MPPK MENYOKONG PENUH SYARAT LENGKAP DUA DOS VAKSINASI UNTUK KEMBALI KE KAMPUS

347
SHARES
2k
VIEWS

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyokong penuh kenyataan yang telah dikeluarkan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam temubual beliau bersama Mingguan Malaysia berkenaan lengkap dua dos vaksin COVID-19 sebagai syarat untuk kembali ke kampus.

MPPK berpendapat bahawa syarat ini adalah bertepatan dengan hasrat KPT dan hasrat mahasiswa sendiri yang mahukan satu persekitaran yang selamat di kampus.

KPT juga telah memudahkan urusan mahasiswa yang masih belum mendapat temujanji vaksinasi dengan cara membenarkan mahasiswa mendapatkan vaksin secara ‘walk-in‘ di mana-mana PPV terbuka.

Mana-mana pelajar yang masih belum mendapat temujanji vaksinasi boleh menunjukkan kad matrik pelajar semasa di PPV manakala pelajar baru pula boleh mengemukakan surat tawaran kemasukan ke IPT.

MPPK memohon kepada semua mahasiswa yang belum mendapat temujanji vaksin COVID-19 supaya segera mendapatkan vaksin di mana-mana PPV bagi menyemarakkan lagi usaha dalam mewujudkan persekitaran kampus yang selamat

Manakala bagi golongan mahasiswa yang enggan atau menolak untuk divaksinasi tanpa alasan atau sebab yang kukuh, MPPK berpendapat supaya mereka tidak dibenarkan untuk kembali ke kampus demi untuk memelihara gelembung kampus yang selamat daripada ancaman pandemik COVID-19.

Namun bagi mereka yang tidak boleh menerima vaksin atas sebab yang munasabah seperti keadaan kesihatan atau alergik, MPPK menyarankan supaya mereka diberi peluang untuk kembali ke kampus jika mereka benar-benar perlu untuk kembali.

Selain mahasiswa, setiap kakitangan akademik dan bukan akademik setiap IPT juga perlu divaksinasi lengkap kecuali mereka yang mempunyai keadaan kesihatan yang tidak membenarkan mereka untuk divaksinasi.

Hal ini kerana tanggungjawab memelihara gelembung kampus yang selamat bukan hanya terletak pada tangan mahasiswa tetapi ianya adalah tanggungjawab kolektif semua warga IPT.

Akhir sekali, dakyah anti vaksin yang wujud dalam segelintir golongan mahasiswa dan kakitangan IPT hendaklah dihentikan dan diperangi oleh pihak KPT agar ketaksuban terhadap dakyah ini dapat ditangani.

Sekian, terima kasih.

Memartabat Mahasiswa Malaysia

Muhammad Amir Asyraf Bin Mohd Sabri

Presiden

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts