Mendapat sokongan 114 orang Ahli Parlimen untuk jawatan Perdana Menteri bukan sesuatu yang perlu dibanggakan. Hanya dengan kelebihan 3 orang Ahli Parlimen, seseorang PM (jika terpilih) akan berada dalam situasi yang sangat sukar.
Sejurus selepas dilantik, seorang Perdana Menteri harus menamakan kabinet beliau dengan segera. Maka, akan bermulalah proses rundingan dengan gabungan parti yang menyokongnya.
Masing-masing akan mengemukakan nama calon-calon yang layak menganggotai kabinet. Jarang ada parti yang berkompromi mengenai calon menteri. Bagi parti, nama yang dihantar adalah calon terbaik menganggotai kabinet.
Apabila PM sudah memilih, maka nama akan dipersembahkan kepada YDP Agong bagi perkenan baginda. Sudah pasti ada nama yang tercicir ketika ini.
Maka akan timbul rasa tidak puas hati di kalangan yang tercicir walaupun mulut berkata lain!
Selesai kabinet baru mengangkat sumpah, persidangan Parlimen akan bermula. PM dan kabinet baharu perlu mendapat keabsahan sokongan. Agong juga telah bertitah demikian.
Jika berlaku pengundian, tidak susah menjatuhkan kerajaan yang baru dibentuk. Majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan adalah 111 orang.
Ismail Sabri mendapat 114 orang. Ada lebihan 3 orang sahaja dari majoriti mudah. Jika 4 orang dari mereka yang mulanya menyokong dan kemudian tidak berpuas hati, maka keadaan akan kembali seri dengan masing-masing mempunyai 110 Ahli Parlimen.
Jika kumpulan Anwar berjaya meyakinkan 5 atau 6 orang penyokong Ismail Sabri, kerajaan yang baru dibentuk akan jatuh tergolek.
Jika 35 orang Ahli Parlimen PPBM menarik sokongan kepada Ismail Sabri, kerajaan akan jatuh menyembah bumi dan Malaysia perlu sekali lagi memilih Perdana Menteri baharu.
Dalam politik, jangan terlalu percaya kawan mahupun lawan. Siang cakap lain, malam pula cakap lain. Kepala berfikir lain, mulut berkata lain.
Maka itu, penyelesaian jangka panjang perlu bagi mengatasi kemelut ini. Seorang calon kompromi yang dihormati kawan dan lawan amat diperlukan. Calon tersebut juga mesti dari kelompok yang berkecuali dan tidak menunjukkan kecenderungan kepada mana-mana pihak.
Jika perlu, gantung sahaja parlimen dan wujudkan “kabinet perang” bagi mengurangkan ‘politiking’ ketika ini. Saya percaya tindakan ini mendapat sokongan penuh semua rakyat Malaysia.
Yang tidak akan menyokong idea ini tentulah ahli politik yang merasakan mereka “telah menang” ataupun mereka yang masih merasakan “boleh menang”.
Kita serahkan kepada kebijaksanaan Majlis Raja-raja Melayu membuat keputusan peteng ini.
Namun kepada Allah jualah kita berserah….
Raja Putra Kumarudin