukar untuk faham mengapa Azmin yang merupakan menteri Kabinet yang paling dibenci ramai, tidak mengambil iktibar dan tidak menjaga sensitiviti rakyat.
Belumpun reda isu beliau diserang rakyat Malaysia di laman media sosial rasmi kerajaan Austria ketika lawatan kerja ke negara itu, Azmin buat hal lagi.
Ketika rakyat tidak bebas bergerak kerana dikenakan PKP dan PKPD apatah lagi untuk bercuti dan bersiar-siar, Azmin memberi contoh yang buruk.
Seorang lagi turut menjadi sasaran kemarahan rakyat adalah bekas menteri dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dan isterinya, Datin Seri Haflin Saiful. Perbuatan ‘show off’ berkongsi gambar mereka sedang bersiar-siar di kota Paris menyebabkan rakyat meluat.
Kebenaran yang diberikan oleh kerajaan kepada Nazri dan isterinya (kononnya untuk daftar anak bersekolah) dianggap suatu penghinaan kepada rakyat Malaysia yang digesa duduk di rumah.
Selain perihal kelompok kayangan yang berterusan melanggar SOP, rakyat tersinggung dengan kenyataan Perdana Menteri mengenai program bakul makanan. Muhyiddin secara sinikal menyeru rakyat agar tidak mengibarkan bendera putih atau hitam kerana kerajaan telah memberikan bantuan.
Malah beliau membayangkan rakyat telah mendapat terlebih bantuan makanan sehingga penuh di dapur.
Ramai mencebik bibir dengan kenyataan sebegitu daripada Perdana Menteri yang nampaknya masih gagal menyelami permasalahan dan realiti rakyat.
Satu lagi kenyataan Muhyiddin yang disifatkan panas adalah berkaitan rakaman video arahan beliau berkaitan pengkebumian jenazah orang Islam yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.
Arahan beliau itu menyinggung perasaan ramai orang Islam, yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang Perdana Menteri beragama Islam. Nyawa terkorban setiap hari yang diratapi keluarga masing-masing sekadar menjadi satu angka.
Nampaknya serba serbi tidak kena dan tidak menjadi dengan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Sebagai Perdana Menteri beliau seharusnya memperlihatkan teladan yang baik dengan menjaga tertib dan adab tutur katanya.
Paling menjadi perhatian akhir minggu ini adalah keputusan kerajaan hanya membenarkan 80 orang Ahli Parlimen menghadiri persidangan Parlimen pada Julai nanti.
Sekali lagi rakyat, pelabur, ekspatriat dan diplomat melihat demokrasi di Malaysia dimomokkan oleh kerajaan Perikatan Nasional ( PN).
Maka tidak hairanlah dengan perkembangan sebegini, imej PN sebagai kerajaan gagal makin kuat terpahat di sanubari rakyat dan ia sukar dipulihkan.
Kerajaan PN sepatutnya mengambil langkah terhormat untuk membuktikan persidangan Parlimen secara penuh dapat dijalankan dan bukannya mencari pelbagai alasan bagi mewajarkan apa sahaja tindakan.
Alasan bahawa terdapat beberapa kes Covid-19 di bangunan Parlimen, tidak cukup kuat untuk mengambil langkah mencatu dan menghadkan kehadiran Ahli-Ahli Parlimen.
Terdapat ribuan kilang yang sebahagian juga berdepan dengan kes Covid-19 dalam kalangan pekerjanya tetapi kilang tetap beroperasi penuh melalui pelbagai langkah yang diambil.
Begitu juga dengan sekolah awam yang bakal dibuka sepenuhnya selain operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menyaksikan kehadiran penuh.
Mengapa pelajar sekolah, pekerja kilang dan orang ramai boleh tetapi Ahli-Ahli Parlimen dinafikan kehadiran penuh?
Selain isu rentetan kegagalan kerajaan PN, bekas Perdana Menteri Ke-4 dan Ke-7, Tun Dr. Mahathir menarik perhatian kerana menamakan Azmin Ali sebagai sebagai calon sesuai bagi jawatan Perdana Menteri.
Dalam satu wawancara, beliau turut memetik nama anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai seorang lagi calon yang layak.
Tentu kem dan para penyokong Azmin gembira dengan lontaran nama oleh Mahathir setelah mereka agak muram dengan pelantikan Dato Seri Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Azmin yang berdepan dengan kes semburit sebagaimana yang heboh tidak lama dulu nampaknya mendapat restu Mahathir.
Anehnya Mahathir tidak pula mahu memperakukan Dato Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan tersebut walaupun kedua-duanya mempunyai isu akhlak yang amat serius. Beliau sanggup menggadaikan prinsip moral demi percaturan politiknya.
Lebih menggelikan hati, Mahathir mengharapkan anaknya berada di persada kuasa. Ternyata agenda untuk melonjakkan Mukhriz begitu kuat menyala sehingga hari ini.
Kali ini rakyat tidak ambil serius kata-kata Mahathir yang dilihat tidak lagi relevan dalam politik semasa meskipun nafsu politik beliau tidak pernah pudar pada usia 96 tahun.
Di samping itu, semua orang tahu prestasi dan ketokohan Mukhriz selama ini hambar. Begitu juga dengan Azmin yang paling dibenci dan ditolak rakyat atas pelbagai faktor termasuk isu menangani Covid-19.
Dengan kata lain, Azmin adalah jenama yang sudah rosak teruk dan sukar dibaiki manakala Mukhriz umpama barang yang tidak laku dijual.
Menyentuh tentang Anwar, minggu ini satu lagi tamparan besar buat Presiden PKR itu apabila kes serangan seksualnya ke atas pembantu beliau, Muhammed Yusoff Rawther terdedah kepada umum sekali lagi.
Ini berikutan penyataan tuntutan mahkamah sivil oleh defendan, Muhammad Yusoff terhadap Anwar selaku plaintf.
Menerusi pernyataan itu, terpapar beberapa pertuduhan terperinci melibatkan serangan seksual oleh Anwar, yang tular dan menjadi bahan bualan ramai.
Apakah perkembangan ini akan menjejaskan gerakan Anwar yang dilihat sedang berusaha menamatkan seawal mungkin riwayat kuasa politik pentadbiran Muhyiddin?
Di sebalik kes tu, ramai percaya Anwar pasti bertindak balas. Berdiam bukan pilihan terbaik bagi Anwar kerana ia bermakna reputasi politik beliau sebagai calon Perdana Menteri, akan terjejas lagi teruk.
Lain pula cerita bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang pastinya gembira dan lega dengan keputusan Mahkamah Rayuan.
Beliau dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan rasuah, sabitan dan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta.
Namun keputusan mahkamah itu mencetuskan pelbagai persoalan dan andaian terutama ‘barter trade‘ politik, yang diharap tidak benar.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Dato Dr. Adham Baba sekali lagi menjadi sasaran kritikan dan sinikal serta bahan jenaka rakyat Malaysia ekoran ucapan beliau melalui rakaman video yang gagal membezakan Spanish Flu dan Spanish Fly.
Sebagaimana Muhyiddin, Azmin dan beberapa lagi menteri Kabinet, imej Adham juga merudum. Ia turut menjejaskan dengan teruknya kewibawaan Kabinet PN yang sudahpun dilabel gagal.
Tidak kurang menjadi bualan adalah laporan kenyataan Presiden Pas, Dato Seri Hadi Awang bahawa sesiapa yang suka mencari salah kerajaan tidak lebih daripada tupai dan kera.
Seperti dijangka kenyataan tersebut mendapat reaksi negatif ramai bahkan mengundang gelombang kecaman ke atas pemimpin Pas itu.
Hadi yang juga Duta Khas ke Timur Tengah yang bertaraf menteri pasti sedar rakyat semakin kecewa dan menolak parti itu ekoran pelbagai kenyataan dan pendirian yang tidak selari dengan sensitiviti mahupun aspirasi rakyat.
Sebenarnya Hadi juga sudah termasuk
dalam senarai pemimpin dalam kerajaan yang ditolak oleh rakyat. Harap-harap beliau melakukan langkah pembetulan segera sebelum beliau menjadi liabiliti kepada PAS.
Tanda-tanda PAS akan menerima hukuman daripada rakyat pada PRU-15 nanti sudah makin jelas melainkan pemimpin parti itu sudah lena diulit mimpi menumpang kuasa orang.
Satu lagi isu yang diperkatakan adalah berkaitan Tabung Haji dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja ( RCI) yang skopnya terhad.
Ini bermakna skop itu tidak akan merangkumi siasatan atau semakan ke atas Pelan Pemulihan Tabung Haji yang telah dimulakan pada zaman Pakatan Harapan (PH).
Dengan kata lain, tiada siasatan ke atas penjualan lambak aset Tabung Haji termasuk hotel-hotel dan tanah berharga TRX di Kuala Lumpur, yang bernilai puluhan bilion ringgit.
Maka boleh dirumuskan bahawa kerajaan PN masih mahu terus menyembunyikan banyak kepincangan, kelemahan malah salah laku di bawah pentadbiran kerajaan PH yang memudaratkan kedudukan integriti kewangan Tabung Haji.
Tabung Haji juga akan diletakkan di bawah Bank Negara. Kedua-dua langkah tersebut mendapat bantahan ramai dan disifatkan sebagai keputusan yang tidak bijak.
Apakah ini semua sebahagian daripada game plan Muhyiddin dan Mahathir yang dilihat bekerjasama rapat melalui pintu belakang?
Jika inilah hakikatnya, ia tidaklah mengejutkan. Muhyiddin yang menjadi nakhoda bahtera PN yang hampir karam amat memerlukan bantuan biarpun daripada orang yang dikhianatinya sendiri.
Mahathir pula bagai orang mengantuk disorongkan bantal – memudahkan lagi percaturan kuasa politik beliau selepas ini. Kita tunggu apa kesudahannya nanti.
(Aduka Taruna adalah penganalisis politik dan sosial yang bergaul rapat dengan semua kelompok masyarakat).
Siri-siri sebelum ini;
Siri 1: “Kegagalan PN: Siapa yang perlu bertanggungjawab?” di pautan;
https://editormalaysia.com/23069/
Siri 2. “Kisah anti-vaksin, isu Perdana Menteri baru dan harapan kepada YDP Agong” di pautan;
https://editormalaysia.com/23149/
Siri 3: “Isu nama Mahiaddin, mesej Raja-Raja dan apakah nasib PM?” di pautan;
https://editormalaysia.com/23232/
Siri 4: “Kisah mi segera, perihal Zuraida, agenda Nazri Aziz, tindak balas Zahid dan isu Parlimen serta Ivermectin” di pautan;
https://editormalaysia.com/23280/
Siri 5: “Mahiaddin liabiliti PN, ketegasan Agong, pergolakan parti dan bom jangka” di pautan;
https://editormalaysia.com/23423/
Siri 6: “Mampukah Muhyiddin bertahan dan kecundangkah Zahid?” di pautan;