Isu mengharamkan UMNO melalui ROS ini bukanlah perkara baharu. Ia berlaku sejak zaman Pakatan Harapan lagi dan cubaan tersebut jelas masih diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional.
Turut wujud dakwaan dan desas-desus bahawa cubaan mengharamkan UMNO ini didalangi oleh Menteri Dalam Negeri dan Menteri-menteri UMNO dalam Perikatan Nasional kerana jelas ia berat sebelah apabila parti-parti lain termasuk DAP dibenarkan untuk menangguh pemilihan parti masing-masing.
Ini kerana tidak mungkin ROS membenarkan UMNO mengadakan pemilihan parti kerana angka positif harian Covid-19 di negara ini masih terlalu tinggi, malah mencecah tujuh kali ganda lebih tinggi sebelum pengisytiharan darurat.
Jika di zaman Pakatan Harapan, gerakan mengharamkan UMNO ini didalangi oleh pihak yang rapat dengan Menteri Dalam Negeri, juga dengan menggunakan modus operandi yang sama iaitu menggunakan ROS.
Sungguhpun begitu tindakan tersebut terhenti seketika apabila Pakatan Harapan tumbang dan digantikan oleh Perikatan Nasional. Tetapi apabila UMNO menarik kembali sokongannya kepada Perikatan Nasional dan Perdana Menteri, cubaan mengharamkan UMNO ini dihidupkan kembali.
Kesimpulannya, jika Perikatan Nasional dan ROS masih mahu UMNO meneruskan pemilihan parti tersebut, seluruh rakyat Malaysia termasuk Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) wajar boleh membuat laporan polis terhadap ROS dan Kementerian Dalam Negeri.
Selain itu, mereka juga boleh menghantar bantahan dan memohon perkenan kepada YDP Agong dan Raja-raja Melayu agar mencemar duli agar ROS tidak mendesak UMNO melakukan pemilihan tersebut kerana pandemik Covid-19 masih tinggi.
Kegagalan kerajaan Perikatan Nasional mengawal pandemik hanya menyusahkan seluruh rakyat Malaysia dan melalui tindakan bersifat politik oleh ROS ini hanya akan meletakkan nyawa jutaan rakyat Malaysia dalam bahaya.
Justeru rakyat seluruhnya wajar bersatu dan mengecam ROS serta mohon perkenan YDP Agong dan Raja-raja Melayu untuk menghalang tindakan gila mereka untuk memaksa UMNO membuat pemilihan.
Cukup-cukuplah memperalat ROS dan amal politik tidak bermaruah begini.